Ingin bubar DUN Selangor ? Baca ini dahulu
Ramai yang bertanya saya tentang soalan di atas. Saya menjawab DUN Selangor boleh dibubarkan dan juga tidak boleh dibubarkan bergantung bila Dun itu ingin dibubarkan. Ulasan saya dalam kolum ini hanya semata mata dari persepektif undang undang dan amalan demokrasi berparlimen ala wesminster.
Mengapa saya kata boleh
dibubar Dun Selangor dan mengapa saya kaitkan dengan masa ? Pada hemat
saya Dun Selangor boleh dibubarkan selepas Tan Sri Khalid Ibrahim ( TSKI
) dipecat dari bekas partinya, PKR sehingga tempoh sebelum dua orang
Adun dari Pas iaitu Adun Hulu Kelang dan Adun Morib menyatakan secara
terbuka bahawa mereka menyokong Datin Sri Wan Azizah Wan Arifin ( WAWI )
sebagai Menteri Besar Selangor bersama sama 28 orang Adun lain dari DAP
dan PKR.
Dalam tempoh masa yang
saya nyatakan tersebut keadaan Kerajaan Selangor amat tidak menentu di
mana wujudnya seorang MB iaitu TSKI yang tidak berparti dan juga tidak
mendapat sokongan majoriti di dalam DUN Selangor . Dalam masa yang sama
juga tidak juga wujud mana mana calon dari mana mana parti politik di
DUN Selangor yang mendapat sokongan majoriti adun-adun untuk ditabalkan
menjadi MB Selangor yang baru menggantikan TSKI.
Di atas senario yang
saya nyatakan itu bagi saya jika Y.M Sultan Selangor diandaikan
memperkenankan permintaan dari TSKI, jika ada permintaan tersebut
dibuat, untuk DUN Selangor dibubar ia bukanlah suatu yang salah di sisi
undang undang dan Perlembagaan Negeri Selangor kerana jelas wujudnya
keadaan yang tidak menentu tentang status Kerajaan Selangor yang memang
mewajarkan pembubaran DUN Selangor. Dan jika itu berlaku bagi saya ia
bukan salah Y.M Sultan sebaliknya salah Pakatan Rakyat kerana mereka
gagal mencapai satu persetujuan atau konsensus dengan kadar segera bagi
mencalonkan calon yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi MB
Selangor menggantikan TSKI.
Sebenarnya ramai
penganalisa politik dan undang undang merasa hairan mengapakah dalam
keadaan TSKI telah dipecat dari partinya Pakatan Rakyat gagal mencapai
kata sepakat untuk melantik calon pengganti TSKI sekaligus meletakkan
sebuah Kerajaan yang asalnya diperintah oleh Pakatan dengan kekuatan dua
pertiga majoriti tiba tiba berisiko tinggi untuk dibubarkan begitu
sahaja. Dan jika itu berlaku Pakatan hanya berhak menyalahkan dirinya
sendiri .
Dalam hal ini nampaknya
tindakan dua orang Adun Pas yang menyokong WAWI sebagai calon MB
meskipun tidak digemari oleh orang orang Pas sendiri dan malahan ada
yang melabelkan mereka sebagai pengkhianat, sedikit sebanyak membantu
Pakatan keluar dari keadaan tidak menentu yang mewajarkan Y.M Sultan
untuk membubarkan DUN Selangor. Mungkin dua Adun Pas itu yang mungkin
dihakimi sebagai pengkhianat parti pada masa ini tidak mustahil akan
pula dinobatkan sebagai hero atau wira oleh generasi akan datang ?
Apabila dua Adun itu
dilaporkan menggunakan keputusan muktamar Pas yang telah bersetuju
mempertahankan Pakatan Rakyat sebagai justifikasi tindakan mereka , agak
sukar juga untuk menyalahkan mereka begitu sahaja kerana ramai juga
yang boleh menerima hujah mereka bahawa apa yang mereka lakukan adalah
dalam kerangka ingin mempertahankan Pakatan sebagai mana yang
dikehendaki oleh Muktamar Pas.
Itu senario sebelum 2
Adun Pas itu menyokong WAWI. Bagi saya selepas dua Adun Pas itu
menyokong WAWI sebagai calon MB Selangor ditambah pula dengan keputusan
Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang bersetuju WAWI sebagai calon tunggal
yang akan dibawa kepada Sultan untuk diperkenankan sebagai MB baru
Selangor isu pembubaran DUN Selangor tidak timbul lagi.
Dari perpesktif undang
undang dan Perlembagaan Negeri Selangor, Sultan tidak mempunyai pilihan
selain memperkenankan WAWI sebagai MB Selangor kerana secara jelas
beliau kini mendapat sokongan dua pertiga ahli dewan untuk ditabalkan
sebagai MB Selangor yang baru.
Memandangkan negara kita
mengamalkan doktrin Raja Berperlembagaan adalah jelas Y.M Sultan tidak
mempunyai kuasa mutlak untuk menolak cadangan WAWI sebagai MB Selangor
kerana Raja Berperlembagaan hanya dibenarkan melaksanakan kuasanya di
dalam kerangka perlembagaan.
Dalam kerangka
Perlembagaan satu satunya faktor yang mengekang Y.M Sultan dari
memperkenankan permintaan atan cadangan Pakatan untuk melantik WAWI
menjadi MB adalah sekiranya beliau tidak mendapat sokongan majoriti.
Apabila WAWI jelas telah mendapat sokongan majoriti ahli dewan maka
kekangan itu tidak wujud lagi sekaligus Y.M Sultan, dengan penuh hormat,
tidak mempunyai pilihan selain merestui dan memperkenan WAWI sebagai MB
Selangor yang baru.
Atas dasar itu jika
benar laporan yang menyatakan TSKI berhasrat ingin berjumpa Sultan hatta
berjumpa Sultan di luar negara bagi meminta dibubarkan Dun bagi saya
tindakan itu bukan sahaja tidak sah dan tidak bertanggungjawab malahan
ia suatu yang "purely nonsense" di sisi undang undang dan sistem
demokrasi berparlimen wesminster yang diamalkan di negara ini.
alhusseyn
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.