Followers

Monday, August 11, 2014

Kit Siang SelarTawar Khalid Sertai Parti, Ahmad Yaakob Nafi Berbuat Demikian

 


MB Kelantan nafi tawar Khalid Ibrahim sertai PAS

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob nafi mempelawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat PKR untuk menyertai PAS seperti dilaporkan media semalam, kata Setiausaha Akhbar Mohd Asri Mat Daud.

Asri berkata, sebaliknya Ahmad yang juga pemangku ketua Dewan Ulama PAS apabila ditanya mengenai masa depan Khalid mengatakan itu merupakan hak menteri besar Selangor penggal kedua itu.

“Pemangku ketua DUPP hanya menyatakan ‘itu kita tidak boleh nak komen, itu hak dia’ apabila ditanya tentang masa depan politik Khalid selepas ini,” kata setiausaha akhbar kepada menteri besar Kelantan itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Laporan berita yang berkait dengan menteri besar Kelantan merangkap pemangku ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di bawah tajuk 'PAS Pelawa Abdul Khalid Keahlian PAS' sebagaimana yang dilaporkan oleh portal online Mstar adalah tidak tepat sama sekali,” katanya.

Semalam portal berbahasa Melayu milik The Star itu melaporkan Ahmad mempelawa Khalid untuk menyertai PAS.

Menurut Mstar, menteri besar Kelantan itu memberitahu, pintu keahlian PAS sentiasa terbuka untuk khalid yang dipecat daripada PKR pada Sabtu kerana masalah disiplin.

"Terpulanglah kepada beliau jika ingin menyertai PAS selepas ini kerana dipecat PKR.

"Tetapi, kita perlu menunggu pertemuan beliau dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan melihat nasihat yang akan diberikan untuk tindakan selanjutnya," katanya seperti dilaporkan Mstar di Kota Baru.

Asri berkata, Ahmad mengatakan Dewan Ulama PAS Pusat tidak pernah membincangkan tentang urusan pemecatan Khalid sebagaimana yang tersiar dalam Buletin Utama TV3 pada jam 8 malam semalam.

“Apa yang dinyatakan ialah perbincangan tentang hal tersebut akan dibincang dalam mesyuarat PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama sudah membincangkan hal ini, mungkin mereka yang melaporkan berita tersebut keliru antara Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama,” katanya. -TMI

Tindakan tidak bermaruah tawar Khalid sertai parti, kata Kit Siang

Katanya, tindakan mengambil kesempatan atas krisis tersebut dengan menawarkan Khalid yang dipecat PKR menyertai parti lain dalam PR, tidak berpendirian dan tidak bermaruah.

"Ia sangat menjengkel dan menjijikkan untuk sesiapa yang mengambil kesempatan dalam krisis menteri besar dengan melayan cadangan Khalid masuk PAS atau DAP supaya PAS atau DAP boleh mendapat jawatan tersebut, sekiranya Khalid terus menjadi menteri besar," kata Lim.

Ahli parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan tersebut tidak berprinsip dan menghormati konsep kesepakatan dalam PR.

"Tiada parti politik atau pemimpin politik yang dihormati akan menimbang cadangan hina itu," katanya.

Lim sebaliknya mahu pemimpin PR menumpukan kepada usaha untuk memulih dan menyakinkan semula rakyat susulan krisis yang berlaku di Selangor.

"Cabaran yang paling besar dihadapi PAS, PKR dan DAP adalah untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Pakatan," katanya.

Lim bagaimanapun sedikit lega apabila ketiga-tiga rakan dalam PR menyatakan komitmen untuk kekal dalam gabungan tersebut walaupun selepas Khalid dipecat.

"Saya bersyukur ketiga-tiga parti komponen PR menyatakan komitmen kekal bersama walaupun selepas pemecatan Khalid daripada PKR semalam," katanya.

Menurut Lim, krisis di Selangor yang dihadapi ketika ini adalah terburuk dihadapi Pakatan.

"Sama ada Pakatan boleh terselamat dan selesaikan krisis menteri besar dengan cepat bergantung kepada integriti politik dan saling hormat-menghormati dalam Pakatan," katanya.

PKR terpaksa mengambil langkah memecat Khalid selepas usaha mereka mendesak menteri besar dua penggal itu berundur gagal.

DAP sudah menyatakan sokongan kepada PKR untuk menggantikan Khalid dengan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagaimanapun PAS belum ada keputusan rasmi.

Kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang mempelawa Khalid masuk PAS selepas dipecat dilihat sebagai petanda tidak baik.

Bagaimanapun, kepimpinan PAS pusat berbeza pandangan dengan kepimpinan ulamanya yang seolah-olah tidak bersetuju dengan pemecatan Khalid.

Khalid juga bertegas masih menteri besar Selangor yang sah dan menunggu keputusan daripada Sultan Selangor yang bakal diputuskan dalam mesyuarat esok.


ULASAN GB

Bercempera.

Yang mana satu betul? Kenyataan Ahmad Yaakob semalam menyatakan "PAS pelawa Abdul Khalid Keahlian Parti", namun setiausaha akhbarnya menafikan Ahmad Yaakob pernah menyatakan demikian.

Persefahaman selama ini sesuatu pihak dalam PR tidak akan mengambil ahli yang dipecat daripada parti lain dalam pakatan itu. Sudah jelas.

Akhbar MSTAR nampaknya keterlaluan memmmesongkan fakta untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat dan kita berharap pemimpin dan ahli parti di dalam PR tidak termakan dengan berita-berita palsu dari media mesra-BN.

TGNA sendiri pernah menyelar orang yang melompat parti.





Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.