Hadi tawar Azmin sertai PAS bentuk kerajaan bersama Umno, dakwa AJK PAS Pusat
Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam dikejutkan pengakuan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang beliau menawarkan Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali menyertai PAS bersama beberapa rakannya bagi membentuk kerajaan bersama di Selangor.
Namun, tawaran itu kemudiannya ditolak Azmin.
Menurut seorang AJK PAS Pusat yang menyertai mesyuarat semalam, Hadi mengesahkan perkara itu setelah ditanya oleh ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin tentang perkara itu.
Ia diikuti pertengkaran hangat antara Hadi dan Hanipa.
AJK PAS Pusat itu mengesahkan kepada The Malaysian Insider pengakuan Hadi itu ekoran tersebarnya maklumat dalam laman sosial kononnya PAS menawarkan jawatan menteri besar kepada Azmin untuk membolehkan kerjasama dibuat dengan Adun PAS, Umno dan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi membentuk kerajaan.
Menurut sebaran itu, isu itu bermula dalam mesyuarat semalam apabila seorang AJK PAS Pusat bertanya kepada presiden adakah benar perkhabaran beliau dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan dengan Azmin.
Presiden mengatakan perkhabaran itu benar.
"Kalau PKR boleh curi wakil rakyat PAS maka PAS pun boleh berbuat perkara yang sama," kata Hadi, menurut sebaran itu.
AJK yang sama bertanya lagi isi kandungan perbincangan dengan Azmin, lalu dijawab yang Azmin diajak menyertai PAS bersama dua atau tiga orang lagi Adun PKR.
AJK yang sama menyambung pertanyaan, “Kalau dicampur PAS yang 13 orang dengan Azmin dan 2 orang Adun PKR, bilangan cuma 16 orang. Bagaimana hendak mengadakan kerajaan?”
Belum sempat Hadi menjawab, seorang AJK lain mencelah dan bertanya adakah presiden bersetuju bekerja sama dengan Umno.
"Lantas presiden menyatakan persetujuan, malahan presiden memberikan alasan menjaga Melayu sebagai asas perpaduan," kata sebaran itu yang disahkan kebenaran sebahagian besar isi kandungannya oleh AJK PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.
Azmin ketika ditemui wartawan semasa Kongres PKR hujung minggu lepas mengakui beliau ada berbincang dengan Hadi sehari dua sebelum itu.
Antara kandungannya, kata Azmin, adalah mengenai pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.
Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, Hadi berkeras dalam mesyuarat itu yang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak boleh dicalonkan sebagai menteri besar Selangor kerana dia wanita dan kerana dia juga tidak layak.
Tindakan Hadi ini jauh berbeza dari sikapnya dalam mesyuarat 17 Ogos lepas apabila beliau sendiri yang mencadangkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai calon menteri besar Selangor.
Pencalonan Azmin pula ditolak oleh 13 Adun PAS Selangor yang masih tinggal selepas dua dari mereka menyokong pencalonan Dr Wan Azizah.
Ekoran tindakan dua Adun PAS itu, Khalid hilang peluang untuk kekal sebagai menteri besar kerana bilangan penentang beliau membentuk majoriti iaitu 30 dari 56 kerusi dalam DUN Selangor.
Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) berpecah dari kelompok PAS apabila mengisytiharkan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah atas dasar untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat.
Dalam sidang media selepas mesyuarat AJK PAS Pusat semalam, Mustafa berkata, mesyuarat mengambil keputusan menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor melantik menteri besar yang baru. -TMI
ULASAN GB
Hukum kebenaran dan keadilan pun berjalan. Terdedah sebuah tembelang paling jijik.
Baru sebentar tadi GB mencadangkan supaya Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang perlu diangkat sebagai Mursyidul Am PAS dan lepaskan jawatan Presiden parti.
Tetapi dengan perkembangan terbaru ini, maka Haji Hadi sepatutnya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan jika terbukti benar bahawa beliau ingin mengadakan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, bererti beliau telah mengkhianati keputusan Muktamar sebelum ini yang mahu PAS kekal bersama Pakatan Rakyat. Haji Abdul Hadi perlu dipecat dari PAS!
Rupa-rupanya perjuangan Hj.Hadi untuk MELAYU.
