Dalam tempoh berlakunya krisis Menteri Besar Selangor, ada dua keadaan
yang buat saya terlopong dan benar-benar terkejut serta sukar menerima
kenyataan.
Satunya bila lewat tengah malam saya menerima berita daripada seorang sahabat yang meminta saya menyemak dengan ahli keluarga YB Saari Sungib apakah benar berita bahawa beliau sedang krikital lantaran serangan jantung.
Ini berlaku setelah di siang harinya, iaitu pada 15 September, YB Saari Sungib bersama ADUN Morib YB Hasnul Baharuddin telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka dengan pencalonan Dato’ Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat keahlian daripada PKR. Mereka menandatangani akuan bersumpah menyokong pilihan PKR.
Ini berlaku setelah di siang harinya, iaitu pada 15 September, YB Saari Sungib bersama ADUN Morib YB Hasnul Baharuddin telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka dengan pencalonan Dato’ Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat keahlian daripada PKR. Mereka menandatangani akuan bersumpah menyokong pilihan PKR.
Mereka kemudiannya dihina dan dikutuk sebagai pengkhianat. Paling teruk
mereka dituduh dengan kesat sebagai pengkhianat parti dan mengkhianati
sumpah yang mereka lafazkan sebagai syarat ketika bertanding dalam
pilihanraya sebagai calon PAS.
Ternyata berita tersebut adalah fitnah semata walaupun turut disiarkan
oleh Sinar Harian yang memohon maaf kemudiannya. Ini semua hanyalah
usaha segelintir pihak yang sangat memarahi tindakan kedua-dua ADUN ini
menggagalkan misi mereka.
Satu tindakan yang amat keji!
YB Saari Sungib masih sihat dan masih berbakti kepada rakyat di kawasannya.
BARUA, ADUN dicuri dan dibeli
Sekali lagi saya benar-benar terlopong bila mendengar ucapan Tuan Guru
Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang “BARUA, ADUN
dicuri dan dibeli” dalam ucapan penutupnya di Muktamar Tahunan PAS di
Johor baru-baru ini.
Sukar untuk saya percaya dan terima tuduhan kesat itu walaupun ia keluar
dari mulut seorang yang diiktiraf sebagai ulamak dalam dan luar negara.
Mengenali YB Saari Sungib sejak lebih 20 tahun yang lalu membuatkan saya
mempunyai pandangan yang jelas akan siapa beliau dan bagaimana prinsip
perjuangannya.
Beliau tidak akan tunduk pada kezaliman dan pada mereka yang zalim dan
tidak adil, berkhidmat untuk rakyat dan memegang amanah dan
tanggungjawab sebaiknya. Ini terbukti dengan keyakinan rakyat Hulu
Kelang kepada beliau baik Melayu, Cina, India dan pelbagai agama dan
bangsa dan segenap lapisan masyarakat. Ada yang berjanji mereka tidak
akan menerima calon lain sebagai wakil rakyat Hulu Kelang sekiranya
tempatnya digantikan dengan calon yang lain.
YB Saari Sungib yang saya kenal
YB Saari Sungib,
atau panggilan mesranya Pak Abu, yang saya kenal ialah seorang yang
sangat berprinsip dan tegas. Berani melawan kezaliman secara
terang-terangan. Ini terbukti bila beliau dua kali ditangkap dan ditahan
di bawah Akta Zalim ISA.
Bagi ramai aktivis dan penggerak dakwah, perkenalan dengan YB Saari
Sungib ialah melalui bacaan dan diskusi dalam siri perjumpaan yang
dikenali sebagai ‘Usrah’, menggunakan siri buku ‘Risalah Usrah’ tulisan
beliau. Saya dan suami juga antara yang memiliki buku ini dan
menjadikannya bahan rujukan ketika kami mula berjinak-jinak dan aktif
dalam gerakan dakwah ketika belajar di luar negara.
Bila pulang ke Malaysia, siapa sangka yang saya dapat bekerja di pejabat
beliau yang dipanggil ‘Pejabat Presiden’ ketika itu, di tahun 1991,
menguruskan hal-hal keahlian dan penerbitan risalah untuk edaran kepada
ahli. Bermula dari situlah hubungan kami jadi seperti sebuah keluarga.
Dari situ saya sudah melihat sifat kekeluargaan yang ada pada YB Saari.
Ahli keluarga terutama isteri beliau serta kakak-kakaknya turut sama
membantu dalam pekerjaan.
Hubungan saya dengan keluarga YB Saari bertambah rapat di era Reformasi,
bermula detik 2 September 1998, ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat
daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Suami saya menjadi orang
yang sentiasa bersama YB Saari dalam gerakan Reformasi ketika itu. Kami
bergerak hampir ke seluruh negara bersama bagi membentuk gerakan rakyat
menentang kezaliman kerajaan UMNO Barisan Nasional.
Ketika YB Saari ditangkap di bawah akta zalim ISA kali pertama, suami
saya antara sahabat-sahabat membantu urusan keluarga, juga urusan
berjuang bagi pembebasan beliau dan rakan-rakan lain yang juga
ditangkap.
