Menteri besar baru Selangor akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi Selasa depan di Istana Alam Shah, Klang.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
Difahamkan,
kad undangan untuk upacara itu dilapor sudah dihantar kepada
pemimpin-pemimpin negeri, wakil rakyat dan orang-orang kenamaan.
Menurut Mohamad Munir lagi, pilihan menteri besar baru itu akan didedahkan kemudian dan keputusan akhir telah dibuat.
Beliau ketika dihubungi bagaimanapun enggan mendedahkan menteri besar baru itu daripada parti mana.
Istiadat
itu difahamkan akan diadakan di Balairong Seri istana dan tetamu
undangan dikehendaki memakai pakaian kebangsaan dan bersongkok hitam.
Bernama
melaporkan, mereka difahamkan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit
Antarabangsa Azmin Ali calon yang bakal mengangkat sumpah jawatan
tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.
Namun, lapor agensi berita nasional, ketika diminta mengulas perkara itu, Munir enggan mengesahkannya.
Sementara
itu, PKR dan DAP Selangor ketika dihubungi Malaysiakini berkata mereka
masih tidak tahu menahu berhubung siapakah calon pilihan sultan itu.
Presiden
PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan timbalannya Azmin Ali juga ketika
dihubungi berkata mereka masih belum menerima undangan ke istiadat itu
daripada pihak istana.
Ditemui
di Muktamar PAS di Johor hari ini, exco Selangor daripada PAS Sallehen
Mukhyi enggan mengulas berhubung spekulasi sekitar calon berpotensi.
Nama-nama
dilihat berpotensi setakat ini termasuk Azmin, anggota Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Ijok daripada PKR Ijok rep Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS
Selangor Iskandar Samad dan ADUN PAS Sijangkang Yunus Hairi.
Sementara
itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan seorang lagi exco PAS
Iskandar Samad berkata mereka tidak menerima apa-apa jemputan berhubung
majlis pelantikan itu.
Mustafa berkata PAS pusat memutuskan bahawa jawatan tersebut adalah kerusi yang di berikan kepada rakan sekutunya, PKR.
"Saya
tidak dengar apa-apa, saya tak tahu apa-apa. Saya tidak boleh komen
perkara yang saya tidak tahu," katanya sambil tidak mahu membuat andaian
jika calon PAS dilantik ke jawatan itu.
"Terserah
kepada sultan. Memang kita tidak boleh (masuk campur), sebab dia
(Sultan) kuasa prerogatif dia. Dan biasanya kita sudah mengalami banyak
negeri macam tu. Suka tak suka, tak tahulah.
"Semua kena terima bukan sahaja PAS," katanya bagi menjawab soalan sama ada PAS bersetuju dengan keputuan sultan selepas ini.
Mengulas perkara yang sama, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata: "Kita tetap dengan keputusan 7 September."
Laporan tambahan oleh Abdul Rahim Sabri dan Nigel Aw.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.