Followers

Friday, October 3, 2014

Azmin Ali Umum Potong Gaji MB, Exco, Speaker Dan Timbalan


 

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata gaji menteri besar, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco), speaker dan timbalan speaker akan dipotong dalam Bajet Selangor 2015 yang akan dibentangkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Katanya, langkah itu bagi mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerana mahu menumpukan kepada perbelanjaan sektor pembangunan.

"Saya ambil pendirian awal gaji menteri besar, exco, speaker dan timbalan speaker akan dipotong kepada tahap munasabah kerana kenaikan kadar pada 2013 terlalu tinggi.

"Saya tidak boleh berdepan dengan rakyat kerana masalah kos kehidupan yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan pagi bersama jabatan kerajaan negeri di Pejabat Daerah Gombak, hari ini.

Beliau berkata, pengurangan itu juga termasuk perbelanjaan keraian dan elaun kakitangan negeri.
Katanya, formula bajet peringkat persekutuan di Parlimen, yang memperuntukan 80% perbelanjaan mengurus dan 20% bagi pembangunan sebelum ini, memberi kesan kepada rakyat bawahan.

"Bajet 2015 ditukar, di mana belanja pembangunan ditingkatkan ke satu kadar yang agak munasabah dan belanja mengurus dikurangkan kepada kos yang akan ditetapkan, ini mesti dalam bentuk pembangunan," katanya.

Katanya, pembangunan mesti digunakan untuk menunjukkan kekayaan Selangor terutamanya bagi sektor perumahan, pendidikan dan kebajikan.

"Ini masih dalam perbincangan. Biar exco bincang dahulu dalam mesyuarat sebelum mengemukakan keputusan akhir," katanya.

Azmin selepas mempengerusikan mesyuarat exco Rabu lalu memutuskan kenaikan elaun empat jawatan terbabit dikaji semula.

Sidang DUN Selangor pada 27 November, 2013 meluluskan kenaikan gaji MB sebanyak RM29,250, exco RM20,250, speaker RM22,500, timbalan speaker RM15,750 dan ahli DUN (Adun) RM11,250.

Kenaikan sehingga 300% itu bermula pada Januari 2014.

Sidang DUN pada April 2014 kemudian meluluskan pemotongan elaun MB menjadi RM14,175.15, exco RM15,000, speaker RM15,000 dan timbalan speaker RM12,000.

Kadar pemotongan itu disalurkan ke dalam Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Namun, elaun bagi Adun masih dikekalkan.

Azmin dalam ucapannya dihadapan kira-kira 100 kakitangan negeri juga berkata, peruntukan Pemberian Penyenggaran Jalan Raya Negeri (MARRIS) daripada Putrajaya yang berjumlah RM523 juta akan digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah infrastruktur tempatan.

"Pada tahun baru (2015), saya tidak mahu lagi ada aduan tentang jalan berlubang, sampah tidak dipungut, longkang tersumbat atau tidak bercantas," katanya.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa awal pelantikan Azmin sebagai menteri besar minggu lalu mengarahkan Timbalan Presiden PKR itu mengkaji semula kenaikan elaun dan projek kontroversi termasuk air dan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex). – The Malaysian Insider


Posted by Jeebond BLM
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.