Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan umat Islam harus bijak membezakan antara kritikan dan penghinaan kerana walaupun terhadap agama lain dibenarkan, ia mesti berada dalam kerangka ilmiah.
Bekas mufti Perlis
itu berkata, umat Islam tidak boleh menghina agama lain kerana Al-Quran
dengan jelas melarang cercaan terhadap sembahan agama lain kerana ia
akan mengundang permusuhan kembali kepada agama Islam.
"Kita boleh memberikan pandangan kritis
Islam terhadap agama lain dengan mengkritik secara akademik tetapi
mencerca atau mempersendakan adalah dilarang."Ia disebut dalam Al-Quran
menerusi surah Al-Anam, 'Jangan kamu mencerca apa yang mereka sembah
selain daripada Allah. Nanti mereka akan mencerca Allah secara
permusuhan'," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Naib Juara program realiti Pencetus
Ummah Shahul Hamid MPH Seeni MD ditahan di rumahnya di Teluk Kumbar pada
Khamis bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina agama Hindu.
Shahul, 39, dibawa ke Ibu Pejabat Polis
Daerah Seberang Perai Tengah dan dibebaskan semula selepas empat jam
memberi keterangan kepada pihak polis.
Dalam ceramahnya yang dimuat naik di
laman YouTube, Shahul menggesa umat Islam agar tidak membeli produk
serbuk kari daripada syarikat Hindu seperti Alagappas dan Babas.
"Kalau anda pergi ke kilang Alagappas di
Permatang Pauh, anda akan dapat melihat patung tuhan mereka di pintu
gerbang dengan lidah yang terjelir keluar.
"Kenapa lidahnya terjelir? Sebab Dewa
itu mesti merasa semua serbuk kari sebelum mereka menjualnya," kata
Shahul dalam ceramahnya di sebuah surau di Shah Alam lima tahun lalu.
Asri berkata umat Islam perlu lebih
berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan perlu bijak membezakan
antara kritikan dan cercaan.
Beliau berkata, kritikan perlu memberi
kesedaran kepada manusia agar berfikir secara matang dan tidak boleh
berlandaskan penghinaan.
"Jika dia
kata Islam tidak menyembah berhala kerana Allah tidak mempunyai imej
sedemikian, itu OK. Tidak perlulah menyentuh isu rempah ratus kerana
perkara itu bukan satu pendekatan ilmiah.
"Semua orang perlu berhati-hati. Islam membenarkan kita mengkritik dengan tujuan menimbulkan kesedaran pihak lain.
"Tetapi tujuan kritikan dalam Islam
untuk menimbulkan kesedaran manusia berfikir secara matang. Bukan
sehingga ada yang merasa terhina dengan penghinaan itu," katanya.
Bagaimanapun, Asri berkata umat Islam
juga perlu mempunyai pendirian tegas dalam membezakan konsep akidah
Islam dengan agama lain.
Katanya, segala perbezaan yang
dilontarkan mestilah tidak mengundang permusuhan dan tidak menyentuh hal
yang mempersendakan agama lain.
"Kita boleh mengkritik secara akademik,
seperti saya tidak dapat menerima sama sekali kepercayaan orang Hindu
bahawa amalan Sakti yang diamalkan dahulu iaitu wanita mesti dibakar
bersama dengan mayat suami.
"Tetapi saya tidak boleh mempersendakan
apa yang mereka buat sehingga menimbulkan permusuhan tanpa sebab yang
jelas," katanya kepada The Malaysian Insider.
Dua hari lalu, selepas siasatan polis di Pulau Pinang, Shahul memohon maaf secara terbuka terutama kepada masyarakat India selepas rakaman video kenyataannya yang dianggap menghina penganut agama Hindu tersebar luas di Internet.
Katanya, kenyataan rasisnya itu sangat dikesali dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
Shahul juga menyatakan kesediaannya untuk menemui semua pemimpin tertinggi masyarakat India
untuk memohon maaf secara terbuka dan merayu kepada akhbar berbahasa
Tamil supaya menerbitkan permohonan maafnya itu dalam huruf besar.
Beliau yang juga merupakan ahli PAS
kawasan Tanjong menafikan membuat kenyataan itu atas kapasiti ahli parti
tetapi hanya mahu menarik perhatian hadirin.
Shahul mendakwa menerima hampir 1,000 panggilan telefon dan SMS yang kebanyakannya berunsur ancaman termasuk ugutan bunuh. – TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.