Followers

Tuesday, October 28, 2014

Kawalan ketat ketika mahkamah bersiap dengar rayuan Liwat II

[LIVE - GAMBAR] Rayuan Liwat 2 Di Mahkamah Persekutuan


Empat tahun selepas perbicaraan Liwat II bermula, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berusia 67 tahun akan tahu hari ini atau esok sama ada Mahkamah Persekutuan akan mengekalkan hukuman ke atasnya dan dipenjarakan.

Dalam tempoh dua hari ini, panel lima anggota hakim di mahkamah tertinggi di negara ini akan membuat keputusan mengenai rayuan ketua pembangkang itu dan juga rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara ke atas Anwar.

Pasukan peguambela Anwar telah mengemukakan 35 alasan dalam merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac yang mendapati MP Permatang Pauh itu bersalah atas tuduhan liwat - sabitan kedua bagi tuduhan tersebut dalam tempoh 10 tahun.

Pihak pendakwaan pula telah mengemukakan empat alasan untuk menambah tempoh hukuman penjara itu, di mana ia merasakan tempoh lima tahun penjara yang dijatuhkan ke atas ketua umum PKR itu sebagai tidak cukup berbanding dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan hukuman sebat yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau secara automatik akan kehilangan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan pilihan raya kecil dijangka diadakan.

Bekas pengerusi Majlis Peguam dan peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah akan sekali lagi mengetuai pasukan peguambela Anwar.

Sulaiman pada mulanya mewakili Anwar pada peringkat awal kes itu apabila beliau pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2008.

Bagaimanapun Karpal Singh mengambil alih apabila perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua tahun kemudian. Karpal meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada bulan April tahun ini, dan Sulaiman kembali sebagai peguambela utama Anwar.

Perbicaraan hari ini juga menjadi tumpuan pemerhati antarabangsa, termasuk Inter-Parliamentary Union, Union for Civil Liberty, LawAsia serta Badan Peguam Malaysia. Kes itu juga dijangka menarik kehadiran pegawai kedutaan asing, sebagai pemerhati.

Malaysiakini membuat liputan langsung perbicaraan tersebut.

LAPORAN LANGSUNG

8.59am: Anwar tiba bersama isterinya yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Seorang lagi anggota pasukan peguam Anwar ialah Gobind Singh Deo. Anwar dilihat berbincang sesuatu dengan peguam utamanya, Gopal Sri Ram.

8.56am: Berlaku sedikit kekecohan di luar mahkamah ketika sekumpulan wartawan cuba mengekori Anwar di luar mahkamah.

Kira-kira 20 petugas media menyelinap melewati kawalan polis dan mengekori Anwar sehingga ke ruang legar mahkamah, tetapi ramai lagi masih berada di luar apabila anggota polis berjaya menutup pintu.

Orang ramai melaungkan "Reformasi" semasa ketibaan Anwar, sehingga beliau masuk ke Istana Kehakiman sejurus kemudian.

8.55am: Dalam satu perkembangan baru, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram menggantikan Sulaiman mewakili Anwar.

Difahamkan Gopal dilantik di saat-saat akhir. Menurut peguam Latheefa, Sulaiman tidak sihat dan terpaksa menarik diri.

8.28am: Lima panel hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Di antara mereka yang dilihat di mahkamah ialah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

8.10am: Peguam Mohd Saiful Bukhari Azlan - Zamri Idrus - memasuki dewan mahkamah. Beberapa pemerhati asing sudah pun berada di dalam.

Pasukan peguambela Anwar - Latheefa Koya dan N Surendran - juga berada di dalam dewan mahkamah.

Wartawan perlu melalui tiga pemeriksaan keselamatan dan ketika berada di dalam kompleks mahkamah mereka perlu mendaftar dengan anggota keselamatan yang bertugas di luar dewan mahkamah di mana rayuan Liwat II akan didengar.

8.00am: Wartawan yang membuat liputan perbicaraan, melalui pemeriksaan keselamatan oleh pihak polis, sebelum dibenarkan masuk ke kompleks mahkamah.

7.40am: Sekumpulan penyokong Angkatan Muda Keadilan (AMK) tiba dan mereka berkumpul dekat khemah polis di tengah-tengah jalan utama menuju ke Istana Kehakiman.

Belum ada yang dibenarkan masuk ke kompleks mahkamah. Pekerja mahkamah masuk ke kompleks melalui belakang bangunan selepas pemeriksaan keselamatan oleh pihak polis.

Seorang wakil mahkamah berkata, ia akan dibuka pada jam 8.15 pagi.

6.50am: Anggota polis mengawal kawasan dan jalan sekitar kompleks mahkamah di Putrajaya itu di mana rayuan Anwar terhadap sabitan pertuduhan Liwat II didengar.

Lebih 50 anggota polis yang mengawal jalan-jalan utama menuju ke bangunan mahkamah. Mereka yang ingin menghadiri pendengaran mahkamah perlu mengambil laluan yang jauh. Khemah yang didirikan oleh pihak polis terletak di tengah jalan utama.


