Sultan Selangor telah berkenan melantik Timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai menteri besar yang baru berkuatkuasa esok.
Majlis angkat sumpah akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang jam 10.30 pagi esok.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan surat pelantikan itu telah dihantar kepada Azmin hari ini.
Azmin akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tamat perkhidmatan sebagai menteri besar hari ini.
Petang tadi, Khalid diraikan dalam majlis perpisahan yang dihadiri lebih 200 kakitangan.
Azmin telah selesai mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada kira-kira jam 7.30 malam ini di ibu pejabat PKR.
Anwar dan Wan Azizah beredar meninggalkan ibu pejabat PKR tetapi Azmin masih berada di situ dan dijangka mengeluarkan kenyataan penuh pada jam 8 malam.
Kedua-dua Anwar dan Azmin enggan mengulas mengenai hasil pertemuan itu, dan hanya berkata keputusannya "cukup positif".
Tidak dapat dipastikan sama ada Anwar dan Wan Azizah merestui pelantikan Azmin dan melabuhkan tabir krisis pelantikan menteri besar Selangor.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka tersenyum ketika mereka keluar dari bilik mesyuarat.
Sementara itu, PAS mengucapkan tahniah kepada Azmin Ali ekoran pelantikannya sebagai menteri besar Selangor yang baru.
Menulis dalam twitter, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata semoga Pakatan Rakyat terus utuh.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.