KUALA LUMPUR - Sejurus selesai proses
ikat jamin selepas dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, Ahli Parlimen
Shah Alam, Khalid Samad diludah, disembur air, ditampar dan dilemparkan
kata-kata kesat oleh seorang lelaki tidak dikenali sebentar tadi.
Dalam kejadian yang tidak diduga itu,
Khalid yang baru keluar dari Kaunter Jamin di aras B1, menuju ke pintu
utama lobi untuk ke tempat meletak kereta bersama beberapa rakannya.
Menurut sumber yang mahu namanya dirahsiakan, keadaan di lobi kompleks mahkamah itu kecoh kira-kira 10 minit.
Sumber itu berkata, dalam kejadian pada
jam 1 tengah hari tadi, Khalid tiba-tiba didatangi dua orang lelaki yang
menunggunya di lobi.
Salah seorang daripada mereka meludah dan cuba menampar wajah ahli Pas itu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala
Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang berada
bersama Khalid ketika itu menahan tindakan lelaki itu.
Sementara itu, lelaki yang dianggarkan
berusia 30-an itu disertai oleh beberapa lelaki lain kemudian mengekori
Khalid menuju ke tempat meletak kereta.
Seorang saksi lain memberitahu, kumpulan
lelaki itu meludah ke arah Khalid walaupun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat
itu sudah masuk ke dalam keretanya.
Mereka turut menjerit "Kamu ingat Selangor ini kamu punya ke?" dan "babi" kepada Khalid.
Kumpulan itu meninggalkan tempat kejadian selepas Khalid beredar.
Sementara itu, Khalid ketika dihubungi
berkata, beliau agak terkejut dengan tindakan itu namun buat masa ini
masih belum memutuskan tindakan yang akan dibuat terhadap kumpulan
lelaki berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.