Followers

Thursday, October 30, 2014

Fitnah Liwat II: Penemuan 18 alel tak disiasat, sampel Saiful mungkin dikompromi

 
PUTRAJAYA 30 OKT: Peguambela Ram Karpal hari ini meneruskan hujahnya yang tertangguh semalam berkaitan analisis yang dibuat oleh ahli kimia kerajaan terhadap sampel yang diambil dari dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau berhujah berhubung penemuan 18 alel (allele), yang sepatutnya dilaporkan oleh ahli kimia.
“Ini sepatutnya dilaporkan. Ini bermaksud ia tercemar dan kita tidak tahu siapa.

“(Ahli kimia) Dr Seah Lay Hong gagal ikut garis panduan,” kata Ram, lapor Malaysiakini.

Katanya, 18 alel juga ditemui di tuala yang diambil daripada lokap.

“Kehadiran 18 alel mustahil daripada doktor yang memeriksanya. IO (pegawai penyiasat) mungkin telah mencemarkannya.

“Perkara ini patut disiasat lanjut. Ahli kimia Nor Aidora Saedon juga tidak menyiasat kehadiran 18 alel itu,” hujahnya.

Selain tuala, profil DNA 18 alel juga ditemui di dubur Saiful.

“Fakta menunjukkan 18 alel di sini (tuala) dan juga B9 (sapuan pada rektum tinggi Saiful) yang diperiksa Seah, berasal daripada orang yang sama – mungkin IO – yang mencemarkan kedua-dua eksibit,” ujar Ram.

Menurutnya lagi, saksi pakar pasukan pembelaan dalam perbicaraan setuju bahawa 18 alel itu patut dilaporkan.

“18 alel itu bukan milik ‘Lelaki Y’.”

Katanya, sampel-sampel itu mungkin dicemari DNA pihak ketiga yang diuruskan oleh pegawai penyiasat Jude Periera.

Jelas Ram, Seah menerima sampel (Saiful) dan juga seluar serta seluar dalam daripada Pereira pada 30 Jun dan 1 Julai 2008, yang kemudian menemui kesan air mani pada B5, B7, B8 dan B9.

Ram berkata, tiada sebab untuk Jude membuka semula spesimen apabila kembali ke pejabat kerana ia ditutup secara berhati-hati oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tambahnya, Jude membuka P27 (beg plastik mengandungi sampel daripada Saiful).
“Ia (sampel) mungkin dikompromi,” katanya.

“Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mempertahankannya dengan berkata Jude mengikuti Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO),” ujarnya.

Kata Ram, Jude ditanya berhubung IGSO dan pegawai penyiasat setuju bahawa dia tidak mengikutinya dengan teliti.

“Dia tutup semua bekas dan letakkannya secara berasingan dalam beg plastik berbeza dan tutup setiap beg plastik dan masukkan dalam beg plastik lebih besar (P27), yang ditutup sekali lagi,” terang Ram lagi. 
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.