Pusat beli-belah akan turut berkabung sebagai menghormati jenazah mangsa MH17 yang dijangka tiba di KLIA, Sepang, pagi ini.
Pusat beli-belah akan turut berkabung sebagai menghormati jenazah mangsa MH17 yang dijangka tiba di KLIA, Sepang, pagi ini.
Pusat beli-belah akan turut berkabung semasa Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 bagi menghormati 20 jenazah mangsa nahas yang tiba di Malaysia untuk disemadikan hari ini.
Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Awam Suria Kuala Lumpur City Centre (KLCC) Fartini Zaharuddin berkata pihaknya akan bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah tragedi pesawat MH17.
"Turut terlibat adalah kakitangan serta para peruncit, yang menjalankan perniagaan mereka di pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya serta Mesra Mall di Terengganu, akan berkabung serta memakai pakaian berwarna gelap atau hitam seharian bagi menghormati mangsa tragedi," katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata waktu bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 dijadual berlangsung bila-bila masa seawal 10.30 pagi esok.
Semua rakyat diminta menghentikan segala aktiviti untuk bertafakur selama seminit dengan membaca Al-Fatihah bagi yang beragama Islam dan berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing bagi bukan Islam.
Fartini berkata selain itu, ucapan takziah akan dipapar di skrin digital, Facebook dan laman sesawang ketiga-tiga pusat beli-belah manakala hanya muzik berentak perlahan akan dimainkan sepanjang operasi esok.
Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Sogo Kuala Lumpur Rosma Tajuddin berkata pusat beli-belah itu akan memasang papan peringatan MH17 bersaiz 4.8m x 2.4m di pintu masuk kompleks yang menghadap Jalan Tunku Abdul Rahman.
"Semua staf pengurusan, termasuk ketua pegawai eksekutif dan Lembaga Pengarah, akan berkumpul di aras bawah bangunan pada 10.30 pagi semasa upacara tafakur dijalankan," katanya.
Sementara itu, pusat beli-belah Shah Alam Convention Center (SACC) tidak akan memainkan sebarang muzik selama sejam sebagai tanda penghormatan kepada mangsa nahas.
Pengurusnya, Ainon Kassim berkata bendera juga akan dikibar separuh tiang sepanjang hari bagi menghormati Hari Perkabungan Negara.
Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh namun sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab. – Bernama, 22 Ogos, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pusat-beli-belah-berkabung-hormati-mangsa-nahas-mh17#sthash.J0bgb9ud.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.