Followers

Monday, September 29, 2014

Royalti minyak: Pas minta pendirian MB Terengganu

 
KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu meminta kerajaan negeri tampil membuat pendirian berhubung hasil kajian bahawa tiada petroleum di negeri Pantai Timur Semenanjung, termasuk Terengganu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat mempersoalkan kajian itu, lebih-lebih lagi apabila rakyat Terengganu telah menikmati bayaran royalti sejak sekian lama, terutama ketika era bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Menurutnya, penting bagi kerajaan negeri membuat pendirian berhubung perkara itu bagi menjelaskan isu sebenar yang berlaku.

“Kita minta kepimpinan Terengganu beri penjelasan kerana perjanjian sebelum ini sudah jelas. Kenapa boleh berlaku begini? Loji di Kerteh itu loji apa? Bukankah di situ ada loji minyak,” katanya, semalam.

Beliau turut mempersoalkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berhubung isu telaga minyak di Blok PM307-Bertam sehingga Pahang diberi wang ihsan RM100 juta setahun.

Sambil menggambarkan kekecewaan dengan hasil kajian itu, Satiful Bahri berharap tindakan itu bukan helah Kerajaan Pusat untuk menafikan bayaran royalti kepada Kelantan.

Pada masa sama, beliau yang juga Adun Paka, turut mempersoalkan status pembayaran di Sabah dan Sarawak sekiranya perjanjian pembayaran itu merujuk kepada tanah negeri dan laut wilayah negeri yang tidak melebihi tiga batu nautika.

“Kita harap jangan perbodohkan rakyat dan menteri besar perlu beri kenyataan berhubung perkara ini. Terengganu ada kedaulatan, ada sultan dan ada maruah. Kita harap pemimpin Terengganu menjaga hak rakyat negeri ini,” katanya.

Kerajaan, menerusi Kementerian Kewangan sebelum ini, mengumumkan penemuan hasil kajian Jawatankuasa Khas Bagi Penentuan Tuntutan Bayaran Tunai Daripada Hasil Petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia bahawa tiada petroleum didapati atau diperoleh di dalam negeri pantai timur, iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.