Pemuda Gerakan hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi didakwa menghasut kerana kenyataannya yang mendakwa orang
bukan Melayu kini angkuh kerana diberi muka oleh orang Melayu.
Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong membuat perbandingan di antara
kenyataan Zahid itu dengan tuduhan terhadap pensyarah undang-undang, Dr
Azmi Sharom yang didakwa di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan pagi ini.
Menurut Andy (kanan), kenyataan Zahid itu menepati maksud "kecenderungan
menghasut" yang dijelaskan dalam seksyen 3(1)(e) akta yang sama.
Kecenderungan menghasut dalam seksyen itu didefinisikan sebagai
"mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau
golongan penduduk yang berlainan di Malaysia".
"Walaupun saya tidak menggemari undang-undang itu, saya tak nampak
sebarang sebab tindakan yang sama tidak boleh dikenakan terhadap Zahid,"
katanya dalam kenyataan hari ini.
Portal The Sun Daily semalam melaporkan Zahid berkata orang-orang Melayu
kini "membayar harga" akibat terlalu baik kepada orang bukan Melayu.
Naib presiden Umno itu mendakwa orang bukan Melayu kini semakin angkuh dan menghina bumiputera, Raja dan Islam.
Kenyataan dilaporkan dibuat Zahid sewaktu merasmikan mesyuarat Umno bahagian Segambut.
Menurut Andy, Zahid sama sekali tidak perlu mengeluarkan kenyataan
demikian sama ada di depan sekumpulan orang Melayu atau pun dengan
tujuan menjadikan orang bukan Melayu secara keseluruhannya sebagai
sasaran.
"Malah, kenyataan demikian menggalakkan lagi kebencian antara kaum dan
mempolitikkan dominasi kaum yang tidak sihat dalam negara ini," katanya.
~mk
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.