Penasihat DAP Lim Kit Siang mendakwa pemimpin BN dan Umno kini berusaha
memujuk para ADUN Pakatan Rakyat untuk berpaling tadah dan menyokong Tan
Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Lim mendakwa demikian berdasarkan bacaannya ke atas tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tangkas membuat kenyataan mewakili 12 ADUN BN untuk menyokong Khalid.
Beliau turut memberi amaran bahawa terdapat golongan tertentu yang menyokong agar PAS dan Umno menubuhkan “kerajaan perpaduan”.
“Apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam dalam krisis MB Selangor mungkin akan mengatasi mesyuarat (Jawatankuasa PAS Pusat) pada 17 Ogos dan menyebabkan Pakatan Rakyat berpecah belah hingga tidak dapat dibaiki lagi.
“Umno/BN bekerja keras untuk mengeksploitasi krisis menteri besar Selangor, dalam senario (untuk mewujudkan gabungan) 12 (ADUN) Umno, 15 dari PAS dan Khalid dan juga satu kempen peringkat tinggi untuk menjejaskan kesetiaan ADUN DAP dan PKR untuk mengkhianati pengundi Selangor dan parti masing-masing."
“Kempen ini semakin mendapat tempat dengan sokongan terbuka dari pihak tertentu untuk mewujudkan kerajaan perpaduan Umno-PAS walau disadur dengan istilah lain seperti 'konsensus nasional',” katanya.
Istilah 'konsensus nasional' itu disebut oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki, yang menggesa Pakatan Rakyat mengambil jalan tengah dengan menubuhkan kerajaan campuran dengan BN hari ini.
Zuhdi berpendapat bahawa langkah itu boleh dilaksanakan dengan mengekalkan menteri besar sebagai ADUN bebas dan memberi tanggungjawab bersama kepada pembangkang di negeri itu.
Mengulas perkembangan itu, Lim berkata Pakatan perlu bertindak tangkas demi kelangsungan Pakatan.
ADUN DAP dan PKR yang berjumlah 28 orang sudahpun bersetuju untuk menggantikan Khalid namun PAS bertegas dengan pendirian menyokong menteri besar itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.