TIMB PRESDIEN PAS: Tak ada isu lagi untuk kita menyokong Khalid,"
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, "Bagaimana kita (PAS) boleh menyokong Khalid apabila beliau tidak lagi dalam PKR?".
"Beliau adalah seorang menteri besar Bebas sekarang. Tak ada isu lagi
untuk kita menyokong Khalid," katanya ketika ditemui di Pulau Pinang
hari ini.
Untuk ini, Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu , berkata, "Sudah pasti kita bersama dengan Pakatan."
"Ia adalah wajib bagi kita untuk bersama Pakatan. Kita tidak boleh lari daripada ini.
"Kita akan rugi jika kita berpecah dari Pakatan," katanya, merujuk
kepada kerjasama dimanfaatkan dengan sekutunya DAP dan PKR terutamanya
semasa pilihan raya kecil sejak 2008.
"Ada pendapat peribadi tertentu yang mengatakan sebaliknya tetapi itu
masih pendapat peribadi mereka, kepimpinan adalah komited kepada
Pakatan," katanya di sini
PAS Sudah Beri Cukup Masa kepada Khalid
Sementara itu MP PAS Khalid Samad berkata parti itu sudah memberi masa
secukupnya untuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berundur.
“Beliau tidak setia pada Pakatan Rakyat dan apabila (Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin) menyokongnya tanpa belah bagi,
menyebabkan timbul lebih banyak tanda tanya.
“Jadi, walau (PKR dan DAP) marah dan cuba menekan PAS agar membuat
keputusan lebih awal, saya percaya perkembangan yang berlaku kini akan
membantu kami membuat keputusan yang betul,” katanya dalam satu sidang
media di sini
Siapa Khalid? Mengapa Dia Begitu Istimewa?
Sebelum ini, Mujahid Yusof Rawa, seorang AJK PAS Pusat telah berkata,
"Menukar seorang MB adalah satu biasa. Mungkin akan ada lebih banyak
kes-kes atau cabaran seumpama itu pada masa akan datang. Malah, parti
itu tidak memerlukan sebab untuk mengeluarkan Khalid. Ia adalah dalam
kuasa parti itu untuk melakukannya.
"Siapa Khalid? Mengapa dia begitu istimewa? Kita telah melihat Menteri
Besar datang dan pergi. Ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang
istimewa atau mengejutkan," katanya di sini. -14/8/14
Tan Sri Khalid Ibrahim Cukup Memperalatkan PAS
Saya memerhatika.n pergolakan Selangor sambil mendisiplinkan diri dengan
membisu sekian lama. Diharapkan ia tidak menambahkan kekeruhan sedia
ada sekalipun sekian ramai awak-awak telah mengharu birukan lagi keadaan
dengan komen-komen yang sesetengahnya tidak bertanggung jawab, bahkan
mencederakan nama baik PAS.
Tikus lebih mudah merosakkan labu kerana menghancurkan lebih mudah dari membina.
Namun begitu, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai seorang insan gentleman dan
berakhlak mulia mesti tahu batas beliau boleh menumpang PAS. Beliau
boleh mendapatkan simpati, perlindungan sementara dan sokongan PAS dalam
lingkungan semangat Pakatan Rakyat. Presiden PAS telah menghulurkan
ranting zaitun untuk beliau. Episod itu telah berlalu.
Perkembangan lain telah berlaku selepas episod itu. Di mana PAS tidak
wajar timbul tenggelam bersekali Tan Sri Khalid dan menggorbankan
prinsipnya yang lebih besar, nama baiknya, akhlak politik yang
dipegangnya dan amanah atas nama PAkatan rakyat yang ia perolehi dari
rakyat Selangor.
Tan Sri telah dipecat sebagai ahli PKR. Oleh kerana beliau belum
diterima menjadi ahli mana-mana parti gabungan Pakatan Rakyat, ia bukan
mewakili PR lagi.
Tan Sri sedar sepenuhnya hal ini ?
Kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Bagaimana seorang ADUN bukan anggota PR boleh terus menjadi MB Pakatan Rakyat?
Tan Sri memecat exconya dari PKR dan DAP. Juga mengambil pelbagai
langkah politik lain lagi yang ikut memalitkan PAS tetapi PAs tidak
pernah tahu mengenainya.
