Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang berdepan dengan penentangan ahli partinya sendiri apabila 13
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor menolak calon menteri besar
Selangor pilihannya – Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali ketika
mesyuarat jawatankuasa pusat, seminggu selepas mereka memutuskan
menghantar dua nama.
Mesyuarat
semalam menyaksikan ketegangan berlaku di antara Ahli Parlimen Sepang
Mohamed Hanipa Maidin dan Hadi berhubung usaha PAS menyokong Azmin untuk
jawatan tertinggi negeri itu berbanding Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail, kata sumber.
“Terdapat ketegangan apabila
Hanipa mempersoalkan langkah menyokong Azmin selepas 30 Adun termasuk
Azmin sendiri menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah. Hanipa mahu tahu
siapa lagi menyokong Azmin,” satu sumber memberitahu The Malaysian
Insider dan menambah tiada jawapan diberikan kepada soalan itu.
PAS mempunyai 15 kerusi daripada
56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor manakala PKR mempunyai
13 dan DAP 15. Selebihnya adalah 12 Adun Barisan Nasional (BN) dan Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim, menteri besar yang kini menjadi Adun bebas
selepas dipecat PKR.
PAS, PKR dan
DAP menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) yang mengatakan 30 Adun, termasuk
dua dari parti Islam itu menyokong Dr Wan Azizah bagi jawatan tertinggi
negeri itu.
Sumber itu juga memberitahu,
mesyuarat semalam menyaksikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kecewa
dengan pendirian keras Hadi agar dua nama dihantar kepada Sultan
Selangor untuk jawatan menteri besar.
Mohamad tidak ada bersama pada
sidang akhbar selepas mesyuarat PAS semalam. Difahamkan timbalan
presiden PAS itu mengelak untuk bertemu media dan meninggalkan mesyuarat
menggunakan pintu belakang selepas ia berakhir, begitu juga Hanipa.
Hadi juga tidak bertemu media
selepas mesyuarat dan menghantar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali
untuk memberikan kenyataan satu perenggan dan memberikan penjelasan
kepada media yang menanti.
Dalam mesyuarat semalam,
ketegangan berlaku kerana Hadi bertegas tidak mahukan Dr Wan Azizah
untuk memimpin negeri terkaya itu, menjadikan PAS tersepit selepas Adun
mereka di Selangor memberitahu Hadi mereka tidak akan menyokong Azmin.
"Presiden tidak mahu Dr Wan
Azizah, 13 Adun Selangor pula menolak Azmin, jadi hasilnya kita serahkan
kepada Sultan untuk membuat pilihan," kata satu sumber kepada The
Malaysian Insider dengan syarat tidak dinamakan.
Sebaik saja selepas mesyuarat
selama dua jam semalam, Mustafa membacakan kenyataan satu perenggan yang
berbunyi:"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada hari ini 25 Ogos
2014 bersetuju untuk menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan Ke
Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor dalam menentukan
jawatan menteri besar Selangor.”
Mustafa juga enggan mengesahkan
sama ada parti itu bersama pendirian Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR)
untuk menamakan Dr Wan Azizah dan sebaliknya memberitahu pemberita agar
‘tafsir (kenyataan) itu sendiri’.
"Mesyuarat (semalam) bertujuan
untuk memutuskan sikap PAS selepas keputusan Pakatan berbeza dengan
keputusan PAS,” kata sumber itu.
“Hasilnya mesyurat memutuskan, kita serah kepada Tuanku untuk memilih siapa calon menteri besar Selangor.”
Sumber berkata, ramai dalam
mesyuarat semalam terkejut dengan penegasan Hadi kerana beliau sendiri
yang mencadangkan kedua-dua Dr Wan Azizah dan Azmin dipertimbangkan
untuk jawatan itu semasa mesyuarat parti pada 17 Ogos.
"Presiden memberikan dua alasan.
Satu alasan agama dan satu lagi kelayakan," kata sumber itu merujuk
kepada hujah mengatakan Dr Wan Azizah tidak layak memimpin kerana beliau
merupakan seorang wanita.
13 Adun PAS Selangor bertemu
Hadi dua kali selepas rakan mereka Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun
Morib Hasnul Baharuddin mengisytiharkan sokongan mereka kepada Dr Wan
Azizah.
Kali terakhir mereka bertemu
pada 20 Ogos di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut. Azmin juga dikatakan
sudah bertemu dengan Hadi pada hari berkenaan untuk membincangkan
beberapa perkara termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.
Mustafa semalam berkata, 13 Adun
PAS tidak akan menyertai dua rakan mereka dan 28 Adun PR menandatangani
akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan semalam surat mencalonkan isterinya
untuk jawatan itu sudah dihantar ke istana.
Beliau berkata, tiada keperluan
parti gabungan itu menghantar surat secara individu kepada Sultan
berhubung pencalonan tersebut. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.