Pakatan Rakyat (PR) hari ini kehilangan kerajaan Selangor apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bermasalah selama ini memecat kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PKR dan DAP.
Lima daripada exco yang terlibat menerima surat pemecatan mereka sementara Exco PKR Rodziah Ismail berada di luar negara.
Tindakan Khalid ini meninggalkan beliau dengan empat Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
Tidak diketahui sama ada kepimpinan PAS sedar mengenai pemecatan ini serta pendapat mereka tentang isu ini. PAS menegaskan keputusannya tentang menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor hanya akan dibuat pada 17 Ogos.
Kepimpinan PKR dan DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini dan dijangka akan menyatakan pendirian mereka selepas mesyuarat. -TMI
Khalid pecat serta-merta semua exco PKR, DAP
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat semua exco PKR dan DAP kerana tidak bersetuju bersama pasukannya mentadbir negeri Selangor.
Menteri besar Selangor itu menyatakan semua surat yang dihantar kepada lima exco, tiga dari DAP dan dua dari PKR hari ini berkuatkuasa serta-merta.
Bagaimanapun Khalid menyatakan belum menulis surat kepada Rodziah Ismail kerana berada di luar negeri.
"Exco telah membuat beberapa kenyataan dan menandatangani surat supaya diadakan satu blok tujuannya mengurangkan keberkesanan exco.
"Oleh itu saya menulis surat kepada sultan meminta supaya exco ini tidak meneruskan kerjanya kerajaan negeri Selangor.
Senarai exco dipecat
DATUK TENG CHANG KHIM
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan
RODZIAH ISMAIL
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Dan Hal Ehwal Wanita
EAN YONG HIAN WAH
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram
ELIZABETH WONG KEAT PING
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar
DAROYAH ALWI
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi & Inovasi
GANABATIRAU VERAMAN
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin -mk
Isu MB: PAS Selangor ikut arahan parti - Iskandar
Pimpinan dan ahli-ahli PAS Selangor akan sentiasa mematuhi apa sahaja arahan dari PAS Pusat berikutan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad berkata pihaknya sabar menunggu PAS Pusat yang akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini untuk menetapkan pendirian parti berhubung kedudukan Abdul Khalid.
"Saya yakin pimpinan dan ahli-ahli PAS akan sentiasa bertindak menurut keputusan-keputusan peringkat tertinggi parti malah Ahli-Ahli Dewan Negeri telah mengangkat sumpah sebelum hari penamaan calon pilihanraya umum yang lepas supaya sentiasa mematuhi arahan parti," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurut beliau, buat masa ini exco-exco PAS akan menjalankan tugas mereka seperti biasa selari dengan arahan yang telah dikeluarkan Setiausaha Agung PAS pada 10 Ogos lalu.
Arahan tersebut agar exco kerajaan negeri dari PAS terus berkhidmat di dalam Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Arahan ini adalah selari dengan perkenaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor agar Tan Sri Khalid meneruskan tugas beliau sebagai Menteri Besar," katanya.
Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, sebelum ini berkata pentadbiran Selangor mesti berjalan demi kepentingan rakyat Selangor.
"Kita merasakan bahawa pentadbiran kerajaan perlu diteruskan, tidak adil untuk rakyat jika exco PAS letak jawatan," tegasnya ketika ditemui pada majlis Hari Terbuka PAS Pusat Ahad lalu.
Dalam pada itu beliau berharap kemelut ini akan dapat diatasi secepat mungkin dan Pakatan Rakyat akan terus kukuh di Negeri Selangor. -HD
ULASAN GB15 Adun PAS perlu beri sokongan penuh kepada Khalid, kata Mohd Amar
Kesemua 15 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor perlu memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kekal menerajui Selangor sebagai menteri besar.
Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sokongan berkenaan selari dengan pendirian Majlis Syura Ulama PAS yang mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai menteri besar Selangor.
"Apabila Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan menyokong Khalid dan selagi parti masih belum membuat apa-apa keputusan (lain) mengenainya, dari segi kewajipan wakil rakyat PAS Selangor akan (terus) bersama-sama beliau (Khalid).