2 Jun 2001, ketika dikejutkan dengan penangkapan YB Saari buat kali kedua bersama aktivis Reformasi yang
lainnya di bawah ISA, sekali lagi keluarga kami menjadi antara yang
bertanggungjawab menjaga urusan kebajikan keluarga para tahanan –
perjuangan yang bukan semata kerana kami ‘penyokong tegar’ YB Saari
tetapi demi rakyat tanpa mengira siapa selagi mereka dizalimi dan selagi
ada pemimpin yang zalim dan tidak adil.
Ketika inilah, selama dua tahun tepat, keluarga kami begitu rapat. Saya
melihat bagaimana seluruh ahli keluarga ini, iaitu anak-anak dan
terutama sekali isterinya Puan Aliza, bangun berjuang habis-habisan
untuk membebaskan YB Saari kerana amat yakin dengan perjuangan beliau
menentang kezaliman.
Walaupun bukan ahli keluarga YB Saari, saya pernah dua kali mendapat
peluang melawat beliau ketika merengkok dalam Kem Kamunting. Sifat kasih
kasih-sayang sebuah keluarga amat jelas. Pertemuan keluarga setiap
minggu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kamunting juga tidak pernah
menjadi beban buat keluarga ini bagi memastikan mereka yang di dalam dan
di luar terus kuat untuk berjuang.
Hasil daripada perjumpaan tanpa henti dan jemu selama dua tahun ini
jugalah yang membuatkan momentum perjuangan rakyat di luar juga terus
kuat. Saya rasa amat bertuah dan bangga juga kerana saya menjadi orang
yang dipertanggungjawabkan oleh YB Saari untuk menyediakan bahan-bahan
bacaan berkaitan dengan tahanan tanpa bicara dan isu-isu politik dalam
negara untuk disampaikan kepada mereka yang berada dalam Kem Tahanan
Kamunting. Bahan-bahan bacaan itu dibawa oleh para peguam di setiap
lawatan, di samping buku-buku lain sebagai bahan bacaan.
Maka tidak hairanlah juga bila sejak merengkok dalam KEMTA beliau
berjaya menghasilkan beberapa siri buku tentang kezaliman ISA .
Kami juga bertuah kerana sering diraikan dalam majlis makan bersama
keluarga jika ada peristiwa yang penting berlaku seperti di waktu suami
saya dibebaskan dari Penjara Tapah kerana kesalahan menyertai
perhimpunan aman dan juga ketika mahkamah Tinggi Ipoh memberikan
keputusan bahawa hukuman penjara dua tahun ke atas suami saya
digugurkan.
Antara pengalaman menarik bersama keluarga ini ialah ketika kami turut
sama menguruskan pernikahan anak-anak YB Saari dan Puan Aliza. Jun 2006,
keluarga ini melangsungkan perkahwinan 3 orang anak-anak secara
serentak. Saya kira itulah majlis perkahwinan yang sangat ringkas.
Makanan yang ditempah hanyalah Nasi Kukus Ayam Berempah. Itu sahaja dan
jemputannya juga tidak ramai. Selesai tanggungjawab sebagai ibu bapa
Muslim dan contoh yang ingin diketengahkan ialah bersederhana dan
berjimat cermat serta berhemah dalam perbelanjaan.
Saya yakin ini juga yang dapat dilihat dari pengurusan di kawasan yang
diwakilinya di Hulu Kelang. Isteri dan anak-anak tetap memainkan peranan
penting dalam membantu tugasnya sebagai ADUN Hulu Kelang agar khidmat
yang terbaik dapat disalurkan kepada rakyat di kawasannya.
Saya sendiri adalah pengundi untuk kawasan Hulu Kelang dan pasti akan
terus mengundinya dalam pilihanraya yang akan datang. Saya yakin
penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama akan terus memilihnya
atas rekod cemerlang di kawasannya.
Kemelut krisis Menteri Besar Selangor sudah selesai dengan terlantiknya YAB Azmin Ali sebagai
Menteri Besar yang baru. Keadaan kembali tenang untuk sebuah kerajaan
Negeri juga selesai dengan terlantiknya EXCO yang baharu.
Namun masalah dalaman PAS sebagai sebuah parti yang hebat dan besar
masih tidak dapat diselesaikan. Masih tidak selesai lagi tanggapan yang
buruk terhadap dua orang ADUN yang terlibat yang masih dilabel sebagai
pengkhianat.
Harapan sesetengah rakyat yang meletakkan harapan yang tinggi kepada
sebuah parti yang dianggap hebat umpama hancur dan banyak orang
merasakan Pakatan hanya menanti saat untuk pecah dan berkecai.
Namun, untuk seorang yang berjiwa besar seperti YB Saari yang saya
kenali, beliau tidak akan berundur dan menyerah kalah walau difitnah,
dikutuk dan dizalimi.
Beliau akan tetap bersama perjuangan parti yang beliau dukung
sepertimana jawapannya kepada media bahawa beliau masih ahli PAS hingga
ajal dan tidak akan meninggalkan parti.
Itulah YB Saari yang saya kenali – berjuang demi agama dan rakyat.
Nashita Md Noor
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.