Followers

Wednesday, June 18, 2014

Putrajaya belum putus bentang Kertas Putih insiden MH370 OLEH MOHD FARHAN DARWIS



Putrajaya belum memutuskan sama ada ingin menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC), atau membentang Kertas Putih berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, kata Kementerian Pengangkutan.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berkata, keputusan berkenaan perkara itu hanya akan dilaksanakan sejurus pesawat itu ditemui dan siasatan dijalankan.

"Keputusan mengenainya akan dibuat setelah pesawat yang hilang ditemui dan siasatan mengenai insiden dijalankan serta punca tragedi dikenal pasti," kata Hishammuddin dalam jawapan bertulis di sidang Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kluang daripada DAP, Liew Chin Tong bertanya kepada Kementerian Pengangkutan sama ada kementerian bercadang membentangkan Kertas Putih bagi insiden MH370.

Beliau turut bertanyakan mengenai kos yang dibayar dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat dengan 239 penumpang itu.

"Berkenaan operasi SAR, ia dilaksanakan sejajar dengan standard ditetapkan di bawah 'ANNEX 12 Search and Rescue, Chicago Convention 1944'," kata Hishammuddin.

Konvensyen itu memperuntukkan setiap negara perlu menyediakan perkhidmatan SAR bagi kawasan di dalam kawasan "search and rescue region" yang ditetapkan "Aviation Security, International Civil Aviation Organisation" (ICAO).

"Dalam hubungan itu, kos operasi SAR adalah ditanggung oleh negara-negara yang terlibat," katanya.

Kerajaan bagaimanapun katanya belum menilai keseluruhan kos operasi SAR kerana misi pencarian masih lagi berjalan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok turut bertanyakan kepada Hishamuddin sebab misi carian tidak dijalankan di koridor utara Lautan Hindi.

"Koridor utara merentasi 11 negara bermula bahagian utara Thailand hingga ke sempadan Kazakhtan dan Tukmenistan. Manakala koridor selatan merentasi dua negara iaitu Indonesia dan Australia (bahagian Selatan Lautan Hindi).

"Kerajaan Malaysia memohon bantuan kerjasama 11 negara untuk menjalankan misi pencarian pesawat MH370 di koridor utara.

"Negara-negara itu mengesahkan berdasarkan maklumat radar, didapati pesawat MH370 tidak memasuki ruang udara negara-negara tersebut," kata Hishammuddin dalam jawapan bertulisnya.

MH370 disahkan hilang daripada radar pada 8 Mac lalu selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Sehingga ke hari ini, serpihan mahupun sebarang petunjuk masih belum ditemui meskipun misi pencarian antarabangsa melibatkan 26 negara disertai teknologi canggih digunakan.

"Bangladesh dan Kemboja turut mengarahkan aset mereka untuk melaksanakan operasi SAR dalam kawasan SRR, namun hasil operasi tidak menjumpai MH370 di di SRR mereka," kata Hishammuddin. – 18 Jun, 2014.

http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.