Followers

Sunday, October 26, 2014

Lelaki Naik Hantu Kejar Ibu Dengan Pisau Keliling Rumah

 
Seorang  lelaki tergamak mengejar ibunya keliling rumah dengan sebilah pisau selepas ditegur oleh ibunya kerana menyelongkar barang di dapur rumahnya di Kampung Kuala Kubang dekat Jabi, di sini.

Menurut sumber, suspek yang merupakan penagih dadah dikatakan menyelongkar barang untuk mencari wang bagi membeli dadah, namun berang selepas ditegur ibunya yang berusia 55 tahun.


Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang apabila mangsa melihat anaknya yang berusia 37 tahun berada di dapur rumah.

“Suspek yang naik hantu telah bertindak mengambil sebilah pisau di dapur dan mengugut mencederakan mangsa.

“Wanita yang bekerja sebagai penoreh getah itu melarikan diri dan dikejar di kawasan rumah berkenaan,” katanya.

Mangsa kemudian melarikan diri ke rumah jiran kerana takut terjadi perkara tidak diingini ke atasnya apatah lagi dia mempunyai penyakit jantung.

Bimbang anaknya akan bertindak ganas lagi, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jertih.

Menurut sumber, suspek sebelum ini sering melakukan perkara sama terhadap ibunya demi mendapatkan wang dipercayai bagi tujuan membeli dadah.

Bagaimanapun mangsa dan suaminya yang kurang sihat serta bekerja sebagai penoreh getah tidak dapat sentiasa memenuhi permintaan anaknya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noor Halim Nordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan polis di rumah keluarganya di Kuala Kubang kira-kira jam 11.30 malam hari yang sama.

“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mengugut ibunya,” katanya.

Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.



 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.