Followers

Monday, June 9, 2014

Raja Jangan Masuk Campur Urusan Negeri..

 
Kesultanan Johor dinasihatkan tidak masuk campur dalam bidang kuasa eksekutif negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menasihati Kesultanan Johor supaya tidak masuk campur dalam bidang kuasa eksekutif negeri kerana hanya akan menyebabkan kedaulatan institusi itu lebih tercemar.

Shahidan berkata, Putrajaya sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan perkara yang melangkaui undang-undang persekutuan.

"Ini negara demokrasi raja berperlembagaan bukan demokrasi raja pemerintah.

"Kalau libatkan diri, saya pasti semua masalah akan terkumpul dan institusi akan dicemari," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.


Katanya, institusi raja adalah lambang kedaulatan dan tidak perlu melibatkan diri dengan apa jua urusan pentadbiran negeri.

"Mana-mana undang-undang tak boleh melangkaui undang-undang asal," tegasnya.

Mengulas mengenai Rang Undang-Undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini, Ahli Parlimen Arau itu berkata Putrajaya sudah menyediakan pelbagai kemudahan perumahan kepada rakyat.

Katanya, soal perumahan ada beberapa agensi termasuk Lembaga Perumahan dan Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dibawah tanggungjawab portfolionya menyediakan rumah mampu milik mencukupi kepada rakyat.

"Saya tahu benda ini dah diceritakan dalam media tapi biarkan RUU sebenar dibentang oleh menteri besar," katanya yang yakin kerajaan Johor ada pandangan mereka sendiri.

Rang undang-undang perumahan kontroversi negeri Johor akan dipinda untuk mengubah keputusan awal dengan memberi kuasa penuh kepada Sultan untuk membuat keputusan atas nasihat menteri besar.

Lain-lain klausa dalam Rang Undang-Undang yang menyebut Sultan Johor akan ditukar kepada "kuasa kerajaan negeri" itu sekaligus memberi kuasa penuh kepada Sultan untuk melantik ahli lembaga pengarah LPHJ, memantau akaunnya dan juga membubarkan lembaga itu.

Sultan Johor juga boleh menentukan ganjaran ahli lembaga pengarah, meluluskan pelantikan pengarah dan meluluskan anggaran belanja setiap tahun berikut sebelum mendapatkan kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu. – tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.