AJK yang sama menyambung pertanyaan, “Kalau dicampur PAS yang 13 orang dengan Azmin dan 2 orang Adun PKR, bilangan cuma 16 orang. Bagaimana hendak mengadakan kerajaan?”
Belum sempat Hadi menjawab, seorang AJK lain mencelah dan bertanya adakah presiden bersetuju bekerja sama dengan Umno.
"Lantas presiden menyatakan persetujuan, malahan presiden memberikan alasan menjaga Melayu sebagai asas perpaduan,"
Di dalam tahun 2009 sewaktu idea Kerajaan Perpaduan PAS-UMNO mula hangat, GB pernah mengulas:
Sebenarnya isu tersebut tidak perlu diulas panjang lagi. Jawapan masyarakat sudah cukup untuk membuktikan idea itu ditolak.
Jika masih ingin terus memproklamirkan idea tersebut adalah terlebih baik yang termasuk di dalam kumpulan 3% yang menyokong itu menyertai UMNO. Itu jalan paling mudah. Tak perlu susah-susah untuk cipta satu utopia yang hanya indah pada sebutan tetapi hakikatnya ia sama sekali tidak akan tercapai.
Kezaliman yang dilakukan oleh BN selama ini terhadap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh tiba-tiba dikompromikan dengan pewujudan Unity Government sementelah lagi kita tidak cukup bijak untuk menandingi strategi Rasulullah di dalam bernegara.
ika tidak sudah pasti Rasulullah merupakan orang pertama mewujudkan Unity Government sewaktu kezaliman Quraisy Mekkah tertimpa kepada umat Islam.
Kezaliman dan kemungkaran tidak boleh dihapuskan dengan kita kononnya menjadi pentadbir bersama, dengan entiti politik yang masih berbeza. Jika demikian apa gunanya berpilihanraya lagi?
Di mana pengertian jihad kecuali jihad untuk mengejar keduniaan yang menjadi matlamat Kerajaan Unity ini?
Juga, kerajaan unity ini adalah satu penempelakan dan penghinaan terhadap para syuhada yang telah mengorbankan darah dan nyawa untuk Islam zaman berzaman.
Jika ada kerajaan yang sedemikian di dalam Al-Quran dan Sunnah, sila buktikan, kami sedia menimbangkan malah mengikuti dan mendokonginya.
Namun jika tidak ada, maka kembalilah ke pangkal jalan setelah jalan yang menyesatkan itu diwarwarkan untuk memecahbelahkan ummah seadanya.
Yang lebih utama perbaiki diri dan parti supaya kita bertambah perkasa untuk diterima oleh rakyat sebagai pemerintah negara. Perbaiki diri wakil-wakil rakyat yang kita ada.
Tidak ada apa-apa makna jika bercakap berdegar-degar tentang Kerajaan Unity, tetapi semasa seorang ahli Pakatan Rakyat sedang menerima usul untuk digantung di Dewan Rakyat, mereka tidak ada untuk bersama menentang kezaliman yang menimpa.
Sama juga disaat ketika mana kerajaan Perak dirampas kuasanya, mereka sedang berada di luar negara pula. Itukah contoh teladan yang ditunjukkan kepada rakyat jelata?
Itukah cara memimpin bagi seorang yang bergelar ketua? Kemudian pulang untuk berucap berapi-api di pentas untuk buktikan aku masih setia sedangkan yang tinggal masa itu hanyalah sisa-sisa yang sudah tidak mempunyai makna apa-apa!
Bukan tugas yang disuruh Allah untuk kita mendengar atau mencipta panggilan di kiri kanan jalan yang melecehkan kejayaan perjuangan Islam sebenarnya sepertimana syaitan yang telah cuba melecehkan perjalanan Rasulullah ke siratul-muntaha di dalam peristiwa Isra Mikraj satu ketika.
Perjuangan haq menentang batil akan tetap ada sepanjang masa. Dan bukan tugas kita untuk meneroka jalan singkat ke syurga. Ia sama sekali tidak akan terjumpa. Jalan singkat yang bernama kerajaan perpaduan itu hanya ilusi semata-mata!
Dengan pembongkaran ini, 13 ADUN PAS perlu menentukan sikapnya SEKARANG. Samada ingin bersama Pakatan Rakyat atau Presiden PAS yang telah khianat terhadap partinya sendiri.
Kelab Greenboc
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.