Sekiranya benar serpihan di perairan Indonesia milik MH370, ia bakal menjadi petunjuk terbaik pencarian pesawat yang menjadi misteri sejak 8 Mac lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Ruhaizah Mohd. Rashid berkata, serpihan itu akan diperiksa oleh Boeing terlebih dahulu sebelum disahkan.
“Sekarang ini kita tidak ada petunjuk…kita ada maklumat dan data dan menerusi itu kita akan analisis tapi kalu kita dapat serpihan itu akan lebih jelas…sekarang ini kita harapkan ada serpihan,” ujarnya ketika ditemui selepas taklimat MH30 oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dan Pusat Koordinasi Agensi (JACC) di sini petang tadi.
“Kalau ada serpihan pihak Indonesia akan terus berhubung dengan kita…buat masa ini tidak ada. “Hubungan kita dengan Indonesia rapat, jadi apa-apa kita akan berhubung dengan mereka dan ATSB. Kita tidak tahu berapa lama masa akan diambil untuk mengesahkan serpihan itu jika ada terjumpa,” kata Ruhaizah.
Terdahulu, dalam laman sosial dan dunia maya, berita serpihan hang dipercayai bangkai pesawat MH370 dilaporkan ditemui di pantai Indonesia namun masih belum disahkan.
Menurut Pengarah Program ATSB, Peter Foley (gambar bawah) dalam taklimat itu, serpihan yang terapung tersebut mungkin telah hanyut menjauhi perairan Barat Australia dan menuju Indonesia.
“Pihak ATSB meneliti semua maklumat itu dengan berhati-hati. Namun berdasarkan model arus yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia, jika ada serpihan yang terapung, ia berkemungkinan besar sudah dibawa arus ke barat, menjauhi garis pantai Australia,” ujarnya.
ATSB yang mengetuai misi pencarian pesawat yang hilang itu di perairan Barat Australia sudahpun menghubungi pihak berkuasa Indonesia.
Terkini, fasa baharu pencarian dasar laut telah dimulakan bulan ini dan setakat ini melibatkan kawasan seluas 1,200 kilometer persegi.
Kapal GO Phoenix yang disewa Malaysia dalam misi tersebut kini meneruskan operasi selepas ia singgah di Pelabuhan Fremantle Port di Perth untuk mengisi minyak baru-baru ini.
Kapal tersebut dilengkapi jentera pengesan dasar laut cangggih iaitu yang mampu menjalankan pencarian sehingga kedalaman 6,000 meter dan meliputi kawasan seluas 194 kilometer persegi sehari.
– MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.