Ibrahim Ali Perlu Dikenakan Tindakan Berhubung Kenyataan Mengenai Bible
[mstar]- Pihak berkuasa perlu menilai semula kes Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan mendakwanya di bawah Akta Hasutan, kata Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata tindakan tersebut akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa Akta itu adalah perlu untuk melindungi keharmonian dan perpaduan antara kaum dan agama di Malaysia.
"Kegagalan untuk mendakwa Ibrahim di bawah Akta Hasutan akan memberikan imej yang buruk kepada kerajaan.
"Ia juga akan memberi persepsi negatif kepada Akta itu, kerana ia dilihat sebagai pro-kerajaan dan cenderung kepada mempertahankan hak-hak Melayu dan ahli-ahli politik," kata Nur Jazlan.
Beliau menggesa Pejabat Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk membuka semula kertas siasatan di bawah peruntukan-peruntukan Akta Hasutan, bukannya Kanun Keseksaan.
Nur Jazlan, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) berkata, langkah itu menunjukkan penggunaan Akta Hasutan yang adil oleh kerajaan terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan keharmonian antara kaum dan kepentingan perpaduan ke arah kemajuan Malaysia.
"Kebanyakan kes di bawah Akta Hasutan telah digunakan terhadap kenyataan berkaitan orang Melayu, Islam, dan kedudukan raja-raja Melayu," katanya.
Ibrahim pada Januari didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang mengancam, menggesa supaya Bible versi Melayu yang mengandungi perkataan "Allah" dan tulisan Jawi dibakar.
Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selepas beberapa laporan telah dibuat terhadap Ibrahim.
Melati bantah dalil Ibrahim Ali
[fmt]- Ahli DAP, Jamila Rahim menyangkal kenyataan yang dibuat oleh Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang berhasrat untuk membakar Bible dengan alasan untuk mempertahankan agama Islam.
“Saya meminta Presiden PERKASA untuk mengeluarkan dalil yang beliau gunakan untuk membenarkan supaya Bible dibakar sebagai langkah untuk mempertahankan agama Islam,” tulisnya di dalam laman Facebook.
Jamila atau lebih mesra dipanggil Melati Rahim turut menyatakan tindakan Ibrahim itu adalah satu provokasi yang berniat jahat, bahkan seakan-akan ingin menyuburkan kebencian yang akan menyebabkan permusuhan agama di Malaysia.
Bagi menyelar kenyataan Ibrahim itu, Melati turut memberikan beberapa potong ayat al-Quran, daripada surah An- Nahl ayat 125, Al-Ankabut ayat 46 dan beberapa hadis lain.
Selain itu, Melati turut memberitahu bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk melayan agama lain dengan keras dan kekejaman.
“Jika kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap tindakan biadap Ibrahim Ali yang ingin membakar Bible, di khuatirkan kejadian ini akan menyebabkan ada pula pihak yang akan membakar al-Quran.
“Dan akhirnya berlaku perbalahan yang akan menyebabkan peperangan seperti yang telah berlaku di Palestin.
IdaMan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.