Followers

Friday, October 31, 2014

Mahathir juga kurang yakin Anwar meliwat, kata bekas rakan kolej

 
Bekas rakan kolej Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kurang yakin dakwaan mengatakan bekas anak didiknya itu berkelakuan songsang.
Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata semasa masih berada dalam Kabinet, Dr Mahathir memanggilnya untuk menyiasat tentang latar belakang Anwar semasa di kolej.
"Dr Mahathir tanya sama ada saya setia dengan dia atau Anwar. Saya kata saya setia dengan Anwar sebagai kawan dan Dr Mahathir sebagai ketua," katanya ketika ditemui di Istana Kehakiman Putrajaya, hari ini.
Katanya, pada Februari 2001 beliau sekali lagi dipanggil Dr Mahathir bertanyakan sama ada dirinya percaya Anwar melakukan perbuatan liwat.
Fauzi berkata, Dr Mahathir mahu mendapatkan kepastian tentang dakwaan yang didengarnya daripada adik kepada setiausaha sulit Anwar ketika itu, Ummi Hafilda Ali.
 
Katanya, Dr Mahathir pasti orang ramai akan percaya dengan kata-katanya jika beliau mengaku Anwar melakukan perbuatan sedemikian.
Namun, beliau enggan menurut perintah Dr Mahathir supaya mengakui dan mempercayainya walaupun ditawarkan dua fail projek.
"Sebenarnya dia mahu suruh saya supaya yakinkan dia Anwar tidak meliwat.
"Dia harap dia dapat percaya dan saya hanya bercakap benar," katanya.
Fauzi dan Anwar merupakan rakan sekolah semasa di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada 1964 dan menyertai PKR pada 2008.
Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998 atas dua sebab, iaitu tidak sesuai untuk meneruskan khidmat dalam kerajaan dan menggantikannya sebagai perdana menteri.
 
Dr Mahathir dalam buku "A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad" menyatakan beliau dimaklumkan mengenai skandal Anwar oleh bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar, 4 tahun sebelum buku '50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri' dihantar kepadanya.
Namun enggan membacanya kerana yakin ketika itu ia hanya artikel sensasi bertujuan mengaut keuntungan.
Anwar dijatuhi hukuman penjara 6 tahun bagi kesalahan rasuah pada 1999 dan 9 tahun ekoran kes Liwat II pada 2000.
Beliau dibebaskan daripada tuduhan liwat oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004.
Kini, beliau dalam proses rayuan terakhir menggugurkan tuduhan Liwat II di peringkat Mahkamah Persekutuan yang dijangka berakhir pada minggu depan.
Jika didapati bersalah, beliau akan dihukum penjara 5 tahun kerana bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Damansara pada Jun 2008. –TMI
 
 Mimpi Senja

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.