Sempoi punya Nik Abduh & Tantawi di tegur... Jangan terlajak sangat..!!
Sebagai wakil negeri, tentulah beliau tidak bercakap atas sifat peribadi. Suaranya di muktamar adalah suara rasmi PAS Pulau Pinang.
PAS negeri mempunyai banyak saluran untuk membuat teguran agar tidak
mencalarkan imej kerajaan Pakatan Rakyat. Mereka boleh membangkitkan
dalam mesyuarat ahli majlis kerajaan tempatan, bertemu Exco berkenaan
atau terus bertemu Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Jika semua itu masih
sukar, mereka boleh ‘gunakan’ Pesuruhjaya PAS Negeri, Haji Mohamad Sabu
yang mempunyai hubungan akrab dengan Guan Eng sejak dalam tahanan ISA di
Kemunting, untuk menyampaikan hasrat. Jika langkah itupun tidak
menjadi, saluran terakhir ialah Majlis Presiden.
Tapi soalnya, mengapa
PAS Pulau Pinang tidak menggunakan saluran sedia ada sebaliknya memilih
untuk ‘memalukan’ DAP di khalayak ramai? Hanya Allah sahaja yang
mengetahui.
Ekoran tindakan tatatertib itu, AJK PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan
Tantawi membidas tindakan kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng.
Nasrudin mendakwa tindakan itu dilihat seperti kerajaan PAP Singapura
yang mendiamkan pengkritik mereka dengan tekanan dan tindakan
undang-undang.
"Saya kira ia sebagai satu langkah untuk menakut dan menggerunkan pihak yang mahu menegur dan mengkritik," katanya.
Seorang lagi AJK PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz turut membidas.
“Macam Umno jugak DAP ni. Gembira dan megah sangat bila dah ada kuasa.
Maklumlah, lama jadi pembangkang bersama PAS, baru penggal lepas DAP
mula dapat kuasa memerintah, sedangkan PAS yang hidupnya sering dibuli
dah lama berkuasa di Kelantan dan Terengganu.
Saya hanya nak nasihatkan
DAP agar janganlah suka membuli. Nanti jadi bongkak. Bila dah bongkak,
rakyat akan marahlah,” ujar Nik Abduh.
Sebahagian besar pemimpin PAS Pusat juga bercakap perihal
memperkasa Pakatan. Kenyataan Nasrudin dan Nik Abduh nampaknya semacam
tak membantu memperkukuhkan Pakatan.
Namun ulamak muda PAS itu tentu
mempunyai strategi tertentu dalam memperkukuh Pakatan. Tidak semesti
diam atau membodek sahaja Pakatan jadi kukuh.
Membangkitkan kemarahan
rakan tahaluf mungkin boleh bantu kukuhkan. Menceritakan seantero dunia
bahawa Pakatan tidak bersatu, berbalah dan tidak boleh kerjasama,
mungkin juga satu cara untuk menarik sokongan rakyat kepada Pakatan.
Membidas secara terbuka rakan tahaluf pun boleh kukuhkan Pakatan juga
barangkali, wallahuaklam.
Ada serangan, ada jawapan. Pihak kerajaan negeri Pulau Pinang mendakwa
ucapan Izuree yang mendakwa dasar pembangunan Kerajaan Pulau Pinang sama
seperti Umno adalah tidak tepat.
Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri
pertama di negara ini yang mewujudkan dana RM500 juta untuk Tabung
Perumahan Awam dan Mampu Milik bagi membina 20,000 unit oleh Perbadanan
Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Jumlah ini merupakan jumlah terbesar
seumpamanya di negara ini.
Ia berlaku dalam situasi kerajaan negeri
tidak menerima apa-apa pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan untuk
perumahan awam atau mampu milik. Malah kerajaan Persekutuan hanya
membina 70 unit PPR atau perumahan awam untuk golongan miskin di Pulau
Pinang.