Apapun nasib Anwar, kelebihan di pihak PR

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times Datuk Dr. A. Kadir Jasin menyatakan sebahagian kekuatan Pakatan Rakyat (PR) berpunca daripada kelemahan Barisan Nasional melainkan parti itu sudah pulih sepenuhnya daripada bencana ‘Tsunami Cina PRU 2013′.

Bahkan, BN juga tidak mungkin boleh meraih apa-apa faedah daripada memenjarakan Anwar.

“BN mungkin akan menderita beban tuduhan dan kebencian manakala Anwar akan terus “menerajui” PR dari “suite”nya di penjara. Seandainya kes tersebut digugurkan pula, maka jadilah beliau “makhluk suci” yang kalis fitnah,” katanya di dalam blog www.kadirjasin.blogspot.com/

Tambah Kadir lagi, terdapat beberapa senario yang akan terjadi antaranya jika Anwar masuk penjara, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PR akan kehilangan ketua yang karismatik, tetapi memperoleh simpati.

“Setelah bercakaran dan kacau-bilau akibat krisis Menteri Besar Selangor, PR memerlukan simpati dan persefahaman penyokongnya,” jelas beliau lagi.

Manakala, jika Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa Anwar tidak bersalah, Anwar akan muncul sebagai makhluk suci yang cuba difitnah oleh musuh-musuhnya.

“Kedudukan beliau di mata kepemimpinan dan penyokong PR akan bertambah kukuh,” katanya.

Jelas Kadir lagi, ramalan PR akan hancur musnah kalau Anwar dipenjarakan hanyalah premature. Sebaliknya simpati yang tercetus daripada pemenjaraan Anwar akan memberi peluang baru kepada PR untuk memperkukuh dan memperluaskan sokongan.

Kadir menjelaskan terdapat dua pemangkin yang membuatkan PR berjaya sejak PRU 2008. Pertama, kemampuan Anwar mencari titik pertemuan di kalangan parti-parti yang berbeza ideologi, khususnya antara DAP dan PAS. Kedua, ia berjaya mengeksploitasi keterdedahan (vulnerability) BN.

“Daripada aspek psikologi pula, PR berjaya menjitukan semangat penyokongnya dengan memberikan isyarat yang kuat bahawa mereka boleh mengalahkan BN dan pada masa yang sama mengambil kesempatan daripada kekecewaan penyokong BN terhadap parti mereka sendiri,” katanya lagi.

Kadir turut memberitahu bahawa antara faktor lain yang memihak kepada PR adalah barisan kepemimpinan yang muda.

“Selain veteran seperti Anwar, Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat, parti-parti PR, terutamanya PKR dan DAP digerakkan oleh generasi pelapis.

“Gabungan kepemimpinan pelapis yang meluas dengan bilangan pemilih muda yang semakin meningkat boleh menjadi dorongan (impetus) kepada parti-parti PR untuk terus berpakat walaupun wujud perbezaan ideologi dan dasar yang ketara,” katanya. -FMT
Yusuf al-Qaradawi: Anwar tidak patut dituduh tanpa asas

Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam, Yusuf al-Qaradawi menyatakan adalah tidak patut bagi badan kehakiman ditukar supaya menjadi pentas kebencian dan permusuhan politik atau wasilah bagi menjerat pihak lawan di dalam cengkaman kes-kes.

Katanya, perkara demikian kebanyakannya bertujuan untuk mencalar peribadi dan bukan untuk mencari kebenaran.

“Sesungguhnya kami percaya bahawa kemajuan Malaysia, kebangkitan dan kekuatannya terpancar daripada ketinggian nilai-nilai kebebasan dan demokrasi, dan pengukuhan prinsip-prinsip kepelbagaian pemikiran serta persaingan yang mulia demi berkhidmat untuk negara yang berdaulat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin ternama dengan sejarah, pengalaman, perjuangan, kesabaran serta ketabahannya sejak zaman usia muda sehingga ke hari ini.

“Anwar sewajarnya dilayan setimpal dengan jasa perjuangan serta kerja gigihnya, bukan mengenakan beliau dengan tuduhan-tuduhan batil yang tanpa asas,” jelas ulama itu.Tambah Yusuf lagi, mahkamah sebelum ini telah membebaskan Anwar daripada tuduhan itu, tetapi jelas terdapat pihak yang merekayasa komplot dan tidak mempedulikan kebaikan negara dan masa depan rakyatnya.

“Malaysia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi kami, dan kami menaruh kasih sayang terhadapnya dengan hati yang jujur. Impian kami adalah untuk melihat Malaysia sebagai realisasi model Islam yang wasatiyyah, bertamadun, maju dan kontemporari.

“Semua itu tidak akan berlaku kecuali dengan perjuangan orang-orang ikhlas terdiri daripada anak-anak Malaysia, berusaha dan kerjasama berganding bahu, mereka yang amat ingin untuk menjayakan masa depan negara.

“Mereka saling bantu membantu sehingga berdiri tegak rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya.


 



Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.