Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak setuju
GST dilaksanakan ketika menjawat menteri kewangan dulu. Gambar fail The
Malaysian Insider.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hari ini semasa menjadi menteri
kewangan, beliau tidak bersetuju Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
dilaksanakan kecuali beberapa syarat dipatuhi terlebih dulu.
Menjawab dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, ketua
pembangkang itu berkata, disebabkan bantahan yang ditunjukkannya pada
waktu itu, GST tidak pernah dilaksanakan semasa beliau
dipertanggungjawabkan menjaga kewangan negara.
"Di Parlimen, saya nyatakan dengan jelaskan GST mesti dijalankan dengan
cara yang telus dan cekap, maksudnya prasyarat tertentu mesti dipenuhi
sebelum ia dilaksanakan.
"Ini termasuk urus tadbir yang sesuai, ketelusan, tiada ketirisan dan
pembaziran dan terpelihara daripada amalan rasuah," katanya dalam satu
kenyataan hari ini merujuk pendirian yang dibuatnya lebih 20 tahun
lepas.
Anwar mendakwa, kenyataan Najib semalam 'tidak jujur dan mengelirukan.'
"Menteri kewangan pertama yang sebut hasrat kerajaan hendak laksanakan
GST pada 1992 dalam ucapan bajetnya adalah Anwar," kata Najib merujuk
kepada ketua pembangkang yang ketika itu berada dalam Kabinet kerajaan.
"Pada 30 Oktober 1992, Anwar menyebut GST akan dilaksanakan pada tahun
depan, tetapi dia buat 'u-turn'," katanya, sambil menambah GST juga
pernah diumumkan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan Tun
Abdullah Ahmad Badawi.
Anwar berkata hari ini, sewaktu menerajui kementerian kewangan, beliau juga menekankan yang GST mesti bermula pada kadar rendah.
"Semua syarat tersebut tidak dipenuhi. Sebab itulah GST tidak pernah
dilaksanakan semasa saya menjadi menteri kewangan," katanya.
Najib mengumumkan pelaksanaan GST ketika pembentangan Bajet 2013 di
Parlimen dengan kadar 6% menggantikan Cukai Jualan dan Cukai
Perkhidmatan yang kini dikenakan pada kadar 16%.
Ia akan mula dikuatkuasakan April tahun depan. – 12 September, 2014.
Sumber - themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.