Samsung Galaxy Note merupakan salah satu keluarga peranti daripada Samsung yang mempunyai peminatnya yang tersendiri, dan boleh dikatakan pelbagai ciri-ciri menarik diperkenalkan pada peranti tersebut terlebih dahulu sebelum peranti lain dibawah keluarga Galaxy.
Terkini, pada acara Samsung UNPACKED 2014 yang diadakan di Berlin, pihak Samsung secara rasminya telah memperkenalkan generasi ke-4 telefon pintar mereka, iaitu Galaxy Note 4.
Melalui Galaxy Note 4, pihak Samsung menyertakan pelbagai pembaharuan baru, disamping kemaskini dari segi rekaan dan spesifikasi peranti berkenaan.
Kemaskini Pada Rekabentuk – Bingkai Berasaskan Logam
Samsung Galaxy Note 4
- Cip Pemprosesan 2.7Ghz Empat-Teras
- 1.9GHz Lapan Teras/td>
- Memori 3GB RAM
- Storan 32GB + mikroSD
- Kamera Belakang 16-megapixel + OIS
- Kamera Depan 3.7-megapixel + f1.9
- Skrin 5.7-inci 2560×1440
- Rangkaian 4G LTE
- Sistem Android 4.4.4 + TouchWiz
- Bateri 3200mAh
Samsung pada Galaxy Alpha telah mula menggunakan rekaan bingkai berasaskan logam, dan ia dikekalkan pada Galaxy Note 4. Bahagian tepi peranti tersebut kini direkabentuk menggunakan logam, manakala bahagian belakang menggunakan kerangka dengan tekstur untuk memudahkan pengguna menggunakannya dan selesa di tangan ketika dikendalikan. Perkara ini sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang berbeza dengan peranti Samsung sebelum ini. Ia boleh dikatakan sesuatu perkara yang boleh dipuji berbanding penggunaan plastik dengan rekaan hanya seumpama logam sebelum ini.
Pada bahagian hadapan pula, Samsung menggunakan skrin 5.7-inci dengan paparan pada resolusi 2K. Secara kasarnya, boleh dikatakan ia agak sukar untuk dilihat – tetapi apabila pengguna mengakses kandungan berbentuk teks, atau menonton video, perbezaannya boleh kelihatan berbanding dengan resolusi 1080p.
Peranti ini juga kini hadir dengan ruangan storan terbina 32GB, disamping menggunakan kad SIM bersaiz Nano. Perkara ini berkemungkinan kerana pihak Samsung perlu memberikan ruangan untuk komponen lain memenuhi peranti berkenaan.
Seperti Galaxy S5, Samsung turut menyertakan pengimbas cap jari pada peranti ini. Sokongan sensor untuk menilai denyutan jantung turut disertakan pada bahagian bawah kamera belakang.
Ruangan pengecasan telah berubah sedikit, dimana kini ia menggunakan USB 2.0 dan bukannya USB 3.0. Namun, melengkapkannya adalah sokongan pengecasan pantas. Samsung mengatakan pengecasan boleh mencapai sehingga 50% dalam masa 30 minit, dan perlu menggunakan kabel yang disertakan bersama-sama peranti ini untuk tujuan tersebut.
Secara kasarnya, ia mengekalkan rekaan ikonik Samsung, tetapi menjadikan ia kelihatan lebih menarik dan kekal selesa ketika digunakan.
S-Pen Dan Multi-Tasking
Menjadi fokus pada keluarga Galaxy Note adalah penggunaan S-Pen, yang mana berfungsi sebagai stylus untuk memudahkan pengambilan nota, lakaran, dan sebagainya.
Pada Galaxy Note 4, ia terus dikemaskini dengan sensitiviti yang dipertingkatkan. Perkara ini menjadikan proses lakaran atau penulisan lebih realistik dan sama seperti penggunaan pena biasa. Samsung turut mengemaskini beberapa aplikasi yang hadir bersama-sama dengan S-Pen dalam usaha untuk memudahkan pengguna menggunakannya, dan salah satunya adalah S-Note.
Terkini, pada S-Note, Samsung menyertakan sokongan Snap Note. Melaluinya, pengguna boleh merakamkan gambar menggunakan kamera, dan kemudian ia akan mengimbas dan memaparkan rakaman gambar tersebut dalam bentuk yang mudah untuk disunting menggunakan S-Pen. Ia sekaligus memudahkan pengguna merakamkan pelbagai nota dan menggunakannya untuk simpanan dan membuat nota menggunakannya. Untuk mendapatkan kesan penggunaan yang baik, rakaman gambar perlulah dilakukan pada keadaan cahaya yang cerah – sesuai jika digunakan di bilik mesyuarat, bilik darjah, merakamkan teks pada kertas dan sebagainya. Ini juga merupakan salah satu fungsi yang menjadikan kami tertarik, memandangkan ia mungkin memudahkan pelbagai jenis tugasan dan membolehkan pengguna menyimpan sesuatu maklumat dalam bentuk digital dengan mudah.
