Followers
Friday, July 11, 2014
Enggan umum laporan RCI Sabah, Najib perlu belajar kekalahan Brazil, kata Kit Siang OLEH JAMILAH KAMARUDIN
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Datuk Seri Najib Razak akan hilang kredibilitinya sebagai perdana menteri jika terus menyimpan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Sabah. –
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Datuk Seri Najib Razak akan hilang kredibilitinya sebagai perdana menteri jika terus menyimpan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Sabah. –
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersolkan keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Sabah walaupun keputusannya sudah dibentangkan ke Putrajaya hampir dua bulan lalu.
Semalam, Najib memberi amaran negara akan kucar-kacir jika pemimpin tiada visi seperti pasukan Brazil yang tewas di tangan Jerman 7-1 semasa pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 awal pagi kelmarin.
Lim berkata, malangnya Najib adalah pemimpin negara yang sepatutnya belajar daripada kekalahan Brazil kerana menunjukkan gaya kepimpinan yang lemah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Apa kepimpinan yang ditunjukkan Najib apabila enggan mendedahkan laporan RCI mengenai pendatang asing di Sabah selepas membiarkan isu ini berlarutan sejak berdekad lalu?
"Malah, Najib akan hilang kredibilitinya sebagai perdana menteri terutamanya jika terus menyimpan laporan RCI dalam bilik kebal di Putrajaya walaupun beliau perdana menteri pertama bersetuju dengan tuntutan rakyat Sabah menubuhkan RCI," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau bimbang sikap Najib yang cuba melengahkan masa mendedahkan laporan RCI kepada umum akan menyebabkan penemuan RCI menjadi tidak tulen (bona fide) dan rakyat Sabah hilang kepercayaan terhadap komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan isu pendatang asing di negeri itu seperti dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada Mei tahun lalu.
Katanya, selepas menang PRU13 dengan undi minoriti, masalah yang menyebabkan kaum peribumi “Negeri di Bawah Bayu” terusir dengan kemasukan pendatang asing kini tidak lagi menjadi keutamaan kerajaaan Putrajaya.
"Bagaimana lagi mahu menjelaskan episod luar biasa laporan RCI yang sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 14 Mei lalu tetapi masih enggan didedah dan dikemukakan penambahbaikan selepas dua bulan berlalu," soalnya.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, RCI Sabah mencatatkan dua rekod sejarah negara, iaitu mengambil masa paling lama untuk dibentangkan dan juga masa paling lama untuk mengumumkan hasil laporan kepada umum kerana enggan berbuat demikian.
"Ini punca mengapa pengumuman Najib mengenai penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tidak membuatkan rakyat kagum dengan kesungguhannya menjamin keselamatan di perairan Sabah kerana punca masalah yang timbul sejak dulu lagi masih tidak selesai," katanya.
Katanya, Najib perlu menunjukkan kepimpinannya untuk memperoleh semula kepercayaan rakyat Sabah dengan segera mengumumkan laporan RCI serta mengemukakan kenyataan respons balas Putrajaya terhadap laporan itu.
Penubuhan RCI diumumkan Najib pada Jun 2012 dan diberi tempoh sehingga enam bulan untuk menyelesaikan siasatan sebelum membentangkan laporan serta cadangan kepada YDPA.
Dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersama empat pesuruhjaya, antara lainnya diberikan kuasa menyiasat jumlah pendatang asing yang diberikan kad pengenalan atau taraf kewarganegaraan di Sabah.
Tempoh itu yang sepatutnya berakhir pada 20 Mac, bagaimanapun dilanjutkan sehingga 21 Mei lalu. – 10 Julai, 2014.
www.themalaysianinsider.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.