Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul
menegur bekas ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin yang mendakwa
pemilihan lepas dicemari politik wang.
Katanya, beliau terkilan kerana Shamsul Iskandar, yang baru dilantik ke
jawatan naib presiden parti, membangkitkan mengenai kes di cabang Pensiangan dan menimbulkan mengenai kes politik wang.“Ada tuduhan menyatakan bahawa kita berat sebelah, JPP membenarkan unsur politik wang.
"Saya terkilan apabila mantan ketua AMK mengatakan wujudnya unsur politik wang dalam pemilihan seolah-olah JPP menghalalkan tindakan tersebut,” katanya dalam ucapan di persidangan Kongres Nasional PKR ke-10 hari ini.
Katanya, siasatan JPP berjaya menemui punca masalah yang timbul dalam pemilihan di cabang tersebut, namun enggan mendedahkan butirannya.
"Saya tidak mahu pergi kepada perincian tetapi percayalah bahawa JPP tidak pernah mempunyai favouritisme (pilih kasih) terhadap mana-mana kumpulan.
"Kita cuba sedaya upaya memastikan apa yang berlaku dalam pemilihan ini telus dan benar," kata Johari lagi.
Johari turut menegur tindakan 16 orang anggota exco AMK yang keluar meninggalkan dewan sewaktu ketua baru mereka, Nik Nazmi Nik Ahmad memulakan ucapannya.
Mereka yang bertindak demikian sebelum ini bertanding atas nama AMK Baru – kumpulan yang dikaitkan dengan fraksi timbalan presiden, Azmin Ali.
Katanya, beliau kecewa kerana sikap yang ditunjukkan oleh para exco baru itu tidak menunjukkan kematangan politik.
"Kalau beginilah cara kita berpolitik nampaknya terpaksalah kita berkursus lebih panjang lagi.
"Nik Nazmi dapat majoriti 270 undi. Kalaulah 77 undi yang dipertikaikan itu diberikan kepada lawan Nik Nazmi, Nik Nazmi masih menang.
"Terimalah hakikat, kenapa harus boikot. Saya harap dengan ini hentikanlah boikot," katanya.
Sementara itu, Shamsul sewaktu ditemui wartawan kemudiannya menafikan beliau merujuk secara spesifik anasir politik wang berlaku di cabang Pensiangan.
"Saya tidak pernah tuduh mana-mana pihak termasuk JPP mengamalkan politik wang.
"Mereka boleh semak laporan semalam termasuklah laporan berita Malaysiakini semalam.
"Dalam laporan ucapan penanguuhan itu saya tidak sebut mana-mana cabang termasuklah cabang Pensiangan.
"Dengan penjelasan Datuk Johari hari ini saya fikir kita perlu ada keadaan menang-menang. Pemilihan pun dah habis dan kita perlu mula bekerja," katanya.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.