"Arahan juga sudah dikeluarkan kepada exco PAS Selangor supaya kekal dengan jawatan yang ada sekarang," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Khalid untuk kekal sebagai menteri besar walaupun dipecat keanggotaannya daripada PKR, Sabtu lalu.
Perkenan baginda itu diumumkan sendiri oleh Khalid dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan selepas Majlis Dewan Diraja Selangor mengadakan mesyuarat di Istana Alam Shah, Klang bagi membincangkan antara lain kedudukan jawatan menteri besar.
Pada 7 Ogos lalu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan bahawa Khalid tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah sebagai menteri besar yang mewajarkannya disingkirkan.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata Majlis Syura Ulama merupakan badan tertinggi dalam parti dan segala yang diputuskan majlis itu selalunya tidak akan disanggah oleh anggota mahupun kepimpinan. – Bernama
PAS terlalu lembab dan lemah di dalam strategi politiknya. Seperti ynag GB utarakan sebelum ini PAS masih terhegeh-hegeh untuk membuat keputusan, terpaksa menunggu JAwatankuasa Pusat bermesyuarat pada 17 Ogos ini - setelah dua kali ditunda - dari 10hb kepada 13hb dan kemudian kepada 17hb Ogos. Dalam jangakawaktu itu Khalid sudah dipecat, dan Khalid pula memecat para exco. Mungkin lepas ini DUN Selangor dibubarkan dan PAS Pusat masih belum bermesyuarat.
UMNO bertindak pantas mengadakan mesyuarat sebaik saja Khalid Ibrahim dipecat dan membuat keputusan menyokong Khalid sebagai MB. DAP sudah pun membuat keputusan lebih awal untuk bersama Pakatan Rakyat menyokong tindakan PKR memecat Khalid.
Di zaman IT serba canggih ini, dan di zaman Whatsapp, video connferencing dan segala mak nenek teknologi maklumat lansung tak dimenafaatkan untuk membuat mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat. Masih nak buat gaya konvensional, semua perlu hadir bersemuka sehingga mesyuarat terpaksa ditunda berkali-kali. Sungguh ketinggalan.
Petang ini Khalid bertindak memecat exco-exco dari DAP dan PKR. Mana Majlis Ulamak PAS yang sebelum ini beriya-iya membela Khalid di atas dasar "beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan"? Mengapa tidak bela para exco yang dipecat yang tidak melakukan apa-apa kesalahan?
Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini memutuskan bahawa Khalid tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah sebagai menteri besar yang mewajarkannya disingkirkan. Sekarang bagaimana pula dengan para exco yang dipecat oleh Khalid yang tidak disabitkan dengan sebarang pelanggaran terhadap amanah sebagai exco yang mewajarkan mereka disingkirkan?
Sementara itu Pesuruhjaya PAS Selangor menyatakan "buat masa ini exco-exco PAS akan menjalankan tugas mereka seperti biasa selari dengan arahan yang telah dikeluarkan Setiausaha Agung PAS pada 10 Ogos lalu."
Di penghujungnya, PJ berkenaan berharap kemelut ini akan dapat diatasi secepat mungkin dan Pakatan Rakyat akan terus kukuh di Negeri Selangor.
Jika benar masih nak bersama Pakatan Rakyat sepatutnya para exco PAS perlu meletakkan jawatannya sebagai tanda kesetiakawanan di dalam Pakatan Rakyat terhadap exco-exco yang dipecat.
Lebih menjijikkan lagi apabla terhadap suara sumbang dari AJHK PAS Pusat yang suruh membentuk Kerajaan Campuran PAS-BN di Selangor seperti yang dicadangkan oleh Zuhdi Marzuki dan kenyataan songsang Nik Mohd Amar, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang men inta kesemua 15 Adun PAS perlu beri sokongan penuh kepada Khalid.
Apa yang kita lihat, Khalid kini memang mempunyai hubungan dan berpakat dengan UMNO di dalam membuat keputusannya dan nampaknya Pilihanraya kecil negeri Selangor semacam sudah tidak dapat dielakkan lagi...
Kelab Greenboc
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.