KUALA LUMPUR: Hampir 700 anggota Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) bakal berdepan dengan penyingkiran oleh majikan mereka.
Malah, ada di kalangan mereka yang sudah pun dibuang kerja tanpa notis, selain digantung kerja serta diberikan notis tunjuk sebab susulan tindakan mereka menyertai piket anjuran kesatuan tersebut.
Presiden RUM, Abdul Razak Abdul Hamid berkata, pihak KTMB kini sedang mengenal pasti ahli-ahli RUM yang berpiket pada 9 Mei lalu untuk diambil tindakan tatatertib.
"Tindakan tatatertib yang diambil itu sekadar ingin menunjukkan bahawa prosedur tindakan tatatertib itu berdasarkan 'natural justice' kononnya.
"Namun, ia merupakan satu tindakan zalim, selain satu tindakan balas dendam dan bersifat peribadi," tegas beliau pada satu sidang media, di sebuah hotel, pagi ini.
Tindakan itu juga, tambah Abdul Razak bertentangan dengan undang-undang, selain cuba membunuh kesatuan pekerja untuk membawa suara pekerja.
Selain beliau, pemimpin tertinggi RUM termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan empat pemimpin cawangan telah dibuang kerja tanpa notis.
Ia bermula dengan pemecatan Abdul Razak dan timbalan presidennya, R. Subramaniam pada 29 Ogos lalu.
Bercakap kepada media, beliau menggesa pihak KTMB agar segera menarik balik semua tindakan tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pembuangan kerja ini dilakukan KTMB berikutan tindakan piket yang menuntut Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir ditamatkan perkhidmatan ekoran prestasi buruknya.
Abdul Razak turut mencabar Elias untuk berdebat secara terbuka dengan beliau berhubung tindakan pembuangan pekerja ini menurut pandangan undang-undang.
Dalam pada itu, pembuangan kerja ini juga didakwa akan menimbulkan implikasi dan menjejaskan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan memandangkan KTMB merupakan milik kementerian.
"Makanya, tindakan KTMB ini secaravlangsung telah terpalit kepada Kementerian Kewangan, yang saya yakini tidak akan merestui tindakan begini, apatah lagi yang bertentangan dengan hak kebebasan bersuara seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," tegas beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa Najib untuk segera campur tangan dengan menyelesaikan kemelut ini bagi memastikan tiadabpekerja dan keluarga mereka teraniaya dengan tindakan zalim yang dilakukan KTMB.
- HARAKAHDAILY 11/9/2014
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.