Aktivis Pembangkang, Hishamuddin Rais telah mengundang kontroversi
apabila menggelar Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah
Hussin sebagai ‘anak dara tua yang kurang seks’.
Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ketika menjadi panel dalam forum
berjudul 'Krisis Selangor: Pakatan berpecah?' di Dewan Perhumpunan Cina
KL-Selangor (KLSCAH) kelmarin.
Beliau yang turut mengecam kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim memberi
gelaran tersebut setelah menganggap Faekah sebagai penyokong tegar
Khalid yang terlalu beremosi apabila beberapa pihak mengkritik bosnya
itu.
"Bila cakap pasal tak kahwin semua tahu kan? Faekah tak kahwin lagi.
"Inilah masalahnya. Orang yang bernama Faekah ini adalah penyokong tegar Khalid.
"Kalau petang semalam tak bersetuju untuk bertemu dan berbincang, malam esok Faekah kata Jangan.. Jangan.. Jangan.. Jangan.
"Ini saya bagi satu analisis apabila 'orang itu' kurang seks," katanya dengan nada sinis.
Hishamuddin berkata demikian dengan memberi contoh menyamakan Faekah
dengan watak seorang jururawat dalam filem Milos Forman berjudul "One
Flew Over the Cuckoo's Nest".
Ianya turut dirakamkan menerusi laman Youtube 'KiniTV' bertajuk 'Forum 'Krisis Selangor hangat pula dengan isu hina wanita'.
Kenyataan beliau itu dilaporkan telah menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa peserta yang hadir pada forum berkenaan.
Sebelum ini, Faekah mengeluarkan kenyataan menyelar beberapa pihak di
dalam pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merancang menjauhkan
karier politik Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Malah beliau pernah menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya menerusi laman
twitternya terhadap keputusan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) menggugurkan bosnya dari jawatan Menteri Besar Selangor dan
menamakan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti bagi
jawatan tersebut
Faekah dengan nada sinis menganggap keputusan mesyuarat yang dipimpin
Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tindakan 'Ikut Suka Aku'
tanpa merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri dalam melantik atau
menggantikan jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.