Sejak Pakatan mentadbir negeri ini mulai Mac 2008, pembangunan berlaku
dengan pesat sehingga melonjakkan harga hartanah. Ia memberi kesan
terhadap pemilikan rumah.
Bagi mengawal spekulasi hartanah kerajaan negeri telah melaksanakan
kaedah perumahan baru yang berkuatkuasa pada 1 Februari 2014 yang mana
antara lain, mengenakan larangan jualan lima tahun pada perumahan mampu
milik dan 10 tahun larangan jualan untuk perumahan awam (tertakluk
kepada pengecualian bagi rayuan dalam kes-kes tertentu).
Malah sejak Julai 2012, bagi mengawal pembelian hartanah oleh warga
asing, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menghadkan pembelian hartanah
oleh warga asing kepada RM1 juta dan ke atas (RM2 juta bagi landed
property) untuk meredakan spekulasi hartanah supaya harga rumah kekal
berpatutan untuk golongan berpendapatan sederhana.
Sebagai langkah tambahan, kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangkan levi
sebanyak tiga peratus pada harga urus niaga hartanah di Pulau Pinang
oleh warga asing bermula 2014.
“Dasar baru juga menetapkan bahawa rumah mampu milik (bawah RM400,000 di
Pulau) hanya boleh dibeli oleh orang yang diluluskan oleh kerajaan
negeri, manakala semua pembelian rumah kos rendah, sederhana rendah dan
mampu milik dikenakan moratorium penjualan semula selama 10 tahun (kos
rendah dan sederhana rendah) dan lima tahun (mampu milik), bagi
memastikan spekulasi hartanah tidak berlaku,” terang Mohd Hariszuan
Jaharudin seorang ahli MPPP.
Perbalahan di Pulau Pinang rupanya berjangkit hingga ke Sarawak. Pemuda
DAP di Sarawak membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan PAS.
Entah siapa yang mentarbiyah Pemuda DAP; di mana semua orang boleh
bercakap apa saja dan membidas apa saja bagi pihak parti tanpa perlu
melihat status diri?
Banyak lagi sebenarnya catatan serang menyerang antara parti komponen
Pakatan. Semuanya sudah secara terbuka. Muncullah pelbagai ungkitan dan
ugutan. Tiada siapa lagi dapat mengawal atau mahu mengawal.
Persis Umno bercakap mahu banteras rasuah. Cakap lain, buat lain.
Demikian segelintir pemimpin Pakatan bila bercakap mahu memperkukuh
Pakatan.
Nampak macam tiada istiqamah pula dalam tindakan. Menyerang
mana-mana parti dalam Pakatan secara terbuka itu kerja Umno/BN.
Mengapa
ambilalih kerja Umno/BN sehingga mendapat liputan istimewa dalam akhbar
yang jadi musuh tradisi PAS sejak berzaman – Utusan Malaysia?
Berkata Saidina Ali, “Jangan salahkan orang menuduh kamu lakukan
maksiat, jika kamu hadir di tempat maksiat.” Demikian realiti kita,
jangan asyik menyalahkan pihak tertentu menuduh UG jika kita (secara
tidak langsung) membantu kerja Umno/BN dengan menyerang terbuka rakan
tahaluf.
Persoalan yang lebih penting dari itu ialah apa untungnya pemimpin PAS
menyerang DAP? Mungkin ia strategi untuk menakutkan parti itu supaya
menghormati tahaluf. Mungkin juga satu kaedah dakwah yang efisien. Atau
mungkin juga hanya untuk memuaskan nafsu marah.
Mana lebih besar
mudharatnya terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS, antara menyerang
secara terbuka atau berbincang secara tertutup? Hanya orang yang
menyerang lebih arif akan maqasid serangan.
Terdapat penganalisis politik berpendapat, mudharatnya lebih besar jika
DAP diserang secara terbuka kerana DAP mengembeling sokongan masyarakat
Cina terhadap Pakatan.
