KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendakwaan-pendakwaan terhadap
peguamnya, Surendran hanya mengesahkan dakwaan konspirasi terhadapnya
dan mengukuhkan kepercayaan bahawa pihak kerajaan berusaha sedaya upaya
untuk memenjarakan beliau.Ketua Pembangkan itu menyatakan demikian dalam satu kenyatan yang merujuk rayuan beliau terhadap sabitan kes Fitnah 2 yang akan didengar Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober depan.
Berikut kenyataan beliau.
Saya rujuk rayuan saya terhadap sabitan kes Fitnah 2 yang akan didengar Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober 2014.
Perkembangan mutakhir cukup menjejas hak saya untuk mendapatkan pendengaran yang adil di dalam rayuan yang akan datang ini.
Pada 19 dan 28 Ogos 2014, peguambela saya N Surendran telah didakwa dua kali di bawah Akta Hasutan, dan kedua-dua dakwaan ini berkait langsung dengan kes rayuan saya ini.
Kedua-dua dakwaan tersebut melibatkan perkara-perkara yang dibangkitkan beliau yang merupakan sebahagian daripada pembelaan saya di dalam rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan ini.
Dakwaan pertama berkait kritikan terhadap keputusan hakim Mahkamah Rayuan yang mensabitkan saya. Kritikan ini melibatkan hujah-hujah yang akan dibangkit peguambela saya di dalam rayuan yang akan datang ini.
Dakwaan kedua berkait kenyataan Surendran yang telah bercakap kepada media selepas pengurusan kes rayuan saya bahawa wujud satu konspirasi dalam dakwaan-dakwaan terhadap saya. Sekali lagi saya nyatakan bahawa dakwaan konspirasi adalah salah satu hujah pembelaan saya di mahkamah.
Di dalam kenyataan dari kandang tertuduh, sewaktu perbicaraan kes saya telah menyatakan:
“Keseluruhan proses ini tidak lain dan tidak bukan adalah satu konspirasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghilangkan saya dari persada politik dengan sekali lagi berusaha untuk memenjarakan saya.
Oleh itu saya nyatakan bahawa saya tidak mempunyai kepercayaan bahawa keadilan akan ditegakkan dalam perbicaraan ini walaupun pasukan pembelaan telah berusaha bersungguh-sungguh.
Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini, ini bukanlah satu perbicaraan jenayah. Ini adalah satu sandiwara yang dipentaskan pemerintah untuk memastikan saya tidak aktif dalam politik demi kelangsungan kekuasaan mereka.
Pada 1998, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan perkara ini dan tindakan ‘Machiavellian’ beliau menggunakan seluruh jentera Kerajaan telah memastikan saya dipenjarakan selama 15 tahun di atas kesalahan-kesalahan yang tidak pernah saya lakukan. Inilah kezaliman dan ketidakadilan yang telah diperlakukan terhadap saya dahulu.
Dan inilah juga kezaliman dan ketidakadilan yang diteruskan hari ini.
Najib Razak melakukan perkara yang sama seperti mentornya, iaitu dengan mengerahkan keseluruhan jentera termasuk media, polis, Peguam Negara dan badan kehakiman untuk memastikan keadilan tidak ditegakkan dan saya dibuang dari persada politik tanah air.”
Kenapakah ia satu kesalahan jenayah untuk peguambela saya menyatakan hujah pembelaan saya?
Kenyataan-kenyataan peguam saya untuk membela saya kini dijadikan asas pendakwaan jenayah terhadap beliau. Ini satu penganiayaan. Ia jelas dilakukan untuk menakut-nakutkan pasukan pembelaan saya dan menghalang mereka dari melakukan tugas-tugas profesional serta mencabul hak saya dibawah perlembagaan untuk mendapat khidmat guaman yang baik.
Rayuan saya akan terjejas dan akan bersifat tidak adil dari saat ia dimulakan. Pendakwaan-pendakwaan terhadap Surendran ini hanya mengesahkan dakwaan konspirasi terhadap saya dan mengukuhkan kepercayaan bahawa pihak kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memenjarakan saya. -
HARAKAHDAILY 25/9/2014

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.