ANTARA pilihan Datin Seri Wan Azizah, Azmin Ali, calon
Pas, calon Umno, lain-lain dan “tidak pasti”, Merdeka Centre mendapati
75 peratus (%) daripada jumlah 808 pengundi Selangor tidak memilih Wan
Azizah sebagai pengganti kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Berikut ialah keputusan kajian Merdeka Centre:
Wan Azizah – 25%
Azmin Ali – 6%
Calon Pas – 12%
Calon Umno – 15%
Lain-lain – 5%
Tidak pasti – 32%
Tidak mahu menjawab – 5%
Meskipun Wan Azizah mendapat angka tertinggi antara pilihan yang
diberikan iaitu 25%, hakikatnya lebih ramai rakyat Selangor mahukan
orang lain yang menggantikan Abdul Khalid, dan bukannya Wan Azizah.
Statistik yang paling menggerunkan ialah 32% yang menjawab “tidak pasti”
melebihi angka yang diperolehi Wan Azizah. Barangkali mereka yang
tergolong dalam kategori ini ingin menyebut bahawa mereka lebih suka
Abdul Khalid dikekalkan, akan tetapi, nama Abdul Khalid tidak ada
sebagai satu pilihan di dalam kajian ini.
Selain daripada 32% peratus yang “tidak pasti”, Wan Azizah juga berdepan
dengan 38% rakyat Selangor yang lain yang inginkan orang lain
menggantikan Abdul Khalid.
Di dalam 38% tersebut, yang mengejutkan Pakatan Rakyat ialah 15% memilih
calon Umno, 12% memilih calon Pas, 6% memilih Azmin dan 5% lain-lain.
Sehingga hari ini, PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap bertegas
bahawa calon pengganti Abdul Khalid hanya seorang iaitu isteri beliau
Wan Azizah. Melihat pada keputusan kajian Merdeka Centre, rakyat perlu
bertanya apakah itu satu tindakan yang adil?
Kajian Merdeka Centre diambil berat oleh para pemimpin Pakatan Rakyat
selama ini. Jadi, tidak mudah untuk mereka menidakkan kesimpulan bahawa
majoriti rakyat Selangor (75%) sekata menyatakan mereka lebih suka orang
lain yang menggantikan Abdul Khalid berbanding Wan Azizah.
Yang mereka tidak sekata ialah siapa penggantinya sahaja. Nak dikatakan
Wan Azizah ialah calon yang paling diterima untuk menjawat jawatan
Menteri Besar Selangor berbanding calon lain juga tidak tepat, kerana
ada 32% yang “tidak pasti” dan 5% yang enggan menjawab.
Wan Azizah cuma berada di tempat kedua, kalah kepada kategori “tidak pasti.”
Yang memihak kepada Wan Azizah sekarang ialah keputusan parti PKR, dan
30 Adun Pakatan Rakyat yang bersamanya. Bagi mereka, 30 Adun adalah
mewakili suara majoriti rakyat Selangor, meskipun berlawanan dengan
kajian Merdeka Centre.
Barangkali di bawah sistem demokrasi Malaysia, itulah sahaja takat harga undi rakyat Malaysia.
Undi rakyat hanya diperlukan untuk para ahli politik mencapai kemenangan.
Sebelum pilihanraya, mereka disajikan dengan pelbagai maklumat benar dan
palsu menjelang hari pengundian untuk menpengaruhi keputusan mereka.
Lepas menang, ahli politik yang mencapai kemenangan bolehlah membuat
permohonan maaf di mahkamah kerana menfitnah lawannya yang tewas.
Mereka menggunakan kepercayaan rakyat kepada mereka untuk mendapat
kemenangan. Selepas itu, perasaan rakyat tidak perlu dipedulikan lagi
sehinggalah PRU yang akan datang. Lihatlah berapa banyak permohonan maaf
dan penarikan kembali yang dibuat sehingga kini. Apakah mereka tahu apa
perasaan rakyat yang rasa tertipu dengan permohonan maaf mereka?
Perkara itu juga terserlah di dalam kontroversi isu Menteri Besar
Selangor. Pandangan rakyat juga tidak perlu diendahkan kerana yang
menjadi kata putus segala-galanya selepas itu ialah keputusan parti yang
memegang kerusi tersebut.
Kajian Merdeka Centre telah secara tidak langsung memberikan jawapan kepada kewajaran Pas dalam membuat keputusan ini.
Pas telah membuat keputusan untuk menyokong sama ada Wan Azizah atau
Azmin sebagai pengganti Abdul Khalid. Pas juga telah membuat keputusan
tidak menuntut kerusi Menteri Besar Selangor.
Data menunjukkan bahawa keputusan Pas (meletak Azmin dan Wan Azizah)
mewakili 43% pandangan rakyat Selangor (dengan menganggap mereka yang
menyokong calon Pas juga akan menyokong calon yang disokong Pas)
berbanding 20% yang hendakkan calon Umno dan lain-lain. Jumlah itu lebih
tinggi daripada 37% daripada mereka yang “tidak pasti” 32% dan juga
enggan menjawab 5%.
Peratusan 43% ini jauh lebih tinggi daripada sokongan 25% yang menyokong
Wan Azizah sahaja, yang juga menjadi keputusan Pakatan Rakyat Ahad
lalu.
Namun semua hipotesis ini tidak betul sekiranya mereka merasakan kajian Merdeka Centre itu tidak tepat.
Sekarang tiba giliran Sultan Selangor membuat keputusan. Antara kehendak
Adun, peruntukan perlembagaan, memilih yang terbaik untuk rakyat
Selangor dan kestabilan kerajaan negeri, bagaimana Sultan Selangor akan
membuat keputusan?
Apakah baginda akan meminta lebih daripada satu nama meskipun Wan Azizah sudah mendapat sokongan 30 Adun?
Apakah ada kemungkinan wujud calon lain yang boleh mendapat lebih
daripada sokongan 30 Adun kerana pada dasarnya, satu-satu Adun tidak
semestinya hanya boleh perkenan satu dan menolak yang lain?
Ini kerana bagi sesetengah Adun, calon A atau calon B pun OK. Ada pula
yang bertegas calon A sahaja. Ada pula yang bertegas calon B. Ada pula
yang kedua-duanya tak mahu. Ada yang mahu calon C. Bezanya, mereka hanya
berani mengaku di dalam kerahsiaan.
Asalkan siapa yang dapat perkenan keempat-empat pihak – iaitu PKR, DAP,
Pas dan istana serta undi tertinggi, maka beliaulah akan menjadi Menteri
Besar Selangor yang seterusnya. Kurang sokongan daripada mana-mana
komponen pun akan menggagalkan misi lantikan menteri besar ini.
Jika formula matematik ini juga gagal mencapai jawapan, bersedia untuk
bubar Dunlah jawabnya. Pada masa itu, mereka yang mencipta kemelut ini
diharap tidak menjerit hak mereka dirompak atau ada orang sengaja
menyusahkan rakyat.
Ini kerana merekalah yang menyusahkan rakyat dahulu dengan satu pilihan
raya kecil yang disengajakan. Dan mereka jugalah yang menyatakan dengan
jelas bahawa mereka bersedia untuk kehilangan negeri Selangor hanya
semata-mata untuk menyingkirkan Abdul Khalid.
Mereka mungkin mudah lupa, tapi rakyat tidak.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.