Menteri Besar Selangor Tan Sri
Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri Selangor tidak ada kuasa ke atas
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika badan kerajaan itu mengambil
tindakan ke atas orang Islam di negeri itu, lapor Selangorkini.
Malah, Jais hanya perlu memberitahu saja kerajaan negeri dan exco
apabila mahu mengambil tindakan kepada orang bukan Islam tetapi tiada
kuasa langsung jika membabitkan orang Islam.
"Malangnya, Jais hanya perlu memberitahu kerajaan negeri dan exco
apabila membabitkan tindakan kepada orang bukan Islam. Tetapi kalau
orang Islam, Jais tidak perlu meminta pandangan kerajaan negeri,”
katanya sebagaimana dilaporkan laman web rasmi kerajaan negeri Selangor
itu.
Kenyataan itu dibuat pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu semalam.
Khalid berkata demikian ketika mengulas tindakan dua penguatkuasa Jais
menahan empat individu yang didakwa melakukan khalwat ketika semua
mereka sedang sibuk berkemas untuk berpindah rumah.
Dalam kejadian pada 22 Jun lalu, Hanisha Abdul Rahman, 29, ditahan
bersama pemandu, Muhammad Mukamil Nordin dan dua pekerja lain selepas
dipantau selama lima minit.
Ketika tangkapan dilakukan, Hanisha sedang berada di dalam rumah bersama
dua kakitangan yang juga rakan serumah sementara Muhammad berada di
luar.
Susulan itu, Khalid meminta Jais sendiri memberi penjelasan mengenainya.
Khalid berkata, Jais seharusnya melaksanakan tanggungjawabnya berlandaskan tatacara yang betul.
“Harap Jais dapat belajar sebab ada beberapa langkah yang diambil Jais
tidak ikut tatatertib. Penangkapan adalah perkara menyusahkan,” katanya
sebagaimana dilaporkan oleh media itu.
Pada 1 Jun lalu, Jais turut dikritik banyak pihak apabila menyerbu
pengantin perempuan, Zarinah Abdul Majid kerana kekeliruan status
agamanya.
Walaupun Khalid berjanji akan menyelesaikan isu agama Zarinah, namun tidak ada maklumat mengenainya sehingga kini.
Jais juga masih menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak dalam isu
rampasan Bible Melayu dan Iban dari pejabat Persatuan Bible Malaysia
yang tidak selesai hingga kini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.