Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor
merupakan antara sembilan defendan yang cuba membatalkan saman yang
difailkan oleh keluarga mendiang P Balasubramaniam yang akan mendedahkan
peranan mereka yang didakwa menyebabkan penyiasat persendirian, isteri
dan anak-anak beliau, terpaksa berada dalam buangan.
Peguam Americk Singh, yang mewakili balu Balasubramaniam, A Santamil
Selvi dan tiga anak mereka, memberitahu The Malaysian Insider
perbicaraan ditetapkan 20 November di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi
Datuk Hasnah Mohammed Hashim.
Antara alasan yang diberikan defendan ialah keluarga Balasubramaniam
tiada sebab munasabah untuk bertindak, tindakan mereka itu satu
penyalahgunaan proses mahkamah dan ia menimbulkan skandal, remeh dan
menyakitkan hati.
The Malaysian Insider difahamkan sekiranya perdana menteri dan lapan
orang lain itu berjaya membatalkan saman itu, maka merit kes itu tidak
akan diketahui orang ramai.
Ini termasuk mengapa Balasubramaniam terpaksa menarik balik kenyataan
bersumpah pertama beliau dan mengapa dia dan keluarganya terpaksa
meninggalkan negara ini dan menetap di India.
Santamil dan anak-anaknya memfailkan saman bagi kerugian yang dialami
semasa mereka berada dalam buangan antara Julai 2008 dan awal tahun lalu
berikutan tindakan Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya
(SD) yang pertama.
Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac, 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.
Selain Najib
dan Rosmah, defendan lain ialah adik-beradik Najib, Datuk Ahmad Johari
dan Datuk Mohd Nazim, peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham, anaknya Sunil
Abraham, Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat, peguam M Arunapalam
dan peniaga permaidani Deepak Jaikshan.
Dalam saman itu, keluarga itu berkata 9 defendan itu menyebabkan SD
kedua Balasubramaniam "dirangka tanpa arahan si mati dan seterusnya
menyebabkan si mati menandatangani SD yang sama dalam keadaan diugut dan
dipengaruh".
Balasubramaniam atau lebih dikenali sebagai PI Bala, merupakan saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu,
meninggalkan Malaysia tergesa-gesa selepas beliau menandatangani SD
kedua pada tahun 2008, yang kononnya membersihkan Najib dari sebarang
penglibatan dalam kes itu.
Beliau mula mendapat perhatian ramai selepas berkhidmat dengan
penganalisis politik terkemuka Abdul Razak Baginda dalam kes Altantuya
dan apabila beliau menarik balik SD pertamanya mengenai perkara itu pada
4 Julai 2008.
Balasubramaniam dalam SD kedua
berkata beliau mahu "menarik balik seluruh kandungan SD pertama saya
bertarikh 1 Julai, 2008. Saya mengesahkan SD pertama itu dalam keadaan
terpaksa."
SD kedua juga mencatatkan yang semua penyataan yang dibuat tidak tepat dan tidak benar.
Balasubramaniam kemudian hanya membisu pada satu sidang akhbar di sebuah
hotel di Kuala Lumpur di mana peguam barunya Arunapalam yang menjawab
soalan media.
Mereka meninggalkan majlis itu selepas mengedarkan salinan SD kedua.
Arunapalam berkata anak guamnya berada dalam keadaan tertekan dan kecewa.
Pada 3 Julai 2008, Balasubramaniam memberitahu satu sidang akhbar yang
penuh sesak, dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kandungan SD
pertamanya mengaitkan Najib dan beberapa orang lain dalam pembunuhan
Altantuya pada tahun 2006, adalah benar. ~malaysian insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.