Saya mendapat maklumat dari ramai rakan-rakan Cina berhubung pergolakan
dalam Pakatan yang berlaku mutakhir ini. 100 peratus meluahkan pandangan
bahawa ia memberi kesan negatif terhadap sokongan masyarakat Cina
kepada PAS.
Mereka berterus terang, jika pilihanraya diadakan sekarang
majoriti orang Cina tidak mengundi PAS.
Sukar untuk mempercayai semua itu, sehinggalah akhirnya bertemu dengan
kenyataan bekas AJK PAS Pusat di zaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor iaitu
Haji Kamal Koh. Katanya, berdasarkan laporan media Cina, beliau tidak
menjumpai laporan positif mengenai PAS.
“Saya rasa imej PAS di mata Cina kini kembali ke tahun 1984 sebelum saya
menyertai PAS sebagai ahli tidak lama selepas bermula daripada era
kepimpinan ulamak.
“Adakah kita perlu bekerja dan kempen selama 30 tahun lagi untuk
mendapatkan semula populariti PAS dalam masyarakat Cina?” soalnya.
Susah juga untuk menghuraikan pentingnya undi bukan Melayu kepada
golongan manusia yang ‘bermakam tinggi’ beriktiqad bahawa segala-galanya
atas kekuasaan Allah, bahkan syirik menganggap undi bukan Melayu
sebagai penentu kemenangan.
Terpaksalah pula kita menerangkan asas aqidah Ahlussunahwaljamaah yang
beriktiqad bahawa segalanya berlaku atas kekuasaan Allah, tetapi manusia
dituntut berusaha, berikhtiar dan berdoa.
Betul Allah yang tumbuhkan
padi tapi tanpa berusaha menanam, melihat saja benih padi untuk tumbuh
dan menghasilkan beras tanpa berbuat sesuatu maka itu aqidah sesat
namanya.
Demikian mengharap sokongan bukan Melayu dalam pilihanraya
dengan mengambil sebab musabab yang menjauhkan mereka dari PAS adalah
kerja tidak munasabah. Sedangkan pilihanraya menuntut suara terbanyak
untuk memenanginya.
Kecualilah PAS bersepakat menolak pilihanraya, maka
tak perlulah memikirkan soal undi dan sokongan sesiapa pun.
Saya menyedari, sukar juga untuk menasihatkan ‘kaki serang’ rakan
Pakatan. Antara jawapan popular, "Mengapa tak nasihat belah sana, asyik
nasihat belah sini.
"“Mereka yang bertindak dulu, takkan kita nak biar
saja…” Dah jadi macam budak-budak! Setiap kali khutbah Jumaah bermula,
seringkali bilal mengingatkan jemaah, berdasarkan pesan Nabi SAW,
“Jangan berkata-kata ketika khatib berkhutbah, walau berkata ‘diam’
sekalipun.” Suruh orang yang bising dalam masjid supaya diam pun bising
juga namanya.
Tak payahlah kita nak bantah Hadis Nabi dengan berkata,
“Dia yang bising dulu, saya cuma suruh dia diam.”
Apa yang diulas ini adalah kerana DAP dan juga PKR masih rakan tahaluf
PAS. Tahaluf siasi disahkan oleh Majlis Syura Ulamak, dipertegaskan oleh
Muktamar.
Tok Guru Presiden selaku pemimpin nombor satu juga masih
mahukan PAS bersama dalam Pakatan.
Bermakna setiap ahli bawahan sampai
pemimpin tertinggi mesti menjaga adab dalam membetulkan rakan tahaluf
jika mereka melakukan kesilapan.
Jangan terlebih garpu dari sudu,
terlebih lajak dari laju, terlebih baja dari perdu, terlebih wangi dari
gaharu, terlebih mabuk dari samsu, terlebih haru dari keliru, gatal
kurang terlebih garu.
Kena beradab dan bersabarlah dalam jamaah. Jangan
gopoh sangat.
Nukilan
Zulkifli Yahaya
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.