Followers

Thursday, August 14, 2014

Apa yang berlaku itu semua ada hikmahnya



Kekalutan di Selangor yang belum lagi selesai sekarang ini, banyak perkara dan isu dapat difahami dan sebagaimana orang yang beragama percaya di dalam segala-gala yang buruk yang berlaku akan ada hikmahnya. Jika tidak berlaku yang terburuk tidak akan tiba yang terbaik. 

Apabila keadaan yang amat buruk berlaku kita bersabar dan belajar lagi kenapa keadaan itu berlaku. Jika cepat kita memahaminya, maka yang baik dan terbaik akan timbul.

Jika terjumpa yang buruk dan tidak cantik, jangan terus dibuang kerana mungkin ada kebaikan di sebaliknya. Di sebaliknya jika terjumpa yang cantik dan yang lawa, jangan terus diterkam kerana di sebaliknya mungkin ada kecelakaannya. 
 
Itu sebabnya mereka yang berjaya di peringkat akhir ialah orang yang mempunyai tahap kesabaran yang paling tinggi dan itu jugalah apa yang diajar oleh semua agama.

Tetapi dalam usaha menjadi yang sabar itulah yang tersangat susah dan payah untuk dilakukan. ‘The one who laughs last laughs the loudest and the one who smiles last will smile the sweetest’ itu kata-kata setengah orang yang bijak pandai yang saya dengar berkata.

Apa yang kita belajar dari insiden di Selangor ini? Masing-masing memandang sesuatu perkara itu dari banyak sudut, tetapi yang paling rapat sekali ialah pandangan dari sudut kepimpinan bagi pihak yang ‘alternative’ kepada pimpinan yang menyandang pada hari ini.

Sebagai pihak ‘alternative’ elemen yang terpenting ialah kewibawaan barisan pimpinannya terutamanya bagi pemimpin utamanya. 
 
Itulah yang saya secara jujur memandang terhadap pimpinan Pakatan Rakyat ini. Kewibawaannya perlu lebih baik dari kepimpinan kerajaan yang sedang hendak diganti dan di ambil alih ini. 
 
‘Ibarat menggantikan sebatang pokok yang reput, benih dan pokok yang hendak menggantikan pokok yang reput itu perlu mempunyai kualiti yang lebih baik dari pokok yang hendak dianjak dan dialih’.

Anwar mempunyai masalah yang besar terutamnya masalah peribadi yang sudah menjadi stigma kepada dirinya sendiri. Kita tidak boleh menuduh dan menuduh yang segala apa yang berlaku terhadap dirinya itu adalah fitnah semata-mata. 
 
Yang pentingnya beliau sudah didapati bersalah dan isunya adalah isu yang sangat besar dan susah hendak ditanggalkan dari dirinya.

Kita tidak mahu membesarkan isu ini tetapi pihak yang hendak mencari kepimpinan itu wajar memahami bahawa isu yang dihadapi oleh Anwar ini adalah isu yang teramat sensitif dan bukannya boleh diselesaikan dengan mudah begitu sahaja. Berbagai-bagai perkara akan berlaku jika Anwar masih dijadikan pimpinan utama kepada Pakatan Rakyat ini.  
 Anwar boleh menyumbang kepada keamanan politik negara dengan cara yang amat mudah, iaitu dengan bersara sahaja dan pengorbanan itu akan dikenang sehingga bila-bila. Dengan bersara juga boleh memberikan sumbangan yang bukan kecil kepada negara.

Isu ini tidak akan selesai dengan mengembalikan tuduhan itu sebagai fitnah dan ‘conspiracy’ politik semata-mata. Bukan semua manusia boleh yakin dengan alasan itu. Malahan bagi mereka yang lebih senyap dan memerhatikan dari tepian politik akan lebih memahami keadaan kerana mereka boleh ‘menyelam air dalam tunggak’ apabila menilai isu ini dengan tenang.

Beban ini telah dipikul oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan mesti kita fahami yang mereka yang yakin Anwar telah melakukan seperti apa yang telah diputuskan oleh mahkamah itu tidak akan bersama dengan perjuangan Pakatan Rakyat untuk mengganti BN yang sudah reput ini.

Bagi saya Pakatan Rakyat perlu mencari dan menentukan Ketua kepada gerakan mengganti kepimpinan kerajaan ini adalah dari yang berwibawa dan ‘magnanimous’. Isu sekarang bukan sahaja untuk mencari pimpinan yang menang dalam pilihanraya semata-mata.

Negara kita begitu serius keadaannya dan cara yang boleh menyelesaikan masalah-masalah dan isu berbangkit ialah dengan bertaut dan bersatu diantara semua yang bertelagah termasuk mereka yang berada dalam kerajaan sekarang.

Kita mesti sedar keadaan perpecahan ini bukan sahaja berlaku dalam Pakatan Rakyat tetapi juga berlaku dalam BN, terutamanya diantara rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak, yang berkait dengan berbagai isu, nasional dan tempatan.

Itulah sebabnya blog ini belum lagi berhenti untuk kita semua yang bertelagah ini untuk duduk di meja bulat untuk berunding dan memulakan siasah baru. 
 
Elok perundingan ini di ketuai oleh seorang yang berwibawa dan tidak terlibat dengan perebutan kuasa yang tidak membawa apa-apa faedah dan hasil kepada mana-mana pihak.

Kita tidak boleh memberikan tugasan ini kepada mereka yang terpalit dengan apa-apa isu yang buruk terhadap batang tubuhnya. 
 
Jika ini tidak dilakukan, maka kita akan menjadi sebuah negara dalam mana setiap hari dan setiap masa rakyatnya berbelah-belah dan akan sentiasa berpolimik politik yang tidak manghasilkan apa-apa.

Yang akan kita alami hanya perpecahan dan pergaduhan kerana kepentingan peribadi semata-mata. Ingat samada PAS atau DAP dan PKR, tanggungjawab anda bukan semata-mata untuk memenangkan individu dan menghapuskan politik individu lain. Anda mempunyai perjuangan yang lebih besar dari itu.

Tunjukkan kejujuran dan lakukan yang terbaik. Melakukan yang terbaik bukannya bersukaria pihak lawan kalah, tetapi untuk membawa semua yang bermasalah itu ke meja perundingan bagi mencari penyelesaian yang berkekalan untuk kesejahteraan negara yang berbilang kaum ini.
Sewmuanya, UMNO, DAP, MCA MIC dan semua parti-parti si Sabah dan Sarawak perlu berkumpul kepimpinannya dan berunding. 
 
Jika keadaan sekarang masih berterusan, tidak ada yang menang dan kalah diantara meraka. Yang kalah hanyalah rakyat jelata yang sedang berperang dengan kesempitan hidup seharian ini.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.