Karaoke Berdarah
“Ambil apa saja yang awak mahu tapi jangan buat saya seperti apa yang kamu buat pada abang saya,” rayu Yeo Tian Gerk, 69, ketika berdepan penyamun yang menetak abangnya hingga mati di rumah mereka di Jalan Pasar di sini, malam kelmarin.Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Tian Gerk parah ditetak lima kali di kepala dan tangan manakala abangnya, Yeo Thian Ser, 71, maut akibat dilibas beberapa kali oleh penyamun sama.
Tian Gerk berkata, ketika kejadian, dia berada dalam bilik tidurnya di tingkat atas rumah kedai dua tingkat manakala abangnya berkaraoke di ruang tamu.
“Sudah menjadi kebiasaan abang berkaraoke sebelum tidur dan apabila terdengar bunyi bising di ruang tamu, saya keluar untuk melihat apa yang berlaku.
“Saya terkejut melihat abang terbaring kaku. Ketika itu penyamun terkejut melihat saya ada di rumah lalu cuba menyerang saya,” katanya yang ditemui di Hospital Putra di sini, semalam.
Menurut Tian Gerk, dia yang tinggal di rumah kedai itu bersama abang dan sepupunya, melarikan diri masuk ke dalam bilik, tetapi dikejar penyamun berkenaan.
“Ketika kejadian, hanya saya dan abang berada di rumah manakala sepupu keluar.
“Saya yang ketakutan menghalang pintu bilik menggunakan kerusi kayu, namun penyamun itu dapat menyerbu masuk ke bilik lalu menetak kepala saya.
“Saya sempat merayu kepada perompak itu supaya jangan mencederakan saya, namun tidak diendahkannya sebaliknya kepala saya terus ditetak,” katanya.
Menurutnya, dia pengsan dan apabila sedar, mendapati dirinya sudah berada di hospital.
Katanya, apa yang dia tahu perompak berkenaan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk 20 koleksi jam tangan yang disimpan sejak lima tahun lalu.
“Saya nampak wajah penyamun itu dan percaya pernah melihatnya di pasar ketika saya dan abang berniaga, tetapi tidak kenal lelaki itu,” katanya yang berharap pihak berkuasa dapat memberkas penjenayah berkenaan.
Sementara itu, polis yakin sudah mengenal pasti lelaki berkenaan dan gerakan memburunya sedang dilakukan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek dipercayai penagih dadah dan siasatan mendapati kejadian itu bermotifkan samun.
“Siasatan awal di tempat kejadian menemui beberapa barang milik penjenayah itu yang ditinggalkan, termasuk pedang yang digunakan suspek dalam kejadian samun dan bunuh itu,” katanya yang ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Putra.
Din berkata, suspek turut meninggalkan tangan yang dipercayai dicuri daripada mangsa.
“Kita percaya suspek panik dan meninggalkan beberapa barang itu ketika melarikan diri.
“Siasatan awal juga mendapati suspek meloloskan diri melalui pintu belakang rumah berkenaan,” katanya.
Menurut Din, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.