PAS redha dengan tindakan rakannya dari PKR dan DAP yang tidak dapat turut sama membantu kempen calonnnya dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.
Pengarah jentera PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata para pemimpin PKR dan DAP tidak turut serta dalam hari-hari terakhir kempennya kerana tumpuan pada isu pelantikan menteri besar Selangor.
“Kita faham situasi ini dan kita boleh tangani (ketiadaan pemimpin Pakatan),” katanya yang merujuk kepada mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat berhubung pelantikan Azmin Ali.
Hanya pemimpin tertinggi PAS muncul dalam ceramah perdana PAS dalam kempen pilihan raya kecil di DUN Pengkalan Kubor pada malam tadi, tanpa kehadiran pemimpin utama Pakatan Rakyat seperti yang dijanjikan.
Perkembangan ini mungkin menjejaskan lagi peluang calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim untuk merampas kerusi yang diwakili BN sejak dua penggal ini.
Ini dapat dilihat melalui poster dan kain rentang pro-BN yang dipasang di kawasan strategik di Pengkalan Kubor sejak Sabtu lalu.
Poster itu membangkitkan kandungan ucapan timbalan mursyidul am, Datuk Haron Din, bekas exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa dan juga presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang turut menonjolkan masalah pentadbiran negeri Kelantan.
Nik Aziz dalam ucapannya itu antara lainnya mengingatkan para pangundi mengenai hukum serta ganjaran bagi menyokong sebuah parti atau kerajaan yang berlandaskan Islam.
Perkara sama turut disampaikan oleh Abdul Hadi yang menasihatkan kepada semua pengundi supaya memilih parti yang dapat memberi ganjaran pada mereka di akhirat kelak.
Di sisi BN pula, yang menonjolkan calonnya Mat Razi Mat Ail, acara anjurannya di segenap daerah mengundi, termasuk karnival, acara sukan tomoi dan dikir barat, hanya berjaya menarik kehadiran sekitar 500 orang di setiap program.
Pemerhatian pada hari ini pula menunjukkan kedua-dua parti menggunakan sepenuhnya hari bertenang hari ini untuk menumpukan pada kunjungan rumah ke rumah.
Di satu sudut lagi, calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hilang wang pertaruhan ketika bertanding di kerusi sama dalam pilihan raya umum lalu sehingga hari ini masih belum mengadakan apa-apa aktiviti besar yang menonjol.
Dalam pilihan raya umum 2013, penyandang kerusi itu Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Pengundi Pengkalan Kubor terdiri daripada 92.02 peratus Melayu, 6.81 peratus lain-lain (meliputi Siam), Cina 0.96 peratus, India 0.10 peratus dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 0.10 peratus.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.