Punca ekonomi merosot didedahkan oleh Gabenor Bank Negara
MESKIPUN kestabilan dan pertumbuhan semakin pulih di banyak negara di
dunia, pertumbuhan ekonomi akan mula merosot apabila berlaku
ketidaksamaan dan jurang pendapatan yang melebar, kata Gabenor Bank
Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Beliau berkata pengalaman menunjukkan bahawa krisis kewangan dan
kemelesetan ekonomi meningkatkan kitaran kemiskinan dan isi rumah miskin
dianggarkan kehilangan lebih 10 kali pendapatan mereka berbanding isi
rumah purata.
"Justeru itu peranan keterangkuman kewangan menjadi semakin besar
sebagai kaedah untuk menambah baik kehidupan dan sebagai kaedah untuk
mengukuhkan daya tahan kewangan daripada kelemahan," kata Zeti dalam
ucap tama beliau di Forum Dasar Global Perikatan bagi Rangkuman Kewangan
(AFI) 2014 di Trinidad and Tobago pada 9-11 Sept yang bertemakan
"Global Partnerships, National Goals, Empowering People."
Teks ucapan beliau dikeluarkan kepada Bernama oleh Bank Negara Malaysia hari ini.
Keterangkuman kewangan menyediakan peluang untuk menabung bagi masa
depan, melabur dan menjana pendapatan dan sebagai perlindungan daripada
keadaan yang sukar, katanya.
"Kestabilan dan keadaan global yang bertambah baik menyediakan peluang
kepada kita untuk mempercepatkan agenda keterangkuman kewangan sebagai
satu elemen penting global," kata Zeti.
Beliau berkata langkah penting telahpun diambil untuk menambah baik akses kepada perkhidmatan kewangan.
Dalam tempoh tiga tahun yang singkat, beliau berkata AFI telah memainkan
peranan penting dalam merangsang komitmen dari negara-negara ahli bagi
mengukuhkan dasar keterangkuman kewangan.
Langkah itu telah membantu 20 juta yang tidak memiliki akaun bank untuk mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.
"Namun, kami harap dapat mencapai lebih daripada hanya akses," kata Zeti
sambil menambah akses perlu dilengkapkan dengan perkhidmatan kewangan
berkualiti.
Beliau berkata ramai daripada yang dipinggirkan mungkin mendapati
perkhidmatan kewangan di sediakan kepada mereka, tetapi ia mungkin bukan
pada keadaan diperlukan atau kualiti yang boleh menyediakan janji
sebenar peningkatan ekonomi.
"Terdapat keperluan besar untuk menyediakan ciri-ciri yang responsif
kepada kekangan dihadapi oleh mereka yang telah dipinggirkan.
"Pembiayaan mikro fleksibel bagi sektor pertanian, sebagai contoh,
menangani ketidakpadanan aliran tunai antara pembayaran semula tetap
kepada bank dan aliran pendapatan tidak teratur petani disebabkan oleh
tanaman bermusim," katanya.
Inovasi seterusnya juga melibatkan pewujudan platform bagi penyimpan
sepadan dengan mereka yang memerlukan pembiayaan, kata Zeti. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.