Followers

Saturday, June 7, 2014

Panglima ATM Akui Kelemahan Kawalan Keselamatan Di Sabah



KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tidak menafikan berkemungkinan wujud kelemahan dalam kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom).

Katanya, kelemahan itu akan dikaji dan diperbaiki khususnya dalam aspek penguatkuasaan bagi mengelak kebocoran kawalan sehingga berlakunya kejadian jenayah di kawasan itu.

"Tidak dinafikan berkemungkinan wujud kelemahan...jangan kita mengganggap tiada cabaran dalam diri kita sendiri," katanya semalam.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa faktor kelemahan manusia seperti rasuah dan kebocoran maklumat oleh pihak bertanggungjawab mungkin wujud dalam isu keselamatan perairan Sabah dan bukan hanya disebabkan oleh kelemahan aset.

Keberkesanan Esscom terus dipertikai apabila beberapa siri kejadian jenayah khususnya penculikan terus berlaku biarpun ia didakwa dikawal ketat.

Dalam kejadian penculikan terbaru awal Mei lalu, Pengurus Wonderful Terrace Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengendalikan ladang ikan warganegara China, Yang Zailin dilaporkan diculik di Silam, Lahad Datu dan dipercayai bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu melarikan diri ke arah selatan Filipina.

Sebelum dari itu, empat lelaki berpakaian seragam ala tentera merompak seorang guru dan tiga rakan beliau yang memancing di perairan Sungai Bilis di Tanjung Labian dengan melarikan dua enjin bot sangkut dan satu enjin bot pam.

Sementara pada 2 April lalu, pelancong China Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja resort Marcy Darawan, 40, diculik sekumpulan lelaki bersenjata dari Singamata Reef Resort di Semporna. - HARAKAHDAILY



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.