Followers

Wednesday, October 22, 2014

Pas perlu kembali kepada perjuangan asal kata Sanusi


Sanusi Mohd Nor
Pas Kedah menzahirkan kebimbangan dengan senario yang berlaku dalam parti itu sejak bertahaluf siyasi dengan rakan pakatan pembangkang iaitu PKR dan DAP.
 
Ketua Penerangannya, Sanusi Mohd Nor berkata, perselisihan faham dan perbezaan pendapat antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) berkaitan dasar parti menyebabkan kepimpinan Pas paling serius bercelaru.
 
Kata beliau, pergolakan itu juga turut menyaksikan krisis kepimpinan dengan ada antara pemimpin dalam Pas menubuhkan sebuah badan NGO yang dinamakan PasMa.
 
"Sebenarnya penubuhan PasMa ini memberi kesan secara tidak langsung kepada kepimpinan parti yang bertungku lumus berusaha menjadi parti yang kuat untuk menggugat kestabilan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
 
"Saya mengajak semua ahli dan pemimpin Pas di seluruh negara kembali kepada perjuangan asal parti ditubuhkan sejak 63 tahun lalu,” katanya yang dipetik dalam laman sosial Facebook milik beliau hari ini.
 
Sanusi berkata, setiap pemimpin ada kekuatan, kelemahan, kelebihan dan kekurangan masing-masing, tetapi tidak semestinya kepemimpinan itu perlu dijatuhkan.
 
Perbuatan itu, katanya, sangat bahaya, lebih lagi ada segelintir pemimpin parti telah secara terbuka menunjukkan kekaguman dan memuji-muji kepimpinan parti lain.
 
"Sebenarnya, perbuatan seperti ini akan memperlekehkan dan menjatuhkan wibawa pemimpin sendiri, sedangkan perjuangan dan perlembagaan parti amat jelas iaitu semua ahli dan pemimpin mesti dalam satu jemaah.
 
"Jika seseorang pemimpin itu memahami matlamat perjuangan parti, mereka tidak akan berusaha untuk menjatuhkannya, sebaliknya berdiri teguh di belakang ketua walau dalam keadaan apa sekali pun," katanya.
 
Menurut Sanusi, pemimpin yang diangkat menjadi ketua memiliki haknya untuk menyatakan pendirian mewakili jemaah atas kapasitinya sebagai Presiden.
 
"Ini ada dalam perlembagaan. Jika pemimpin lain ada pandangan atau pendapat selain daripada itu, ia tidak boleh menyatakannya secara terbuka, mesti dinyatakan dalam mesyuarat atau secara tertutup. Itulah yang telah dilakukan dalam Pas sejak dulu dan itulah kaedah yang harus dikekalkan selama-lamanya," katanya.
 
Beliau turut memberi contoh, apabila bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor mengeluarkan pandangan atau pendirian mengenai sesuatu perkara, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika itu Naib Presiden akan mengeluarkan dalil dan nas dari hadis atau al-Quran.
 
"Lengkap dengan rujukannya, nama kitab, baris berapa, muka surat berapa, jilid berapa. Semuanya kemas dan kukuh keilmuan Abdul Hadi. Mereka berdua saling melengkapi, mengetengahkan Islam yang diperjuangkan oleh Pas," katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.