Syefura Othman atau Rara bercakap mengenai wawasan dan impiannya dalam menyertai parti DAP ketika ditemubual, baru-baru ini.
Secara tiba-tiba nama Syefura Othman, 25, atau lebih dikenali sebagai Rara mula menjadi bualan hangat berikutan keputusannya untuk menjadi ahli seumur hidup parti DAP, minggu lalu.
Orang ramai memberikan pelbagai reaksi terhadap wanita muda yang tampil dengan imej bertudung itu mengenai keputusannya memilih DAP, parti yang ebih sinomim dengan kaum Cina.
Namun, Rara berkata, beliau tidak pernah melihat DAP sebagai parti Cina sebaliknya mengagumi polisi parti berkenaan yang disifatkan begitu terbuka dan stabil berbanding PKR mahupun PAS.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, salah satu matlamatnya dalam parti itu adalah untuk menarik lebih ramai Melayu supaya stigma DAP hanya khusus kepada parti Cina dapat dihakis.
"Saya rasa DAP lebih terbuka dan stabil berbanding PKR dan PAS, kerana itu saya memilih parti ini, kalau parti yang lain nampak masalahnya namun tidak pada DAP.
"DAP juga banyak memberi peluang, kalau ramai-ramai Melayu masuk DAP mereka akan diberi peluang bersuara dan melontarkan pendapat. Jadi orang kita akan nampak sebenarnya parti ini tidak hanya terlalu fokus kepada kaum Cina saja," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama The Malaysian Insider.
Rara yang mencuri perhatian ramai kerana dianggap mempunyai pakej sempurna cantik dan bijak itu berkata, beliau melihat peluangnya dalam arena politik lebih cerah dengan menyertai DAP.
Katanya, contohnya ialah pemilihan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada Mei lalu.
"Saya melihat Dyana Sofya sebagai pencetus dan kerana dia ramai Melayu termasuk saya ingin menyertai DAP.
"Kita lihat ada peluang, malah DAP lebih stabil dan terbuka berbanding yang," katanya.
Anak jati kelahiran Setiawan, Perak itu berkata, beliau mengambil masa selama sebulan untuk berfikir sebelum nekad dengan keputusannya menyertai DAP.
Katanya, ketika menyatakan hasrat menjadi ahli seumur hidup DAP, keluarganya terutama ibu bapa tidak menentang malah menyokong keputusannya itu.
"Ibu bapa saya menyokong hasrat saya, memang tidak ada halangan daripada mereka.
"Cuma abang sulung saya pada mulanya menentang kerana dia menyokong Umno. Tetapi dalam keluarga biasalah mesti ada perbezaan politik dan apabila saya memberi penjelasan tindakan saya dia akhirnya dapat menerima," katanya.
Rara yang juga pelajar lulusan diploma dalam bidang kejururawatan berkata, beliau membuat kajian terlebih dahulu mengenai DAP, termasuk berjumpa Dyana Sofya untuk meminta pendapat.
"Saya ada berjumpa dengan Dyana Sofya tetapi bukan saya saja pada masa masa itu kerana ada beberapa yang lain seperti saya, mahu sertai DAP.
"Kita berbincang dan bertukar pandangan bersama Dyana Sofya ," katanya.
Ditanya apakah reaksi Dyana Sofya mendengar keputusannya, Rara berkata beliau gembira dan mengalu-alukan penglibatannya dalam DAP.
"Dyana Sofya banyak memberi saya nasihat dan antaranya ialah minta saya kuat dalam berdepan dengan cabaran," katanya.
Ketika ditanya mengapa tidak menyertai PAS memandangkan ibunya ahli parti Islam itu, Rara berkata:"Saya tidak memilih PAS kerana mereka terlalu konservatif dan perjuangannya terlalu Melayu."
Rara juga tidak menolak dakwaan kononnya penyertaannya dalam DAP ialah untuk mendapat kedudukan dan dicalonkan sebagai wakil rakyat.
"Memang benar saya ada misi, saya tidak masuk DAP sekadar main-main dan jual muka. Mesti ada hasil dan perancangan.
"Sasaran saya memang untuk menjadi ahli politik namun saya mesti bermula dari bawah," katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau berusaha melengkapkan dirinya dengan ilmu politik dan akan menyertai bengkel Sekolah Demokrasi anjuran DAP pada Ogos ini.
Katanya, beliau juga mempertimbangkan untuk mengambil kelas bahasa Mandarin sebagai usaha mendekatkan diri lagi dengan parti itu.
Menganggap dirinya masih lagi baru dalam arena politik, Rara mengambil pendirian akan menolak sebarang cadangan jika DAP ingin menjadikan dirinya sebagai calon sekiranya berlaku pilihan raya kecil pada masa terdekat ini.
"Saya mungkin setuju dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) sekiranya sudah yakin dan bersedia, sekurang-kurangnya sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)," katanya.
Rara berkata, antara isu yang bakal diperjuangkan dalam arena politik adalah lebih kepada isu gelandangan dan ibu tunggal.
"Saya lebih berminat pada isu perjuangan hak wanita, ibu tunggal dan gelandangan kerana mungkin latar belakang saya belajar bidang kejururawatan, jadi saya lebih dekat pada isu begitu," katanya. – 20 Julai, 2014.
themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.