Isu nombor satu pengundi Selangor mahu diselesaikan segera ialah gangguan bekalan air, dengan majoriti daripada mereka percaya masalah yang berterusan ini ada kaitannya dengan iklim politik negeri itu, mengikut satu kaji selidik baru-baru ini.
Dijalankan bersama The Malaysian Insider dan Merdeka Center, kajian mendapati isu air mendahului senarai perkara yang menjadi kebimbangan pengundi Selangor pada 43%, diikuti jenayah (40%), kos sara hidup (20%), rumah mampu milik (19%) dan kesesakan lalu lintas (11%).
Ditanya sama ada mereka percaya krisis air itu disebabkan politik, 63% daripada 808 responden berkata "ya."
Kaji selidik itu dijalankan mulai 11 hingga 17 Ogos.
Bagaimanapun, pengundi tidak sependapat mengenai siapa yang bertanggungjawab - 24% daripada mereka menyalahkan kerajaan negeri, 22% menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dan 22% menyalahkan cuaca.
Bilangan yang berpendapat sama ada sumber air negeri itu diurus dengan baik atau tidak sama banyaknya dengan 40% mengatakan ya dan 48% lagi tidak.
"Bagi orang ramai, apa yang mereka mahu hanya bekalan air yang sentiasa ada dan tidak terganggu. Mereka sebenarnya tidak minat dengan isu pengambilalihan (perkhidmatan air kerajaan), atau pembinaan Langat 2," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.
"Mereka percaya ini semua politik, kerana mereka semakin sedar perbalahan di antara kerajaan negeri di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Syabas berhubung isu air ini," katanya.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai tidak pasti siapa hendak dipersalahkan kerana terdapat banyak pandangan dan situasinya juga berubah-ubah.
Ditanya sama ada penyokong Pakatan Rakyat (PR) mungkin menyalahkan Syabas sementara mereka yang pro-Barisan Nasional (BN) menyalahkan kerajaan negeri, Ibrahim berkata, ada kemungkinan.
"Tetapi dinamiknya berubah, jadi sekarang sukar bagi rakyat membuat keputusan siapa yang bertanggungjawab. Isu itu sendiri hampir selesai sekarang, dengan pihak yang berbeza mengusahakannya mengikut perjanjian itu," katanya.
Perjanjian penstrukturan semula air ialah satu daripada 6 sebab PKR mahu Khalid dipecat daripada jawatan menteri besar Selangor, menurut laporan 24 halaman parti itu bertajuk "Keputusan Menggantikan Menteri Besar," yang diedarkan kepada DAP dan PAS pada 5 Ogos.
Selangor dilaporkan akan menanggung kerugian, kerana kerajaan persekutuan mendapat kelulusan kerajaan negeri membina loji rawatan air Langat 2 walaupun tanpa mengambil alih syarikat konsesi air terlibat.
Satu lagi sebab Khalid mesti berundur, menurut PKR, ialah kontroversi projek Lebuhraya Kidex.
Parti itu menuduhnya tidak mempedulikan kritikan orang ramai dan menentang usaha Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim supaya rakyat tidak dibebankan dengan kutipan tol.
Secara umumnya, responden yang ditemui Merdeka Center menyokong keputusan PR menolak cadangan pembinaan jalan bertol baru, dengan 57% daripada mereka bersetuju dengan pendirian gabungan pembangkang itu.
Bagaimanapun, jika diukur daripada pecahan etnik, bilangan yang hampir sama banyak di kalangan responden Melayu berpecah menyokong pendirian PR itu, sementara kebanyakan Cina (78%) dan India (64%) bersetuju dengan penolakan PR.
58% daripada responden juga tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri membenarkan pembinaan 6 jalan bertol baru lagi di Selangor.
Sekali lagi, pengundi Melayu berpecah dalam perkara ini, 45% setuju, 44% tidak. Sebaliknya, 74% pengundi Cina dan 67% pengundi India tidak bersetuju dengan enam jalan itu.
Ibrahim berkata, pengundi Melayu terpecah dua antara kesetiaan politik kepada BN dan kepentingan peribadi.
"Sebahagian besar orang Melayu tinggal di kawasan luar bandar di Selangor. Mereka tidak terjejas dengan jalan bertol dan tidak begitu mengambil berat hal ini. Ada juga yang berfikir ia membantu pembangunan negeri.
"Mereka yang tinggal di tengah-tengah Lembah Klang, di sekitar kedua-dua belah Lebuhraya Persekutuan, berlatar belakang etnik campuran menentang tol," katanya.
KedahLanie
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.