Nama Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dipersembahkan untuk pertimbangan
Sultan Selangor sejajar dengan konvensi yang diamalkan Pakatan Rakyat
pada 2013 memandangkan beliau mendapat sokongan majoriti
sekurang-kurangnya 30 Ahli Dewan Negeri (Adun) Selangor. – Gambar fail
The Malaysian Insider, 26 Ogos, 2014.
PKR dan DAP
tetap hanya akan mencalonkan satu nama sebagai menteri besar Selangor
iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail walaupun Sultan Sharafuddin
Idris Shah menghendaki Pakatan Rakyat (PR) menghantar lebih daripada dua
nama.
Melalui satu
kenyataan lewat malam ini, dua parti itu berkata, hanya nama Dr Wan
Azizah akan dipersembahkan untuk pertimbangan Sultan Selangor sejajar
dengan konvensi yang diamalkan PR pada tahun lepas.
"Ini sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan menteri besar sebelum ini.
"Ia juga
memandangkan Dr Wan Azizah sudah mendapat sokongan majoriti
sekurang-kurangnya 30 orang ahli Dewan Undangan Negeri Selangor,"
menurut kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR Datuk
Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.
Kenyataan
berkenaan turut melampirkan surat dari istana bertarikh 7 Mei, 2013
berkenaan pelantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Sambil
merakamkan doa dan menjunjung kasih atas budi bicara Sultan Selangor,
Pua dan Saifuddin berkata, keputusan berkenaan diambil dengan mengambil
kira titah Sultan dan konvensi yang diamalkan sebelum ini dalam
pelantikan Khalid apabila parti dalam PR mencadangkan beliau pada 2013.
"Pencalonan ini diperkenankan dan diterima pakai oleh Sultan Selangor.
"Oleh yang
demikian, PKR dan DAP menjunjung titah Sultan dan akan mempersembahkan
pencalonan Dr Wan Azizah untuk dipertimbangkan sejajar dengan konvensi
yang diamalkan oleh PR dalam tahun 2013," kata mereka dalam kenyataan
itu.
Sultan Selangor
hari ini menangguh peletakan jawatan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim sehingga pelantikan menteri besar baru dibuat.
Baginda mahu PAS, DAP dan PKR setiap satu mengemukakan lebih daripada dua nama bagi memudahkannya menentukan calon yang layak.
Khalid berkata,
beliau menghantar surat peletakan jawatannya kepada Istana Kayangan,
Shah Alam hari ini, namun ia ditolak Sultan.
"Ini ialah
tatacara yang pernah dilakukan oleh istana bukan saja semasa PR, tetapi
juga semasa Barisan Nasional (BN) ingin menamakan mereka yang
dicadangkan untuk dilantik menjadi menteri besar," katanya di Bangunan
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) petang tadi.
Khalid dipecat
keahlian PKR pada 9 Ogos lalu selepas enggan berundur dan memberi laluan
kepada Dr Wan Azizah untuk menjadi menteri besar.
Beliau
kemudiannya memecat enam anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco)
daripada PKR dan DAP dan mentadbir Selangor dengan empat exco PAS.
"Sultan
Selangor menitahkan agar setiap pemimpin parti PAS, PKR, dan DAP
mencadangkan lebih dua nama daripada parti-parti PR sebagai calon
menteri besar Selangor bagi memudahkan Sultan Selangor menentukan calon
berkelayakan dan seterusnya memberi perkenan untuk melantik mana-mana
calon yang difikirkan layak.
"Ini adalah
sejajar dengan konvensi yang diamalkan secara berterusan dalam
perlantikan menteri besar Selangor sebelum ini," katanya dalam kenyataan
yang dibacakan Khalid.
Khalid dalam
pertemuannya dengan sultan memohon maaf kepada baginda atas suasana
politik masa kini sehingga menyebabkan pihak istana terheret sama.
Katanya, beliau
menyerahkan kepada baginda untuk mencari penyelesaian terbaik sekaligus
mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemerintah, institusi beraja
dan pentadbiran awam. – 26 Ogos, 2014.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.