Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka, Tamrin Tun Ghafar dikhabarkan
akan meninggalkan parti Pas yang disertainya lebih setahun lalu, tidak
lama lagi.
Desas-desus telah bertiup kencang sejak semalam mengatakan beliau akan
membuat pengumuman mengenainya pada minggu hadapan atau selewat-lewatnya
dua minggu daripada sekarang.
Adalah dipercayai Tamrin berbuat demikian berikutan kecewa dengan sikap
pemimpin tertentu dalam parti itu yang sejak akhir-akhir ini menambahkan
lagi kekusutan dalam PR, terutamanya berhubung isu pertukaran Menteri
Besar Selangor.
Sikap permimpin tertentu dalam Pas yang seolah-olah melihat rakan
sendiri iaitu PKR dan DAP sebagai musuh berbanding UMNO sedangkan
perjuangan PR ialah untuk menggantikan BN mentadbir negara ini
dikhabarkan menyebabkan beliau merasakan berada di dalam Pas bagaikan
tidak memberi banyak erti kepada perjuangannya.
Lantaran itu, Tamrin yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana
Menteri, Tun Ghafar Baba memutuskan pilihan terbaik baginya ialah
meninggalkan Pas yang disertainya sebelum PRU 13 lalu.
Dikatakan juga, meskipun memutuskan meninggalkan Pas tetapi Tamrin tidak
akan menyertai PKR mahupun DAP, malah tidak juga akan kembali semula
menyertai UMNO.
Beliau dikhabarkan akan menjadi individu bebas yang tidak terikat kepada mana-mana parti lagi selepas ini.
Bagaimanapun Tamrin sehingga ini tidak dapat dihubungi untuk mengulas
sejauh mana benarnya desas-desus beliau akan meninggalkan Pas ini.
Telefon bimbitnya tidak dijawab walaupun dihubungi beberapa kali, malah
pesanan SMS dan Whatsapp yang dihantar kepadanya juga tidak dibalas.
Sejak menyertai Pas sebelum pilihanraya umum lalu, Tamrin adalah antara
penceramah yang aktif berkempen ke seluruh negara bagi memastikan PR
memperolehi kemenangan dan mampu menewaskan BN.
Dalam banyak pilihanraya
kecil juga, penglibatannya hampir tidak pernah terkecuali.
Namun, sejak tercetusnya isu pertukaran Menteri Besar Selangor yang
telah menimbulkan kekalutan selama beberapa bulan sehingga akhirnya
Sultan Selangor memilih Azmin Ali menggantikan Khalid Ibrahim, Tamrin
berpendirian sama dengan kumpulan progresif dan profesional dalam Pas
yang mahukan parti itu berpegang pada janji dan muafakat dalam PR.
Tindakan Pas yang berdolak-dalik, berubah pendirian dan akhirnya turut
mencalonkan Adunnya sendiri dipercayai adalah antara punca
berpanjangannya kemelut itu di Selangor sehingga meretakkan hubungan
antara kumpulan ulama dengan profesional dalam parti itu.
Walaupun Pas, terutamanya kumpulan ulama mungkin mengatakan keputusan
Tamrin ini tidak menjejaskan perjuangan parti itu tetapi haruslah
disedari bahawa kekecewaan terhadap sikap Pas itu turut juga dikongsi
oleh banyak kelompok lain dalam masyarakat sejak kebelakangan ini
seperti kakitangan kerajaan, swasta, guru-guru, pekerja profesional dan
sebagainya.
Semua mereka ini mempunyai jiwa Islam dan ingin melihat kemenangan Islam
tetapi sikap yang ditunjukkan dalam kemelut di Selangor yang
seolah-olah Pas mula "bermain mata" dengan UMNO bukan saja menyebabkan
ada yang sudah tidak mahu lagi menyokong Pas, bahkan ramai juga yang
enggan mengundi calon Pas dalam pilihanraya umum akan datang.
Selain Tamrin, antara pemimpin UMNO yang telah menyertai Pas sebelum ini
ialah bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Mohd Taib dan tokoh
korporat daripada Pulau Pinang, Abdul Rahman Maidin.
Adakah mereka ini juga bakal mengikuti jejak Tamrin selepas ini?
-shahbudindotc
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.