Bekas MB Kedah pertikai kenapa Sabbaruddin Chik diberhentikan daripada jawatan Pengerusi Bank Rakyat
KUALA
LUMPUR: Bekas Menteri Kabinet dan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi
Junid (gambar) mempertikaikan tindakan memberhentikan Tan Sri
Sabbaruddin Chik daripada jawatan Pengerusi Bank Rakyat dan menyifatkan
bekas rakannya dalam kabinet itu sebagai berintergriti tinggi.
Menulis dalam blognya, Sanusi mendedahkan bahawa Sabbaruddin sepanjang
pengetahuannya tidak pernah meminta untuk menjawat Pengerusi Bank Rakyat
namun ditawarkan ke jawatan itu oleh menteri yang bertanggung jawab ke
atas koperasi pada waktu itu.
"... Menteri yang bertanggungjawab ke atas koperasi di waktu itu, pernah
menjadi Setiausaha Politik Tan Sri Sabbaruddin, maka tidak hairanlah
jika Menteri berkenaan terfikir mengenai kelayakan bosnya dulu untuk
dipertanggungjawabkan dengan tugas menjadi pengerusi bank.
"Sudah tentu menjadi Pengerusi Bank Rakyat itu lebih mudah dari menjadi seorang Menteri atau Setiausaha Agung Umno," ujarnya.
Mengimbau kembali persahabatannya dengan Sabbaruddin sejak di Kolej
Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sanusi menceritakan pengalaman rakannya itu
ketika berkhidmat sebagai pegawai bank, setiausaha Dewan Perniagaan
Melayu Negeri Sembilan dan aktivis politik.
"Kami juga, selain pernah duduk bersama di dalam Kabinet Malaysia,
sama-sama berpengalaman menjadi Setiausaha Agung Umno Malaysia," tulis
Sanusi.
Beliau turut menceritakan pengalamannya meminta bantuan Sabbaruddin
untuk meluluskan pinjaman bagi mendirikan rumah di satu kawasan ketika
rakannya itu menjawat Pengerusi Bank Rakyat.
"... permohonan saya telah ditolak kerana pendapatan pencen saya tidak mencukupi untuk membayar balik hutang jika diberi.
"Saya terima penolakan ini dengan hati terbuka dan dengan itu jelaslah
bahawa Tan Sri Sabbaruddin tidak mengguna pengaruhnya untuk menolong
kawannya, dan menyerah pihak pengurusan bank untuk membuat keputusan
mereka secara profesional," katanya.
Sanusi mengakui tidak malu mendedahkan perkara itu kerana kesal dengan
tuduhan sesetengah pihak yang menganggap Sabbaruddin seolah-olah
mementingkan diri sendiri apabila mempertikaikan penamatan kontraknya
sebagai Pengerusi Bank Rakyat.
"Bagi yang tidak emosional adalah perlu mereka melihat sebabnya Tan Sri Sabbaruddin diberhentikan.
"Jika seseorang itu menganggap keluhan Tan Sri Sabbaruddin itu tidak
benar maka mereka membenarkan cara penggunaan dana Bank Rakyat tanpa
mempedulikan tanggung-jawab kepada pemegang saham, yang menjadi pemilik
bank itu, dan mereka juga membenarkan penyalahgunaan kuasa dalam memberi
pinjaman sedemikian," tulis Sanusi.
Beliau turut mengakui terkesan dengan sebab pemberhentian Sabbaruddin
berdasarkan pengalamannya sebagai pegawai kanan bank saudagar milik
asing yang mementingkan profesionalisme dalam pengurusan.
Tulisan penuh Sanusi boleh diikuti di sanusijunid.blogspot.com -
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.