Tindakan ini boleh memecah belahkan Pakatan kerana seakan menunjukkan PAS terus mendokong MB yang sudah hilang legitimasi.
Ia merosakkan PAS dan Tan Sri tidak berhak berbuat demikian kepada PAS.
Untuk memecat Exco dari PKR dan DAP dan mengekalkan PAS, ia mesti
dibincangkan lebih dahulu dengan PAS (Jawatankuasa PAS Pusat) dan
mendapat persetujuan gabungan yang lain.
Setahu saya, PAS Pusat tidak pernah bermesyuarat dalam tempoh ini untuk memutuskan kedudukan itu.
Saya selaku salah seorang Naib Presiden tidak pernah dimaklumkan oleh
mana-mana pihak tentang hal ini. Setahu saya, PAS Pusat juga tidak
pernah memberikan mandat kepada sesiapa untuk memutuskan perkara ini.
Dengan ini, Tan Sri telah melibatkan PAS untuk survival Tan Sri sebagai
MB dengan cara yang menjejaskan nama baik PAS di mata rakyat Selangor.
Ini sangat tidak wajar.
Bagaimana Tan Sri boleh kekal sebagai MB dengan tidak melepaskan jawatan
secara bermaruah pada hari sama Tan Sri dipecat sebagai ahli PKR?
Sultan menitahkan untuk Tan Sri kekal adalah kebijaksanaan baginda
tetapi Tan Sri mempunyai pilihan untuk menolak perkenan itu atas pilihan
Tan Sri sendiri.
Apa lagi bertindak seakan Tan Sri masih berkuasa penuh pada hal asas
legitimasi Tan Sri sudah runtuh. Untuk kekal sebagai MB, Tan Sri tidak
boleh mencaturkan 15 ADUN PAS untuk menggenapkan cukup bilang bagi
pembentukan kerajaan Selangor PAS + UMNO + TSKI + lompat parti DAP/PKR.
Itu sangat tidak bermoral. Itu meniru gaya UMNO di Perak. Perbuatan
terkutuk dan ditolak oleh amalan demokrasi yang mulia. Memasukkan
perkongsian kuasa PAS dan UMNO melanggar banyak prinsip yang dipegang
oleh PAS selama ini.
UMNO adalah lawan PAS dan tidak ada mana-mana kuasa dalam PAS boleh
mengizinkan PAS berkongsi kuasa dengan UMNO tanpa melalui kelulusan
Muktamar Agung PAS.
Ia tidak mungkin dilakukan dalam jangka masa Tan Sri membilang jumlah
ADUN untuk mengekalkan Tan Sri sebagai MB sekarang. Tan Sri sudah tidak
mempunyai cukup bilang sekarang.
Jika itu dilakukan oleh PAS, bermakna PAS menerima hubungan 'sodomy'. 15
ADUN PAS dipilih oleh rakyat Selangor atas tiket kerja sama Pakatan
Rakyat. UMNO ditolak oleh majoriti rakyat Selangor kecuali di 13 dun.
Kedudukan UMNO adalah sebagai pembangkang dan PAS adalah sebahagian dari
Kerajaan Selangor.
Membawa UMNO dari pembangkang dan duduk sebagai kerajaan bersama PAS
dengan menolak dua lagi parti gabungan yang telah dipilih secara sah
oleh rakyat adalah perbuatan terkutuk yang tidak dizinkan oleh Islam.
Islam tidak mengizinkan pengkhianatan. Islam tidak mengizinkan pecah
amanah. Dalam hal ini, amanah majoriti pengundi Selangor memilih Pakatan
sebagai kerajaan dan menolak UMNO.
Tan Sri sebagai tokoh korporat yang biasa dengan angka tentu tahu,
sekalipun 15 ADUN PAS campur 13 ADUN UMNO campur Tan Sri, ia hanya
berjumlah 29 ADUN dari 58 jumlah ADUN.
50:50. Ia tidak membolehkan Tan Sri mendapat simple majority dari awal,
sekalipun jika PAS dan UMNO sanggup bersekongkol untuk mendaulatkan
seorang insan bernama Khalid Ibrahim lebih dari segala-galanya.
Sementalah PAS dan UMNO kedua-duanya, secara pendirian parti yang rasmi,
tidak pernah memberikan persetujuan itu sehingga hari ini. Hari Jumaat
yang mulia - 15 Ogos 2014 - hari ini.
