TINDAKAN BARISAN NASIONAL MEMBERI IMEJ BURUK KEPADA MALAYSIA DI MATA MASYARAKAT ANTARABANGSA
Saya
sudah menjangkakan bahawa akan ada pimpinan Umno/Barisan Nasional yang
menggunakan taktik lama menuduh bahawa pimpinan Pakatan Rakyat
memburukkan negara di peringkat antarabangsa setiap kali ada pertemuan
di antara kami dan pimpinan negara luar.
Kenyataan
Shahidan Kassim dua hari lepas kononnya saya dan rakan-rakan delegasi
KEADILAN yang lain memburukkan nama Malaysia dalam pertemuan dengan
Menteri Luar Australia, Julie Bishops dan ahli-ahli Parlimen Australia
yang lain tidaklah mengejutkan.
Saya
membincangkan isu-isu berhubung kecenderongan Umno/Barisan Nasional
menggunakan kempen yang memanipulasi agama dan perkauman untuk kekal
berkuasa, selain dari tindakan-tindakan Umno/Barisan Nasional yang
menekan pihak yang berbeza pendapat dengan menggunakan Akta Hasutan dan
fitnah terhadap Anwar Ibrahim.
Isu-isu
ini bukanlah perkara yang baru dan telah menerima liputan meluas di
peringkat antarabangsa. Apatah lagi apabila Umno/Barisan Nasional enggan
bertindak terhadap ugutan-ugutan perkauman dan manipulasi agama yang
dibuat oleh kumpulan-kumpulan yang rapat dengan Umno/Barsian Nasional;
contohnya ugutan untuk membakar Bible yang dibuat oleh Datuk Ibrahim
Ali.
Malah,
tindakan Umno/Barisan Nasional yang terus menyalahgunakan institusi
undang-undang untuk menekan Anwar Ibrahim dan pimpinan lain melalui
Akta Hasutan telah pun meletakkan fokus masyarakat antarabangsa kepada
rekod hak asasi manusia kerajaan Malaysia yang semakin merudum.
Dalam
pertemuan saya dengan Human Rights Watch dan Amnesty International,
saya telah dimaklumkan bahawa laporan tahunan hak asasi manusia bagi
tahun 2014 yang bakal dikeluarkan oleh Human Rights Watch akan
mengkritik rekod hak asasi manusia yang semakin buruk kerana beberapa
tindakan kerajaan Umno/Barisan Nasional terutamanya pendakwaan terhadap
Anwar Ibrahim dan penggunaan Akta Hasutan.
Human
Rights Watch dan Amnesty International juga peka dengan kecenderongan
Umno/Barisan Nasional kebelakangan ini untuk menggunakan seksyen-seksyen
tertentu dari Kanun Keseksaan (Penal Code) sedia ada bagi tujuan
pendakwaan politik dengan memberi gambaran seolah-olah pendakwaan
tersebut adalah siasatan jenayah biasa.
Oleh
sebab itu, jika Umno/Barisan Nasional benar-benar ikhlas mahu menjaga
nama baik Malaysia di mata antarabangsa, ia perlulah menghentikan
tindakan dan perkara-perkara yang bertentangan dengan amalan demokratik.
Tindakan Umno/Barisan Nasional selama inilah yang sebenarnya telah pun
menarik perhatian masyarakat antarabangsa kepada rekod demokratik dan
hak asasi manusia kerajaan Malaysia yang semakin buruk.
Saya
suka mengingatkan Umno/Barisan Nasional bahawa dalam suasana dunia
sekarang, sebarang tindakannya yang bertentangan dengan adab demokrasi
akan mengundang kecaman dan tindakbalas dari banyak pihak di seluruh
dunia.
Sekiranya
ada campur tangan politik untuk mempengaruhi keputusan Mahkamah
Persekutuan berhubung fitnah terhadap Anwar Ibrahim, kecaman dan
tindakbalas itu bukan sahaja datang dari negara-negara lain dan
badan-badan antarabangsa, malah ia mengundang satu lagi gelombang
aktivisme di kalangan pelajar-pelajar Malaysia luar negara dan rakyat
Malaysia di luar negara seperti mana yang berlaku di dalam tahun 1998
dahulu.
Pertemuan
saya dan rakan-rakan dengan mahasiswa Malaysia di Melbourne, Adelaide,
Perth, Canberra dan Sydney membuktikan bahawa mahasiswa Malaysia (baik
yang di bawah tajaan atau persendirian) mengikuti perkembangan politik
di Malaysia dengan dekat. Lahirnya kumpulan mahasiswa seperti Malaysian
Progressives (MP) di Australia yang menganjurkan siri dialog dengan
mahasiswa bagi menggalakkan kesedaran politik di kalangan mereka
membuktikan Umno/Barisan Nasional tidak boleh mengambil mudah keberanian
dan kematangan mahasiswa Malaysia di luar negara yang akan memberi
tindakbalas kepada perkembangan politik di Malaysia.
Pimpinan
KEADILAN akan terus menjalin hubungan rapat dengan rangkaian ahli
politik di seluruh dunia yang mempunyai pandangan yang sama mengenai hak
demokratik, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia. Itu adalah
hak kami sebagai ahli parlimen dan pimpinan sebuah parti politik yang
sah dan telah mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia.
Taktik
menuduh kononnya pembangkang suka memburukkan nama Malaysia di mata
antarabangsa yang selalu digunakan Umno/Barisan Nasional tidak boleh
dipakai lagi. Umno/Barisan Nasional bukanlah Malaysia dan tindakan buruk
mereka tidak melambangkan rakyat atau negara Malaysia, apatah lagi bila
mana Umno/Barisan Nasional adalah kerajaan minoriti yang hanya mendapat
sokongan 47% pengundi dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
24 Oktober 2014
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.