Hujan lebat yang melanda sekitar kawasan pusat pentadbiran Putrajaya
menyebabkan kumpulan peserta perhimpunan semakin berkurangan di luar
kompleks Istana Kehakiman.
Jumlah penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjumlah kira-kira 500 orang pada pagi ini berkurangan menjadi sekitar 200 orang sahaja.
Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya bagi menunjukkan solidariti kes liwat II semakin berkurangan berikutan hujan lebat.
Kumpulan penyokong pengadu dalam kes Liwat II, Saiful Bukhari Azlan, pula sudah tidak kelihatan lagi setakat jam 3 petang ini.
Kumpulan penyokong Anwar yang yang setia sejak dari pagi berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman kini berteduh di bawah khemah yang didirikan di hadapan kompleks mahkamah itu.
Sementara menunggu pendengaran itu selesai, para peserta meluangkan masa dengan mendengar ucapan daripada pemimpin dan juga bacaan sajak.
Jumlah anggota polis yang memantau perhimpunan itu juga semakin berkurangan, berbanding kira-kira 60 orang pada pagi ini.
Kumpulan anggota berkenaan bagaimanapun tetap berkawal bagi memastikan orang awam tidak memasuki kawasan Istana Kehakiman.
Anwar dilihat keluar selepas persidangan mahkamah ditangguhkan jam 5.30 petang ini, dan meluangkan masa untuk bertemu para penyokong di luar mahkamah.
Beliau bersama isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berjalan menghampiri semua penyokong dan bersalaman sambil tersenyum kira-kira 10 minit sebelum beredar.
Seorang penyokong, Gan Siew Kin, 70, turut mengambil peluang untuk mendekati Anwar untuk menghadiahkan sebuah novel sejarah bertajuk 'Romance of the Three Kingdoms' kepada Anwar.
Perhimpunan digelar 'Rakyat Hakim Negara' itu akan dilangsungkan lagi esok pada hari terakhir pendengaran rayuan Anwar untuk kes Liwat II.
Menurut jadual programnya, ia akan dimulakan dengan solat Subuh berjemaah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.
Kumpulan peserta seterusnya dijadualkan berkumpul di hadapan masjid dan kemudiannya berarak ke Istana Kehakiman.
Program pada hari esok juga dirancang akan diisi dengan persembahan sketsa dan deklamasi puisi, selain ucapan para pemimpin sementara menunggu keputusan perbicaraan, dijangka jam 4 petang.
Kemuncak program itu adalah perhimpunan utama di hadapan ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya pada jam 9 malam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.