Jika Tan Sri mengharapkan YB Rodziah dan YB Teng yang disebut-sebut
kononnya akan bersama Tan Sri sehingga Tan Sri melewatkan pemecatan YB
Rodziah berbanding yang lain, namun mereka telah mengambil pendirian
insan bermaruah dan pendekar terbilang kerana kekal bersama parti
masing-masing.
Syabas! Saya amat bangga dengan mereka dan ia telah memberikan hiburan
bagi hati yang gundah di tengah kecenderungan menggunakan 'jual beli
kuda taruhan' .
Kentalnya YB Rodziah menolak tawaran kekal dalam Exco sekalipun
berkereta besar dan bergaji lumayan adalah satu tamparan yang patut
menyedarkan Tan Sri pada saat itu juga.
Legitimasi Tan Sri sebagai MB sudah berakhir.
Harapan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang ADUN untuk mendapatkan simple majority sudah tertutup.
Apa lagi bila dua ADUN PAS mengambil langkah bersendiri mereka menolak Tan Sri sebagai MB secara terbuka.
Sekalipun jika jarum jam boleh berpatah ke belakang, saya akan
menasihatkan mereka untuk terlebih dahulu mendapat restu parti. Itu yang
terbaik.
Tetapi tindakan mereka telah meletakkan usaha pihak mana jua untuk
mewujudkan sebuah kerajaan gabungan PAS+UMNO+TSKI+lompat gagal dan
mustahil.
Tan Sri tahu ini.
Lantas, apa lagi yang ditunggu?
Tidakkah mulia untuk Tan Sri bermaruah melepaskan jawatan MB?
Atau Tan Sri kini berfikir untuk membubarkan DUN?
Bukankah tindakan itu akan menyusahkan Tuanku Sultan Selangor?
Kenapa tidak pada tarikh Tan Sri mengadap Sultan Selangor baru ini Tan Sri mencadangkan DUN di bubarkan?
Jika kerana Tan Sri gagal mendapatkan cukup bilang Sultan Selangor
mengambil langkah membubarkan DUN, ia pada hemat saya, akan mencemarkan
istitusi diraja.
Model Perak di mana tokoh yang mendapat sokongan majoriti dilantik tanpa
pembubaran DUN dan tanpa sidang DUN hendaklah menjadi cermin.
PAS telah mengalami pengalaman yang pahit bila MB Kelantan yang dilantik
atas tiket PAS dan hendak ditukar oleh PAS, antara lain bukan kerana
kesalahan jenayah rasuah tetapi semata-mata kerana gagal mengikut
semangat dan arahan parti, telah mencetuskan krisis disebabkan UMNO
melanggar konvensyen urusan parti lain tidak boleh dicampuri oelh parti
gabungan yang lain.
Malangnya UMNO melanggar konvensyen itu. Lama PAS mengutuk tindakan
jahat UMNO. Dari dulu hingga kini. Ia tercatat dalam dokumen rasmi PAS,
ucapan pemimpinnya dan tesis para mahasiswa.
Oleh itu, TAN SRI harus tidak mengheret PAS dalam krisis TAN SRI. Parti TAN SRI berhak menukar TAN SRI dengan calon lain.
PAS boleh memberikan pandangan tetapi harus akur prerogative itu adalah hak PKR.
Itulah yang berlaku di Kedah semasa ada pandangan YAB Ustaz Azizan wajar ditukar sebagai MB.
PKR tidak menjamah urusan itu.
Jika Tan Sri berterusan mengheret PAS, seakan TAN SRI mahu PAS dilihat
melanggar konvensyen yang ia telah junjung sejak ia kehilangan kuasa di
Kelantan 1978. Jika budi PAS yang telah menunjukkan setia kawan bersama
TAN SRI dihargai, janganlah PAS diseret lebih jauh.
Meletakkan jawatan adalah langkah terhormat. Ia bukan akhir sebuah karier politik.
Bertindak secara tidak bermaruah itulah sebenarnya akhir sebuah karier politik. Dan hitamnya rekod kehidupan.
Pada hari Jumaat yang berkat ini, kita memohon panduan Allah swt.
Husam Musa
Naib Presiden PAS
15 Ogos 2014.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.