TouchWiz Kini Lebih Kemas – Pelbagai Aplikasi Digantikan Dan Diperbaharui
Samsung Galaxy Note 4 menggunakan sistem operasi Android terkini, dan pihak Samsung turut melengkapkan ia dengan antaramuka khusus tersendiri dipanggil TouchWiz. Pada Galaxy Note 4, TouchWiz dilihat dikemaskini dengan membuang beberapa perkara, dan kini menjadikan ia lebih kemas dan mudah untuk digunakan.
Salah satu perkara baru yang kami perasan pada TouchWiz baru ini adalah penggunaan sokongan multi-tasking yang mana memaparkan aplikasi dalam bentuk cards – seperti mana pada Android L. Disamping itu, bahagian tetapan kini lebih kemas dan mudah digunakan berbanding sebelumnya. Dua mod disediakan iaitu dalam mod senarai atau mod tab yang mengasingkan tetapan mengikut kategori.
Sokongan My Magazine pula kini telah dibuang, dan digantikan dengan Flipboard. Perkara ini mungkin membolehkan Samsung menawarkan kemaskini dengan lebih mudah, sekaligus membolehkan pengguna Flipboard sedia ada mengikuti pelbagai kandungan dengan senang menggunakan Galaxy Note 4.
Bahagian widget juga menerima pembaharuan, dimana kini Samsung melalui TouchWiz menyokong paparan widget dengan latar lutsinar. Perubahan lain yang juga kami perasan adalah pada bahagian S-Voice, dimana kini ia tidak membuka aplikasi tersebut secara penuh, sebaliknya hanya memaparkan ia pada bahagian bawah skrin sahaja.
Multi-Windows Dengan Sokongan Seumpama Chat Head
Pada Galaxy Note, Samsung sedia memperkenalkan fungsi Multi-Windows, membolehkan pengguna menggunakan lebih daripada satu aplikasi pada sesuatu masa. Pada Galaxy Note 4, fungsi tersebut terus dikemaskini, dimana kini menggunakan S-Pen, pengguna boleh menggunakannya dalam menjadikan sesuatu aplikasi dalam bentuk pop-up ataupun menggunakan dalam bentuk split-windows seperti biasa. Selain daripada itu, Samsung turut memperkenalkan satu lagi bentuk paparan baru yang mana memaparkan aplikasi yang dibuka dalam bentuk ikon – menyerupai fungsi ChatHead pada Facebook Messenger. Beberapa aplikasi sedia menawarkan fungsi seumpamanya, dan memandangkan ia kini diintegrasikan terus pada Galaxy Note 4, semestinya ia merupakan salah satu perkara yang akan memudahkan pengguna.
Kamera Dilengkapi Dengan OIS Dan Sokongan Wide-Selfie
Bahagian kamera pada peranti Galaxy Note 4 ini turut menerima kemaskini, dimana pada kamera belakang ia menyertakan sokongan OIS ataupun nama panjangnya – penstabilan imej optikal. Menggunakannya, walaupun ketika tangan anda bergegar ataupun dalam keadaan bergoyang, anda tetap boleh merakamkan gambar dengan jelas tanpa kabur. Ia mungkin salah satu fungsi yang dinantikan ramai – apatah lagi kebanyakkan pengguna peranti mudah-alih tidak menyukai gambar yang dirakamkan menjadi kabur – terutamanya beberapa detik penting.
Disamping itu, Samsung turut melengkapkan kamera hadapan dengan beberapa mod menarik, dan salah satunya adalah Wide-Selife. Mod ini membolehkan pengguna merakamkan gambar selfie dengan lebih meluas – dimana fungsi ini digunakan seperti mana pengguna merakamkan gambar panorama, perlu mengerakkan rakaman mengikut arahan skrin, dan seterusnya semua gambar akan dicantumkan menjadi satu. Hasil daripada penggunaan mod ini boleh dikatakan agak baik dan tidak mempunyai sebarang kecacatan.
Penutup
Keluarga Galaxy Note boleh dikatakan merupakan keluarga peranti premium daripada Samsung. Penggunaan bingkai berasaskan logam kini memberikan pengalaman penggunaan yang berbeza dengan peranti Samsung sedia ada di pasaran pada hari ini. Melengkapkan peranti ini adalah pelbagai spesifikasi terkini, selain turut dilengkapi dengan pelbagai perisian yang memudahkan tugasan – termasuk melalui penggunaan S-Pen.
Bagi kami sendiri, peranti Galaxy Note 4 dilihat agak menarik berbanding peranti lain yang dikeluarkan oleh Samsung pada tahun ini. Sekiranya perlu memilih antara Galaxy S5 dan juga Galaxy Note 4, kami akan memilih peranti Galaxy Note 4.
Ia tidak diketahui lagi berkenaan berapakah harga peranti ini kelak dipasaran tempatan – memandangkan ia bakal memainkan salah satu peranan penting dalam pembeliannya. Samsung dijangka akan mula menjualnya di pasaran tempatan sekitar bulan Oktober kelak.
(amanz)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.