[Bernama] BUKIT MERTAJAM, 28 Sept (Bernama) -- Seorang penganggur yang
cedera parah dipukul orang ramai kerana mencuri sebuah telefon bimbit
milik seorang pemandu lori Jumaat lepas, meninggal dunia di Hospital
Bukit Mertajam (HBM) di sini, awal Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Rusli Mohd Noor
berkata mangsa, Ooi Sim Guan, 38, mati pada pukul 12.40 pagi ini selepas
kira-kira 36 jam tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di hospital
berkenaan.
"Dalam kejadian pada pukul 2 petang Jumaat lepas, mangsa telah menahan
sebuah lori di tepi jalan di Taman Sejahtera di sini dan memberitahu
pemandu berkenaan dia ingin menumpang ke Bandar Bukit Mertajam.
"Pemandu lori berkenaan yang berusia 33 tahun yang sedang dalam
perjalanan ke Kulim kemudian membenarkan mangsa menaiki lorinya namun
selepas satu kilometer, mangsa memaklumkan ingin turun," katanya pada
sidang akhbar di sini Ahad.
Beliau berkata selepas lelaki itu turun, pemandu lori berkenaan
menyedari telefon bimbitnya yang diletakkan dalam tempat penyimpanan
barang di bahagian penumpang telah hilang dan dia berpatah balik ke
Taman Sejahtera untuk mencari lelaki terbabit.
"Pemandu lori itu menemui lelaki berkenaan di kawasan padang berhampiran
rumah kedai dan berlaku pertengkaran antara mereka apabila telefon
bimbit yang hilang ditemui bersama mangsa," katanya.
Rusli berkata berlaku pergelutan dan beberapa lelaki yang berada di
kawasan itu turut memukul mangsa dan pada masa yang sama seorang
individu bertindak merakam kejadian tersebut menerusi telefon bimbit
yang kemudiannya memuat naik rakaman itu di laman sosial.
Katanya susulan kejadian itu, polis menahan pemandu lori terbabit di sini bagi membantu siasatan.
"Kami juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai
terlibat dalam kejadian berkenaan dan saya minta sesiapa yang mempunyai
maklumat mengenai kes itu menghubungi mana-mana balai polis berdekatan
bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak bertindak di luar batasan
sehingga mencederakan orang lain biar pun mengesyaki mereka melakukan
jenayah.
"Kita menghargai tindakan orang awam (yang mahu menangkap penjenayah),
tetapi jangan bertindak sewenang-wenangnya sehingga melampaui
undang-undang. Sepatutnya jika berlaku sebarang kejadian jenayah tangkap
dan serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Dunia Cacamarba
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.