Pembebasan dua wanita yang
diculik di Sabah semalam dalam usaha bersama pihak berkuasa Malaysia dan
Filipina hanya dicapai selepas pembayaran "wang tebusan yang besar",
lapor Reuters hari ini.
Laporan itu bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak semalam bahawa "tidak ada wang tebusan dibayar" untuk membebaskan
pelancong China, Gao Huayun dan pekerja resort, warga Filipina Marcy
Dayawan, yang diculik dari Singamata Adventures dan Reef Resort, di
Semporna, 2 April lalu.
Semalam dalam tweetnya, Najib menulis semasa lawatan rasminya ke China:
"Saya baru sahaja diberi taklimat oleh @PDRMsia bahawa kedua-dua wanita
diculik dari sebuah resort di Sabah April lepas diselamatkan oleh pihak
berkuasa kita."
"Tiada wang tebusan dibayar bagi mendapatkan pembebasan mereka. Kejayaan
hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. Saya
berterima kasih kepada semua yang terlibat."
Bagaimanapun, sumber polis Filipina memberitahu Reuters bahawa wang
tebusan yang besar dibayar bagi membebaskan kedua-dua wanita itu.
"Ia jarang berlaku bagi Abu Sayyaf untuk melepaskan orang yang diculik tanpa wang tebusan yang dibayar," kata laporan itu.
Tetapi laporan itu tidak memberikan sebarang maklumat mengenai wang tebusan yang dikatakan itu, seperti jumlah yang dibayar dan sumber dana.
Kumpulan pengganas itu sebelum ini menuntut 500 juta peso Filipina
(RM36.8 juta) untuk melepaskan Gao, tetapi tidak membuat sebarang
permintaan wang tebusan untuk Dayawan.
Pada 2 April, tujuh lelaki bersenjata memasuki resort kira-kira 10.30
malam dan menculik Gao, 29, dari Shanghai dan Dayawan, 40, dari resort
itu.
Dilaporkan bahawa pihak berkuasa Malaysia percaya Abu Sayyaf, sebuah
kumpulan pengganas yang berpangkalan di selatan Filipina,
bertanggungjawab atas penculikan itu dan mereka mendapat bantuan dari
dalam.
Berikutan penculikan Gao dan Dayawan, seorang pegawai polis di Sabah
mendedahkan bahawa penculikan itu juga mungkin melibatkan kakitangan
resort.
"Abu Sayyaf aktif di kawasan itu sejak 15 tahun yang lalu dan
bertanggungjawab untuk beberapa kes penculikan," kata pegawai itu kepada
The Malaysian Insider dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
"Dalam banyak kes, mangsa dibebaskan selepas wang tebusan yang besar dibayar. Kes malam tadi dijangka tidak berbeza," katanya.
Insiden itu merupakan satu daripada tiga kejadian dalam tempoh tujuh
bulan lalu yang melibatkan pelanggaran di Zon Keselamatan Timur Sabah
yang ditubuhkan selepas "pencerobohan" Lahad Datu oleh pihak berkuasa
Sulu awal tahun lepas.
Pada November tahun lepas, pelancong Taiwan Chang An Wei diculik dari
pulau peranginan Pom Pom sementara pasangannya, Li Min Hsu ditembak
mati.
Chang dibebaskan sebulan kemudian selepas wang tebusan yang besar dibayar kepada Abu Sayyaf melalui perantara.
Awal bulan ini, warga China Yang Zai Lin, 34, diculik oleh kumpulan
bersenjata Abu Sayyaf dari sebuah ladang ikan berhampiran Pulau Babi,
Lahad Datu, dan dibawa lari dengan sebuah bot laju.
Walaupun cuba ditahan pihak keselamatan Malaysia, penculik berjaya
melarikan diri ke perairan antarabangsa dan dipercayai menuju ke selatan
Filipina.
Yang, yang berasal dari Guangzhou, menguruskan ladang ikan sejak tiga
tahun lalu. Ladang ini dimiliki oleh Wonderful Terrace Sdn Bhd yang
berpangkalan di Hong Kong.
Yang diambil oleh lima orang lelaki yang berpakaian seragam tentera.
Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka dikatakan bersenjatakan M-16.
Abu Sayyaf adalah kumpulan militan Islam yang meningkat terkenal pada
tahun 1990-an kerana berjuang untuk satu wilayah Islam bebas di
Filipina.
Ahli diketahui terlibat dalam kes pengeboman, penculikan, pembunuhan dan aktiviti pemerasan. – 31 Mei, 2014.-TMI
MIMPI SENJA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.